Pengikut

Isnin, September 15, 2008

MEMAHAMI falsafah bahasa alquran

MARI kita perhatikan pengalaman dan pengajaran alquran diturunkan oleh Allah kepada manusia dalam Bahasa Arab pada kurun ke tujuh masehi. Pada saat Allah menobatkan Muhammad bin Abdullah sebagai Rasul-Nya, bangsa Arab iaitu bangsa Muhammad sebagai Rasulullah bukanlah bangsa yang disegani dan digeruni oleh bangsa-bangsa yang ada.

Naik turunnya bahasa dalam arus perdana bergantung sangat kepada kegagahan bangsa itu. Misalnya pada abad ini (hari ini) bangsa Amerika-Inggeris atau Anglo-American yang berbahasa Inggeris begitu dominan dan berpengaruh besar, maka bahasa Inggeris menjadi keutamaan di seluruh dunia.

Pada saat wahyu atau alquran diturunkan, dua kuasa besar dunia ialah Rom dan Parsi atau Sasan. Maka sebenarnya bahasa yang berpengaruh waktu ialah bahasa orang Rom dengan tulisan rumi (seperti tulisan ini) yang asalnya daripada bangsa Phunecia (Negara Syria sekarang). Di sebelah timur, bahasa yang besar ialah bahasa Parsi. Dalam keadaan bangsa Arab berpecah-pecah dan penduduknya banyak yang buta huruf, jelaslah jika dibanding dengan bahasa Rom dan Parsi, bahasa Arab waktu bukan bahasa pilihan.

Namun apabila Allah menurunkan wahyu melalui bangsa Arab, maka bahasa yang dipilih oleh Allah ialah bahasa Arab. Jadilah alquran itu dalam bahasa Arab. Mudah sangat untuk difahami, bahawa untuk menyampaikan ilmu atau maklumat kepada sesuatu bangsa, gunakanlah bahasa yang difahami oleh bangsa berkenaan.

Kemudian kita perhatikan bagaimana negara-negara penjajah dari Eropah menjajah bangsa-bangsa di Asia termasuk wilayah Melayu Nusantara kita. Bangsa dari Eropah umpama Inggeris dan Belanda terlebih dahulu menubuhkan Fakulti Kajian Timur atau oriental di universiti-universiti negara mereka. Pegawai-pegawai yang akan dihantar bertugas ke Nusantara terlebih dahulu memahami bahasa dan budaya Melayu.

Akhirnya orang seperti Stamford Raffles, Andrew Clarrk, R O Winsted, Frank Swettenham, Snouck Huroendje (sekadar beberapa nama) berjaya membuat hubungan yang baik dengan raja-raja Melayu di Nusantara. Malah para orientalis ini telah berjaya menyediakan teks perjanjian antara British atau Belanda dengan raja-raja Melayu dalam tulisan jawi. Nah, dengan kepakaran bangsa Barat menyampaikan maklumat, seluruh bangsa Melayu di Nusantara berjaya dikuasainya. Akhirnya agama, adat dan budaya dari Eropah diterima pakai oleh Melayu Nusantara Malaysia dan Indonesia.

Sekarang di negara kita sedang berembukan atau diskusi meja bulat sama ada mahu meneruskan pengajaran ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau kembali menggunakan bahasa ibunda anak-anak Nusantara. Kalaulah para birokrat pendidikan faham pengajaran alquran diturunkan kepada bangsa Arab dalam bahasa Arab, tentu akal mereka mula jernih. Kalau pula akal yang jernih itu ditambahi dengan pengetahuan dan pengalaman kejayaan bangsa Eropah menguasai Nusantara dahulu, tentulah satu keputusan yang betul memang sudah bisa diambil.

Pelajaran dan pendidikan adalah proses pemindahan maklumat atau ilmu. Sama juga turunnya wahyu beransur-ansur selama 23 tahun kepada bangsa Arab sebagai proses pelajaran dan pendidikan. Untuk memberikan maklumat dan kemahiran kepada orang-orang yang bahasa ibundanya Melayu, maka tidak syak lagi bahasa yang terbaik ialah bahasa Melayu. Kalaulah orang berhujah bahawa banyak ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, maka perhatikan juga hal-hal yang tidak diketahui oleh bangsa Arab kurun ke tujuh juga dicatat dalam bahasa Arab (alquran).

Sejarah unggulnya tamadun Islam di kota Baghdad pada zaman Abasiyyah salah satunya kerana terbina Baitul Hikmah, iaitu pusat penterjemahan karya asing ke dalam bahasa Arab. Negara sudah punya Institut Terjemahan Negara yang ditanggung beres oleh pemerintah selain Dewan Bahasa dan Pustaka. Telah banyak pula pakar dalam banyak bidang yang dahulunya terdidik dalam sistem bahasa ibunda. Merekalah salah satu aset dalam program penterjemahan karya asing.

Sesungguhnya jika keadaan yang sekarang kian goyang dan masih diteruskan juga, banyak manusia yang tidak faham. Entah, penulis pun tidak faham apa falsafah di balik itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan