Pengikut

Khamis, Disember 11, 2008

CATATAN haji: nama PM dikeji


Catatan oleh Kendedes

Musim haji 2001: Tahun saya mengerjakan haji merupakan tahun yang politik Malaysia masih kacau bilau akibat pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Di Makkah dan Madinah pun orang Arab yang mengetahui saya dari Malaysia akan mengatakan ‘Anwar bagus!’ Orang Arab Madinah memang pandai cakap Melayu. Di Makkah tak banyaklah, tapi ayat ‘Malaysia boleh’ betul dihafalnya.


Sementara menunggu hari wukuf yang masih lama, selain kami mengerjakan umrah untuk beberapa kali, pihak Tabung Haji membawa kami ke tempat-tempat bersejarah di Makkah dan Madinah.

Di Makkah kami dibawa ke Mina khasnya tempat melontar jamrah. Walaupun waktu itu ada dua tingkat, memang kebanyakan hujaj pilih yang bawah. Oleh itu kami melawat di bahagian bawah yang ada kawah tempat batu-batu terkumpul. Di birai kawah itu adalah tembok yang mengelilingi tiang batu yang diimejkan sebagai iblis atau syaitan. Kelak semasa melontar jamrah, hujaj membayangkan melontar iblis tanda membenci musuh utama manusia beriman.

Tembok itu berwarna putih dan tingginya satu meter. Saya dan isteri terkejut dan tersenyum melihat catatan dan ayat-ayat yang tertulis pada tembok berkenaan. Hampir semua tulisan di salah satu tembok jamrah itu tulisan rumi bahasa Melayu. Yang membuat saya terkejut ialah frasa ayat MAHATHIR IBLIS!

Fahamlah saya bahawa penulisnya mahu para hujaj yang melontar jamrah juga membayangkan Dr Mahathir PM Malaysia waktu sebagai iblis! Dahsyat betul politik Malaysia, sampai ke tembok jamrah di Mina.

Saya cepat-cepat merakam pemandangan ganjil itu dengan kamera yang kebetulan isteri saya di sana. Waktu itu guna kamera yang ada filem, jadi kenalah tunggu balik Malaysia baru boleh lihat hasil cetakannya. Sekarang guna kamera digital, boleh tahu apa jadi dengan gambar yang diambil.

Ingat nak tunjuk kepada kawan-kawan bagaimana nama PM diburukkan sampai ke Makkah. Setelah dicetak, ayat yang mengeji Dr Mahathir langsung tidak terakam dalam gambar sedangkan asalnya tulisan itu berwarna merah dan besar. Tulisan lain menggunakan warna biru dan hitam, itupun dapat tertera dalam foto. Ajaib, itu semua kerja Allah. Agaknya Allah tidak izinkan kerja kutuk-mengutuk berlanjutan, sebab itu ayat itu tidak dapat dijadikan bukti nama PM dicela di Makkah. Pembaca boleh lihat dalam foto yang saya salin.

Saya difahamkan bahawa tembok itu akan dicat semula setelah hampir musim melontar. Betullah, sewaktu saya sampai semula ke tembok jamrah itu pada hari-hari tasyrik, dalam kesibukan para hujaj semua tembok telah dicat semula yang memadam semua catatan.

Untuk rekod, sekarang tempat melontar di Mina sudah menjadi tiga tingkat dan batu jamrah juga telah dibesarkan berbentuk kapal.

11 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan