Pengikut

Khamis, November 27, 2008

DR Asri pergi jua

AKHIRNYA kau pergi jua….

Tamat bulan November ini, berakhir jugalah tugas Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Mufti Kerajaan Perlis Darul Sunnah. Banyak pihak termasuk yang dahulunya tidak perduli dengan institusi Mufti telah melahirkan rasa sedih kerana bakal kehilangan satu nama penting dalam institusi Mufti. Sebelum Dr Asri menjawat Mufti dahulu, sebenarnya sentiasa ada 14 orang Mufti secara rasmi dalam negara. Setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan mempunyai Mufti yang bertugas sebagai penasihat kerajaan dan rujukan bab hukum agama. Namun dengan kehadiran Dr Asri sebagai Mufti Perlis memberi sentuhan baru, dirasakan kehendak-kehendak umum mahu melihat pandangan ulama mengenai hal-hal semasa dipenuhi.

Dr Asri tidak kontoroversi, tetapi masyarakat yang kontroversi! Keadaan ini terjadi kerana kebiasaan (uruf) masyarakat tercabar dengan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Dr Asri selaku Mufti salah sebuah negeri. Apabila Dr Asri mula bersuara mengenai kerja-kerja mengintip pesalah maksiat sebagai bukan suruhan agama, maka masyarakat khasnya golongan agama tergempar. Dr Asri mempertahankan hujahnya, dan kini tiada lagi bunyi sindiran terhadap isu itu sekalipun untuk sekian kalinya ditekankan semula oleh Mufti muda itu.

Kemantapan hujah Dr Asri dalam memberikan pandangan sekalipun dilihat berlainan akhirnya telah difahami majoriti umah di Malaysia. Dalam temu bual di kaca TV, Dr Asri mahukan para agamawan bersifat kesarjanaan, ertinya pemberian ilmu berhujahkan dalil. Dari situlah pemikirannya menjalar ke serata negara dan menjadi tag baru dalam arus tajdid. Tanyalah muslim dewasa, siapa yang tidak kenal Dr Asri Mufti Perlis? Tanyalah para pemikir dan aktivis Islam, siapa yang tidak kenal aliran pemikiran yang dibawanya?

Penulis merasakan memang wajar Dr Asri berundur daripada jawatan Mufti sekarang, pada saat namanya berada di kemuncak dan telah berjaya menjadikan institusi Mufti mempunyai standard baru yang bernilai tinggi. Masyarakat tetap akan mencari Dr Asri untuk mencari buah fikirannya sekalipun tidak lagi menjawat jawatan Mufti.

Oleh itu penggantinya mestilah sama wibawa seperti beliau dan akan meneruskan kerja-kerja tajdid yang sedang dibawanya. Setelah penampilan Dr Asri, institusi Mufti Perlis akan menjadi sandaran baru dalam pemikiran Islam di Malaysia. Patut benar Dr Asri telah mengemukakan nama untuk dipertimbangkan menggantikannya kelak.

Jelas dan terbukti bahawa arus tajdid berteraskan alquran dan sunah sangat menepati fitrah dan nurani masyarakat Islam khasnya di Malaysia. Fikrah berlandaskan wahyu dan sunah nabi adalah pemikiran murni yang wajib diteliti oleh yang sangat septikal terhadap aliran sunah, sehingga mereka memberi gelaran tidak murni kepada pendukung aliran sunah.

Demikianlah kebenaran, sekalipun asalnya ditemui dalam keasingan, akhirnya tiada siapa yang mampu menahan penyebaran pemikiran berasaskan alquran dan sunah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan