Pengikut

Isnin, Mac 31, 2008

LADA, cabai atau cili

TIDAK semua dialog berguna membangunkan minda daripada dungu kepada terbuka. Saya hendak paparkan cerita yang tidak banyak di ketahui oleh orang atau bangsa Melayu. Tidak keterlaluan, hanya setelah anda membaca tulisan saya barulah diketahui rupa-rupanya ada perselisihan pendapat yang menarik sekali dan dahsyat.

Orang Melayu mesti pernah makan nasi lemak. Di mana-mana ada orang melayu seluruh pelosok dunia mesti tahu dan pernah makan nasi lemak. Senang cakap kalau dia mengaku berbangsa Melayu dan tidak tahu apa nasi lemak, jangan terima dia dalam bangsa Melayu! Hebat betul nasi lemak ini.


Nasi lemak mesti ada sambalnya. Itulah mercu tanda nasi lemak di serata dunia termasuk d Tokyu dan Ulan Bator. Tahu Ulan Bator di mana? Mongolia! Kini sedang berlaku perdebatan yang maha hebat mengenai istilah yang digunakan untuk membuat sambal bilis nasi lemak. Aliran Melayu Dabel X mengatakan lada sebagai bahan utama membuat sambal bilis nasi lemak sebenarnya sama saja dengan maksud cili. Satu aliran lain, Tripel X pula mendakwa perkataan lada tidak boleh disamakan dengan cili. Bagi Tripel X cili sangat asing dan bukan bahan membuat sambal bilis. Tambah mereka, pertukaran istilah lada kepada cili telah menyebabkan maksud nasi lemak berubah. Apabila erti nasi lemak berubah, maka bangsa Melayu sudah kehilangan sepenuhnya identiti. Oleh itu aliran Tripel X menolak sama sekali penggunaan istilah cili selain lada. Menurutnya lagi, jika ada sesiapa yang bertegas menggunakan istilah cili untuk menceritakan nasi lemak bermakna mereka sudah terkeluar daripada bangsa Melayu.

Banyak berlaku perdebatan dan berlarutan berhari-hari, berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Di Universiti Melayu Nusantara juga diadakan kursus nasi lemak dan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Nasi lemak. Oleh kerana itu berdebatlah mahasiswanya berkenaan istilah lada dan cili. Dalam pada itu pada waktu pagi mereka semua masih bersarapan nasi lemak di cafeteria atau menjadi ejen pemasaran nasi lemak di asrama-asrama.

Ya rabbi, apalah punya anak muda Melayu berdebat mengenai lada dan cili sampai ke universiti. Suka tidak suka, banyak masa dan tenaga dibazirkan dalam perdebatan yang entah apa faedah dan di mana hujungnya. Memang ini cerita rekaan saya sendiri, tetapi hendak menggambarkan ada perkara yang didebatkan oleh kita semua macam kes nasi lemak itu.

Perdebatan istilah istiwa dan semayam bagi saya sudah seperti debat antara lada dan cili. Fikirlah dengan minda dan akal yang tulus. Dalam keadaan umat Islam dihadapkan dengan pelbagai cabaran yang rumit, kita berdebat dan berpecah kerana istilah. Saya menyeru mereka yang sefikrah dengan saya agar tidak terperangkap dengan permainan musuh Islam ini.

Aduhai banyaknya kerja Islam atau dakwah yang tidak beres. Berapa banyak lagi rakan-rakan bukan muslim yang belum diceritakan mengenai Islam. Berapa banyak saudara baru Islam yang senantiasa perlukan bimbingan. Berapa banyak anak muda yang seakan malu mengaku sebagai muslim. Berapa banyak ahli masyarakat kita yang tidak faham erti Islam yang kaffah. Oh banyak lagi kerja yang dapat merapatkan ukhwah sesama Islam. Moga-moga kita semakin dewasa dalam mengharungi cabaran semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan