Pengikut

Selasa, September 23, 2008

TRAGEDI duka sewaktu musim tawa?

"Bukan kerna ledakan bom, namun diduga 200 jiwa akan maut berdarah dalam tempoh dua minggu, sebelum dan dalam idulfitri! Innalillahi wa inna ilaihi raa ji'uun....."



RUTIN pada setiap menjelang hari raya selain lagu-lagu hari raya, ialah peringatan pihak berkuasa mengenai nahas kecelakaan di jalan raya. Termasuk tahun ini sudah ada 17 operasi atau ops yang dilakukan oleh polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurangkan kadar kecelakaan dan kematian di jalan raya.

Sejak beberapa tahun, satu minggu sebelum dan sesudah hari lebaran merupakan musim pembunuhan ngeri pada saat umah bergembira. Ertinya, pada saat sanak saudara bergembira menyambut hari raya, semua sedang diintai oleh duka nestapa kehilangan orang tersayang yang tiba-tiba. Untuk rekod, jumlah kematian dalam tempoh dua minggu akibat kecelakaan di jalan raya kerana musim perayaan ialah antara 210-250 orang. Pada musim idulfitri tahun lepas sebanyak 225 jiwa terkorban akibat nasib buruk ini. Di negara kita, tanpa musim perayaan pun jumlah kematian akibat nahas di jalan raya ialah antara 13 hingga 15 orang sehari. Jumlah ini besar kerana jumlah penduduk di negara kita hanya 27 juta orang, bukan 270 juta!

Penulis pun antara yang dalam kekhuatiran mengenai nasib buruk pada musim ini pula. Bayangkan sahaja, berdasarkan rekod lalu, maka akan terjadi lagi kecelakaan maut dan bakal manarik sekurang-kurangnya 200 jiwa! Siapakah mereka kali ini?

Menurut laporan pihak berkuasa, 94 sebab peratus kecelakaan berkenaan berpunca daripada sikap para pemandu atau penguna jalan raya. Para pakar telah mengakui bahawa peraturan di jalan raya sudah mencukupi dan dalam pengetahuan pengguna. Jika 94 peratus merupakan sebab daripada pengguna, maka kesalahan terpikul di pundak para pengguna jalan raya.

Antara yang kerap diabaikan oleh pengguna ialah memandu melebihi had laju yang dibenarkan, memintas kenderaan di tempat larangan selain hanya mementingkan diri sendiri dalam pemanduan. Daripada sekian banyak pengguna jalan raya, penunggang motorsikal merupakan mangsa terbesar, dan barangkali pada tahun ini juga punya kecenderungan yang sama.

Orang muda, darah muda dan serba mahu keseronokan. Maka jalan raya mudah sangat dijadikan medan mempertontonkan aksi luar biasa ketika menunggang motorsikal. Imej begini ada di seluruh negara. Maka benar, kelak penunggang motorsikal akan punya data terbanyak dalam rangking kematian dalam tempoh dua minggu mulai hari ini. Yang sedih, mereka itu semua Melayu dan telah mengaku muslim!

Tulisan ini sebagai peringatan bersama, hubaya-hubaya dengan nasib buruk yang dibenci tetapi sentiasa rakus menunggu mangsa. Senantiasa beringat mengenai nasib buruk dapat membantu kita lebih berhati-hati menggunakan jalan raya. Kalaulah sudah senantiasa cermat dan beralah, kemudian terkena juga barulah benar dikatakan nasib yang tertakdir. Hendak buat apa lagi, tidaklah sesal sangat.

Harus diingat bahawa memandu kenderaan juga dalam beribadah kepada Allah. Moga-moga dengan mengingat diri dalam ibadah dan berhubung dengan Allah, akan mengurangkan lagi nafsu buruk yang wajib dibuang itu. Harap Allah menolong hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa sekalipun sewaktu di atas jalan raya. Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan