Pengikut

Selasa, Disember 09, 2008

PUTERI mahu solat di masjid

catatan Kendedes

Sehabis solat maghrib saya mendapatkan puteri ct adah yang sudah berada di bagian belakang masjid yang wajahnya muram. Saya kaget, sedangkan asalnya sangat ceria untuk solat di masjid.

Setelah dipujuk, berceritalah puteri ini bahawa tadinya sesudah mula solat sebaik saja imam memulakan solatnya, maka dia dihampiri seorang yang menyuruhnya masuk dalam kawasan perempuan yang dilingkungi kain tebal gelap. Kerna ct adah baru tujuh tahun, anak perempuan lagi naïf maka dalam solat itu dia berundur jauh agar tidak diperintah masuk dalam kawasan khas bersama beberapa orang perempuan dewasa.

Kemudian pada solat isyaknya, saya membawa ct adah ke sebuah surau pula yang tidak jauh dari masjid berkenaan. Dan setelah selesai saolat Isyak pun dia muram juga. Tanpa banyak soal, saya tahu pengalaman sewaktu solat maghrib di masjid, berulang di surau pula.

Apa mula ceritanya ct adah, seorang puteri tujuh tahun mengikuti saya solat fardu di masjid dan surau?

Sebenarnya ct adah memang rapat sangat dengan saya sampai ke masjid pun nak ikut sejak pandai berjalan. Kalau saya ke kedai lagilah dia tak mahu lepas. Apabila sudah tahu sedikit sebanyak melakukan solat, saya pakaikan telekung tapi dia tidak mahu berada dalam wilayah makcik dan nenek yang dua tiga orang itu. Maka saya letakkan ct adah di tepi tabir gelap itu masih dalam kawasan lelaki. Sumpah, setakat maghrib dan isyak pada bulan bukan puasa ini tempat berdirinya ct adah tidak akan tercecah oleh jemaah lelaki. Saya pun tahu peraturan solat jemaah ini.

Tapi begitulah, apabila saya sudah masuk solat dalam saf pertama ada pakcik yang lewat datang melihat ct adah pakai telekung di tepi tabir gelap kawasan lelaki, terus diarah masuk ke dalam. Ooo, patutlah ct adah mengadu sedang berdiri solat terpaksa berundur jauh sampai ke pintu masuk!

Tidak mengapalah pakcik-pakcik yang berkenaan. Terima kasih kerna saya mendapat mesej sebenar cara pemikiran kaki masjid ini. Pakcik-pakcik ini juga tentulah telah berjaya membawa lebih banyak anak-anak perempuannya sejak kecil ke masjid dan surau sejak anak-anak mereka kecil hingga dah berkahwin kot…. Itulah andaian saya, sebab kalau tidak ada pengalaman baik mendidik anak perempuan ke masjid, tidak mungkin dia begitu berani menyalahkan tempat duduk ct adah budak berusia tujuh tahun itu.

Sabarlah ct adah, ayah kamu bukan ustaz, bukan ulama, bukan ajk masjid, bukan bilal, bukan imam, bukan ada rekod panjang membawa seribu anak-anak ke masjid saban waktu. Ayah kamu cuma ada cita-cita kecil mahu menjadikan kamu cintakan masjid sekalipun usia kamu mentah dan perempuan pula. Kalau bukan ayah kamu yang membawa kamu ke masjid, siapa yang hendak bawa?

Saya memeluk erat ct adah!
5 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan