Pengikut

Sabtu, Disember 13, 2008

CATATAN haji: solat campur lelaki wanita

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Perkara yang tidak pernah diberitahu oleh penceramah dalam kursus haji ialah percampuran para jemaah haji lelaki dan perempuan di masjidil haram. Aneh bunyinya, tetapi itulah hakikat yang wajib diterima dan mesti didedahkan kepada para bakal haji.

Saya termasuk calon haji yang datang awal di Makkah, menikmati masa agak lapang bertawaf dan solat di hadapan kaabah. Pada masa para jemaah belum sesak di masjid, pegawai-pegawai khas perempuan memang bekerja keras memastikan jemaah perempuan berada dalam kawasan yang dikhaskan. Sekalipun masjidil haram dalam bentuk bulatan dan tidak mempunyai dinding tepi, namun beberapa kawasan dikhaskan untuk wanita.

Apabila jumlah jemaah membanyak, pegawai-pegawai tadi sudah tidak mampu mengawal lagi. Akibatnya tempat jemaah perempuan dapat dibolosi jemaah lelaki dan jemaah perempuan bagai lupa bahawa mereka mesti solat dalam kawasannya. Namun bagi jemaah-jemaah yang hadir awal dan pertengahan, mereka telah faham dan mengetahui kedudukan tempat solat mereka. Yang hadir lewat ini sama ada faham atau tidak, telah menyusup di celah-celah jemaah lelaki. Bayangkan saja, tiba-tiba di kiri kanan kita ialah jemaah perempuan dalam saf solat fardu!

Saya pernah menegur beberapa jemaah perempuan Malaysia yang terpengaruh dengan jemaah dari Turki dan India yang main masuk saja dalam mana-mana saf lelaki, dan mereka akur dengan nasihat saya. Alasan jemaah yang saya tegur ialah bimbang terpisah daripada kumpulan lelaki. Lalu saya mencadangkan agar berjanjilah di mana-mana tempat, insya Allah tidak akan terpisah.

Jemaah dari Malaysia memang teratur, sanggup berpisah dengan jemaah lelaki sewaktu di masjidil haram. Paling ketara percampuran jemaah lelaki dan perempuan ialah dari Turki. Mereka mengenakan pakaian seragam putih dan bergerak dalam kumpulan termasuk lelaki dan perempuan. Ertinya mereka bertawaf, sai dan solat dalam satu kumpulan. Sebab itulah apabila sampai waktu solat, semua dalam kumpulan itu terus berdiri dalam satu saf saja.

Namun begitu dalam grup saya ada sepasang jemaah dari Pahang yang berhaji kali kedua. Mereka sentiasa bersama ke mana-mana. Suatu masa saya ternampak mereka berdua solat berdiri berdua dalam masjidil haram dalam saf yang seharusnya untuk lelaki sahaja. Apabila ditegur, si lelaki hanya tersengih-sengih sahaja. Dia faham, tapi buat-buat tidak faham.

Begitulah keadaannya kira-kira 10 hari menjelang wukuf, sekalipun dalam masjid, sudah tiada ketenangan. Kalau di Malaysia jam 4 pagi solat tahajud dalam suasana sunyi, tetapi jam 4 pagi di masjidil haram tidak terasa sunyinya.

13 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan