Pengikut

Sabtu, September 06, 2008

MENEROKA jiwa manusia

PENULIS kepingin menulis yang menyangkut ilmu kejiwaan atau psikologi. Ilmu ini kurang diminati kecuali mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan. Sebab utamanya ialah para pendidik termasuklah ustaz, ustazah dan ulama mesti mengenal secara mendalam diri manusia yang hendak dibawa ke arah kebaikan.

Jika sesiapa pernah membaca sirah Rasulullah mendampingi kanak-kanak, tahulah babawa Rasulullah seorang dewasa yang memahami dunia kanak-kanak. Ertinya, kalau seorang yang dewasa seperti ayah, ibu, datuk dan nenek hendak memberi input kepada anak-anak atau remaja, mestilah yang dewasa tadi melenturkan peribadi dewasanya menjadi peribadi anak-anak agar bahasa penyampaiannya mudah masuk ke dalam jiwa anak-anak.

Cuba bayangkan seorang datuk dengan fizikal besar kerana hendak memujuk cucunya agar bersolat, maka si datuk akan berwatak seperti cucu yang usianya bawah 10 tahun. Nah memang itulah padanan untuk meneroka jiwa orang yang mahu disentuh.

Maknanya kejiwaan, kecenderungan, bakat, keupayaan dan pelbagai yang dalaman bagi seseorang itu tidak sama antara satu sama lain berdasarkan pendidikan, umur, jantina, lingkungan budaya malah juga berbeza pada waktu malam dan siang. Inilah yang perlu diteroka dan difahami oleh mereka yang berhasrat menyampaikan info atau dakwah kepada manusia sasaran.

Namun kebanyakan orang Melayu kita tidak terdidik dengan ilmu psikologi, sedangkan sesama manusia saling berhubungan antara satu sama lain. Tampak janggal banyak contoh kehidupan keluarga yang sepatutnya indah. Malah telah ada persepsi jika di tempat awam sepasang manusia berjalan dengan wajah biasa saja, maka itu adalah sepasang suami isteri. Jika sepasang manusia itu tampak ceria dan mesra, itu bukan suami isteri! Seorang isteri juga wajib memahami psikologi suaminya supaya mesej yang hendak disampaikan kepada suaminya berkesan. Begitu juga suami terhadap isteri.

Masalah lain ialah ego atau rasa megah yang ada pada setiap manusia. Ego bukan fitrah kejadian manusia. Ego merupakan unsur buruk seperti perasaan amarah. Lantaran ego, maka orang gagal melentur peribadinya standing dengan insan yang mahu didekati. Rupa-rupanya ego ini menjadi penyakit yang payah diubati. Tidak cukup begitu, malah ego akan banyak mempengaruhi perilaku manusia.

Penulis ingat kata-kata rakan sewaktu belajar, jika manusia dengan sengaja membangga-banggakan dirinya terhadap orang lain, sebenarnya dia sedang mengalami rasa rendah diri. Orang seperti ini sebenarnya sedang bergelut untuk dihargai oleh orang lain tetapi senantiasa gagal. Perasaan keciwanya kian parah melihat rakan-rakannya sudah mendapat apa yang dihajati, tetapi dirinya masih seperti dahulu juga. Maka pilihannya ialah mencipta kemegahan yang palsu. Itu mudah dikesan apabila dia senantiasa mempromosi dirinya tanpa diminta oleh sesiapa.

Solat, meskipun mendidik kerendahan jiwa terhadap Allah dan kesaksamaan tanpa batas sewaktu berjemaah, namun ada manusia yang mencampuri kesaksamaan darjat di sisi Allah dengan perbuatan tidak sopan. Misalnya pengurusan masjid sengaja menyediakan ruang solat di saf hadapan untuk seseorang atau sekumpulan manusia yang dianggap tinggi darjatnya dalam masyarakat. Tindakan ini sebenarnya melampau kerana hak untuk mendapatkan saf pertama bukan kerana darjat sosial, tetapi kesanggupan untuk berada awal sebelum sesuatu solat jemaah dilaksnakan. Jika seseorang berstatus tinggi seumpama raja-raja sekalipun mereka lewat hadir, wajiblah mereka sedar bahawa tempatnya di belakang. Inilah keindahan ibadah solat berjemaah yang dicemari oleh tangan manusia kerana memuja manusia lebih daripada apa yang dituntut oleh sunah.

Puasa satu contoh terbaik bagaimana jiwa manusia yang ego direndahkan dan dibuang jauh. Sama ada seseorang itu kaya, bangsawan, berpengaruh, miskin atau hanya anggota jembel dalam masyarakat, puasa mereka tidak dapat dilihat secara fizikal. Maka puasa telah dirasai kesannya seperti lapar dan dahaga oleh semua pihak di atas. Walaupun waktu iftar itu mungkin ada kelainan berdasar status sosial, tetapi sepanjang siang hari itu tanggungan puasa sama saja.

Sebab itulah prinsip alquran dan sunah mengenai manusia ialah ‘manusia adalah sama saja di sisi Allah, kecuali darjat keimanan’. Ayat-ayat alquran banyak sekali menceritakan kejadian manusia daripada air mani yang lemah. Manusia akhirnya akan kembali mati menjadi tanah juga, tidak kiralah apa kedudukan dan nilai kekayaannya. Semua akan kembli kepada Allah hanya berdasarkan modal amal bakti sewaktu hidup.

Mujurlah di negara kita setiap muslim tanpa mengira kedudukan masih menerima kain kafan putih sebagai pakaian terakhir di lubang kubur. Inilah salah satu pendidikan psikologi alquran dan sunah untuk meredakan keegoan manusia.

2 ulasan:

  1. Assalamuialaikum. Saya berminat dengan usaha dakwah tabligh dan berhasrat menyertainya kerana satahu saya jemaah itu mengamalkan sunnah dalam kehidupan mereka. Namun saya ada menonton kuliah Dr Asri Mufti Perlis yang memburukkan jemaah dakwah tabligh itu. Tuan sebagai orang yang faham dengan ajaran yang disampaikan oleh Dr Asri, saya mohon memberi panduan kepada saya samada saya patut mengikuti jemaah tersebut atau tidak. Setakat yang saya tahu, dari segi amalan mereka tiada yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Kawan-kawan saya yang mengikut usaha dakwah tabligh di kawasan saya, kebanyakannya adalah guru-guru yang cemerlang di sekolah. Sesetengahnya pula di pilih oleh PPD sebagai pakar motivasi kepada sekolah-sekolah. Saya kurang faham keadaan ini bila menonton kuliah Dr Asri. Bagaimana usaha tabligh yang tidak bagus dan banyak amalan sesat itu dapat melahirkan guru-guru yang cemerlang. Untuk pengetahuan tuan, semua guru yang terlibat dengan tabligh di kawasan saya telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang. Harap tuan dapat membantu saya menangani kekeliruan ini. Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Pertama, saya belum sedia dianggap seorang serba faham maksud kuliah Dr Asri. Namun prinsip Dr Asri ialah apa-apa juga pegangan dan amalan dalam akidah dan ibadah wajib menurut alquran dan sunah. Sunah ertinya hadis-hadis sahih, khasnya dalam aturan akidah dan ibadah. Kerana pemahaman hadis sahih dan tidak sahih inilah ada sedikit perselisihan dalam masyarakat. Saya percaya kritikan Dr Asri terhadap Jemaah Tabligh bukan untuk meruntuhkan jemaah itu atau melarang orang daripada menyertai ekspedisi dakwahnya. Maksudnya ada antara pegangan ahli jemaah itu yang disandari hadis yang bermasalah. Bukan sahaja ada ahli JT yang amalkan hadis palsu atau daif, malah dalam kalangan yang bukan jemaah JT pun.

    Kedua, saya kurang setuju untuk secara total mengaitkan tahap kecemerlangan seseorang guru dalam kerjayanya atas kegigihannya juga dalam JT. Sama juga tidak usahlah mengaitkan kekelaruan rumah tangga mereka dengan aktiviti dalam JT. Banyak faktor yang menyumbang seseorang untuk cemerlang atau gagal dalam kehidupan.

    Sama ada kita suka atau tidak kepada JT, jika hendak menilai JT hendaklah dengan jujur dan adil. Benar dikata benar, salah dikata salah. Kalau yang salah hanya pada manhaj, janganlah dibesar-besarkan kerana JT juga telah menyumbang kebaikan kepada masyarakat. Namun apabila kita menyertai sesuatu jemaah atau organisasi, janganlah menjadi fanatik sehingga melihat mereka yang bukan anggota sebagai tidak sempurna amalan dan perjalanan hidupnya.

    Wallahu aklam.

    BalasPadam