Pengikut

Ahad, Mac 30, 2008

JIKA nelayan menjadi peguam

WACANA keilmuan masih disorot untuk dibicarakan. Apabila Allah menurunkan wahyu pertama iqra’ di tengah-tengah masyarakat yang jahil dan buta huruf maka amat difahami gesaan Allah mengenai iqra’ itu. Iqra’ atau gesaan membaca (baca:menuntut ilmu) menjadi kewajiban utama setiap muslim. Kalaulah bukan kerana ilmu di dada, 50 tahun sejak wahyu pertama diturunkan bangsa Arab masih dalam jahil dan buta huruf. Namun sejarah merakam bahawa bangsa yang diakui jahil sebelum menerima wahyu telah menjadi satu bangsa yang disegani oleh masyarakat dunia lain.

Dalam hal keilmuan ini di negara kita juga kerap didengar tentang standard ilmu berdasarkan lokasi. Orang desa yang bekerja sebagai petani dan nelayan digambarkan kurang berilmu kerana didakwa tidak sekolah tinggi. Di balik itu orang di kota digambarkan sebagai masyarakat berilmu kerana didakwa mendapat pendidikan tinggi. Secara umum begitu, tetapi persepsi itu tidak muktamad.

Benarkah ayah dan paman-paman saya sebagai petani tidak berilmu? Atau bodohkah sahabat-sahabat saya di pesisir pantai sebagai nelayan? Kalau orang-orang di kota berpendapat demikian, kami orang-orang desa sebagai petani dan nelayan meminta orang-orang yang bijaksana turun ke desa untuk bertani dan menangkap ikan. Gunakanlah kebijaksanaan mereka sebagai ahli falsafah, teknokrat, usahawan besar, ahli akademik, ahli undang-undang dan segala macam pakar untuk menangkap ikan bilis saja. Bandingkan pendapatan Tan Sri Datuk Ramona sebagai nelayan dengan Paklang Jusuh juga sebagai nelayan untuk tempoh sebulan. Berapa ratus kilo ikan dapat ditangkap oleh kedua-dua manusia berlainan disiplin ilmu dan pengalaman?

Jika ujian ini masih menunjukkan Paklang Jusuh dengan mudah mengatasi kehebatan nama Tan Sri Datuk Ramona, itulah hakikat bahawa setiap manusia telah memilih lapangan kerjaya dengan ilmu masing-masing. Ini juga membawa kesimpulan bahawa jangan sesekali memberi tanggapan orang lain berilmu atau bodoh dengan kaca mata yang dipakai oleh penilai. Menilai seseorang berilmu atau tidak harus menggunakan kaca mata yang adil menurut budaya masyarakat yang dinilai. Jangan main-main kerana Allah sudah berpesan dalam alquran supaya berlaku adil sekalipun benci kepada pihak-pihak berkenaan.

Bolehkah disiplin ilmu seseorang diceroboh oleh pihak lain? Tidak faham! Bolehkah Paklang Jusuh naik ke mahkamah menjadi peguam sedangkan dirinya seorang nelayan? Jika Tan Sri Datuk Ramona seorang peguam terkenal boleh menaiki bot dan memancng ikan di laut menceroboh dunia nelayan, mangapa Paklang Jusuh dihalang menjadi pembicara di galeri mahkamah? Untuk Paklang Jusuh mewakili mana-mana pihak di mahkamah memang ada halangan undang-undang, namun jika Paklang Jusuh didakwa di mahkamah atas apa-apa tuduhan, Paklang Jusuh boleh memilih membela diri tanpa menggunakan khidmat peguam! Ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penggulung sidang mahkamah dalam kes yang dihadapi dahulu, sedangkan Anwar tidak memiliki ijazah undang-undang.

Ada kalanya dunia begitu kejam meletakkan jenis-jenis pekerjaan sebagai berstatus tinggi atau rendah. Kerjaya peguam, akauntan, arkitek dan doktor (sekadar beberapa jenama kerjaya) dilabel kerjaya profesional berstatus tinggi. Maka anak-anak kecil diasuh agar bercita-cita sehebat itu. Kerja sebagai peniaga pasar malam, petani, guru dan nelayan digolongkan bukan profesional kerana dianggap sesiapa saja dapat terjun ke dunia pekerjaan berkenaan tanpa halangan budaya dan undang-undang. Misalnya jika Tan Sri Datuk Ramona ditarik lesen guamannya kerana rasuah, Tan Sri berkenaan akan menukar pakaian peguam dan terus saja bekerja sebagai nelayan bersama Paklang Jusuh. Namun jika Paklang Jusuh bosan menjadi nelayan dia tidak boleh dengan sesuka hati membuka syarikat guaman.

Profesional ialah kemahiran dalam sesuatu bidang. Paklang Jusuh adalah seorang nelayan profesional sekalipun tidak mempunyai Ijazah dalam bidang perikanan. Beliau layak diberi gelaran Datuk setelah bergelumang dalam dunia perikanan lebih tiga puluh tahun. Masalahnya di negara kita tidak ada Majlis Nelayan seperti adanya Majlis Peguam!

Moral catatan ini ialah untuk membuka minda kita semua bahawa setiap orang telah dianugerahkan oleh Allah dengan kepakaran masing-masing. Dengan kepakaran atau ilmu itu seseorang dapat memahirkan diri dalam kerjayanya dan layak diiktiraf sebagai pakar. Lagi, ilmu itu pula bukan sepatutnya dikepung oleh sesuatu peraturan atau budaya elit. Orang-orang yang dikatakan pandai dan bijak di kota-kota wajib membuka minda dan mula memberi pengiktirafan kepada kerjaya masyarakat desa. Jangan sesekali menganggap mereka tolol kerana tidak punya kelayakan akademik dan persatuan-persatuan yang mengelitkan kerjaya mereka.

Setiap disiplin ilmu juga bukan mutlak milik segolongan sehingga seorang petani yang menjadi imam dan memberi ceramah hal ibadah dianggap menceroboh dunia para agamawan. Jika seorang ulama setiap hujung minggu turun ke laut kerana ketagih memancing ikan yang tentunya sudah memiliki ilmu memancing ikan, maka ulama wajib menerima jika ada nelayan membaca khutbah atau memberi kuliah tafsir setiap minggu di surau, tentu kerana si nelayan itu mempunyai kemahiran dan faham keperluan masyarakat desanya. Kalau ijazah masih dijadikan ukuran, dunia kejam terhadap ilmu tafsir alquran seorang nelayan yang ditekuni berpuluh tahun.

Untuk rekod, pentafsir enslikopedia al Azhar, Buya Hamka bukanlah seorang terdidik secara formal dalam ‘agama’, namun almarhum benar-benar seorang profesional. Mujur juga tidak ada Majlis Agama yang mengehadkan keahlian berdasarkan kelulusan tertentu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan