Pengikut

Rabu, September 17, 2008

TURUNNYA alquran yang unggul

BULAN Ramadan ini dalam sejarahnya ialah bermulanya alquran diwahyukan melalui Rasulullah, untuk umat manusia. Dalam surah albaqarah ayat 2-5 (maksudnya) “Kitab ini tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada kitab (alquran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin adanya kehidupan akhirat. Mereka itulah yang mendapat petunjuk daripada Tuhan dan beruntung.”

Rupa-rupanya Allah telah memberi penjelasan mengenai mereka yang bersedia menerima dan menjadikan alquran sebagai panduan hidup. Walaupun alquran berada di tengah-tengah medan hidup sebagaimana banyaknya tulisan dan buku (kitab) lain, bukan semua manusia menerima alquran sebagaimana yang Allah terangkan.

Dengan turunya alquran bererti semua pengajaran Allah yang terkandung dalam kitab-kitab terdahulu termansuh, sebaliknya semua manusia berkenaan wajib menerima alquran sahaja sebagai panduan. Segala ajaran atau syariat nabi-nabi terdahulu sama ada yang diceritakan dalam alquran atau tidak diceritakan, semuanya wajib dilepaskan sebaliknya hanya menerima alquran itu sahaja sebagai petunjuk baru.

Alquran itu syariat yang terakhir dan semua manusia mesti hidup menerima syariat terbaru ini. Jelasnya alquran atau syariat mesti diterima oleh masyarakat sama ada asalnya mereka telah berpegang kepada ajaran kitab wahyu atau mereka yang tidak berpegang apa-apa syariat wahyu.

Kalaulah yang berupa kitab seperti Zabur, Taurat dan Injil pun dimansuhkan dan wajib hanya diterima alquran sahaja, maka tentulah ajaran atau pegangan adat resam yang berlawanan dengan alquran wajib dilepaskan demi menerima alquran sebagai satu-satunya petunjuk.

Jika mereka yang bergelar ahli kitab terpaksa melepaskan pegangan daripada kitab-kitab yang pernah diajarkan oleh nabi dan rasul Allah demi menerima alquran, maka tentulah manusia yang hanya beragama secara angan-angan atau andaian semata-mata juga wajib melepaskan anutan berdasarkan hawa nafsunya itu.

Prinsip penerimaan alquran dengan melepaskan apa juga pegangan kepercayaan atau ibadah lain berlaku sejak zaman Rasulullah Muhammad bin Abdullah hinggalah hari kiamat kelak. Jelasnya syariat yang ada dalam alquran tidak boleh disesuaikan kepada kehendak masyarakat, tetapi masyarakatlah yang wajib melepaskan mana yang berlawanan dengan alquran demi penerimaan alquran ini. Ini sangat jelas dan tidak ada apa-apa perdebatan lagi.

Oleh itu menjadi kewajiban kepada manusia beriman untuk memahami prinsip asas berupa akidah, ibadah dan syariat lain dalam alquran supaya pegangan ibadah dan kehidupan tidak lari daripada kitab wahyu ini. Selagi manusia buta atau tidak tahu prinsip-prinsip asas alquran, selagi itulah mereka tidak bersedia menerima alquran dan membuang mana yang berlawanan dengan alquran.

Akhirnya dalam kalangan mereka ada ruang kosong apa yang sepatutnya sebagai ajaran alquran. Keadaan ini sebenarnya membuka peluang besar kepada musuh Allah menyusup masuk dan berpura-pura sebagai ahli agama lalu menyampaikan pandangan yang menggambarkan Islam, namun tidak secocok dengan ajaran asas alquran dan sunah.

Dalam masyarakat kita ini, selagi alquran masih dikurung dalam almari atau ‘dimuliakan’ dengana cara tidak berani menyentuhnya atau meletakkan di tempat yang sukar dibaca, selama itulah buta alquran merajalela. Namun masyarakat tidak disedarkan oleh ahli-ahli agama secara praktikal. Seruan hanya secara lisan yang sambil lewa.

Jadi begitulah berpuluh-puluh dan beratus tahun masyarakat kita tersisih jauh daripada alquran dan sunah sekalipun khusuk beribadah kepada Allah. Kalangan mereka berasa lebih selamat dan aman hanya bergantung pemahaman Islam hasil pertanyaan dengan mereka yang ahli, bukan meneroka sendiri kandungan alquran dan sunah sebagaimana mereka meneroka ilmu kemahiran dalam kerjaya hidup.

Penulis suka mengambil contoh nyata bagaimana masyarakat hanya diasuh agar membaca alquran tanpa tahu apa isinya. Pergilah ke Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 Kuantan, dan akan ditemui beratus-ratus alquran yang mudah dicapai oleh pengunjung. Namun pengunjung seperti mencari sebatang jarum dalam hutan jika mencari sebuah alquran ada terjemahan bahasa Melayu.

Kalau situasi ini di negara Arab yang bahasa ibundanya adalah sama seperti bahasa alquran, wajarlah. Ini wilayah yang bahasa ibundanya bukan bahasa alquran, dan memang sah lebih 95 peratus masyarakat muslimnya tidak faham bahasa Arab, namun masyarakat hanya ditawarkan membaca alquran untuk faedah di akhirat sahaja.

Itulah imej alquran dalam wilayah Melayu ini dan contoh citra pemahaman bagaimana mereka menerima alquran yang dikatakan sebagai petunjuk hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan