Pengikut

Jumaat, Mac 07, 2008

KHUTBAH Jumaat: si munafik

Khutbah Jumaat di masjid tadi menceritakan manusia yang berciri munafik. Untuk rekod, masjid ini bukanlah masjid yang bebas mengeluarkan teks khutbah atau menjemput sesiapa saja untuk berkhutbah. Tidak dipastikan, sama ada khutbah ini ada kaitan dengan kempen pilihan raya atau secara kebetulan mengisi jadual.

Khatib menjelaskan maksud munafik iaitu manusia yang menampakkan wajah dan perilaku Islam tetapi di jiwa sebenarnya merupakan pembenci kebenaran. Inilah manusia yang berpura-pura. Yalah, dalam bahasa modern munafik disebut hipokrit. Apabila disebut hipokrit terasa kurang gerunnya sebagai adanya ancaman oleh Allah. Oleh itu kalimah munafik yang diambil daripada alquran wajar terus digunakan.

Siapa munafik? Bapak Khatib tadi menjelaskan pengertian satu hadis nabi. Bahawa peribadi munafik dikesan melalui tiga perkara.

Satu: Kalau dia atau mereka bercakap, berbicara, berceramah, berkhutbah atau apa-apa berbentuk ucapan, dia akan berdusta. Oleh kerana zaman ini, wahana media bukan hanya percakapan saja, maka menulis juga dapat dibawa maksud berkata-kata juga. Oh, maka siapa yang membuat penulisan dusta, faktanya penipuan maka termasuklah pendustaan.

Dua: Orang munafik, kalau berjanji kepada khalayak atau sesiapapun, dia cenderung untuk tidak melaksanakan janjinya. Dia atau mereka akan berjanji pelbagai kepada orang dengan niat apa pun, namun akhirnya tiada apa-apa yang dilaksanakannya. Janji mudah kerana bermodalkan air liur. Janji hendak bayaar hutang, sampai bertahun-tahun sehingga pemberi hutang lupa atau mati, tak berbayar juga. Janji itu dan ini, terutama dalam musim berkempen pilihan raya, yang ini kena tunggu selepas yang berjanji itu menang dalam pilhan raya.

Tiga: Orang munafik apabila diberi jawatan atau amanah, dia atau mereka akan cenderung 'pecah amanah'. Dia diberi kuasa menjaga RM100 ribu wang anak yatim untuk mengendalikan urusan anak yatim, sebagian besar wang itu dipergunakan untuk kepentingan peribadinya. Diberi amanah sebagai pemimpin untuk memimpin orang-orang di bawahnya, di bawah jabatannya, di bawah kendaliannya, amanah itu disia-siakan. Bukan senang memikul amanah. Semakin besar amanah seperti memimpin 100 ribu rakyat, 1 juta ahli jemaah atau 27 juta warga negara, segala amanah wajib dijalankan sesuai dengan prinsip alquran dan sunah.

Setiap manusia tidak gemar dilabel munafik sebab itu gambaran manusia paling buruk. Alquran menjanjikan kepada orang munafik wilayah terbawah dalam annar atau neraka! Tetapi manusia zaman kini sangat suka dan teruja dengan jabatan dan amanah yang banyak dan besar-besar.

Akhirnya, kita semua sama ada orang kecil atau orang besar akan kembali kepada Allah. Besar amanahnya, lamalah bersoal jawab di akhirat kelak. Kecil amanahnya, lebih pantas soal jawabnya. Tapi, siapa dapat melaksanakan amanah yang besar itu dengan halal, wah nikmat besar di akhirat sana.

Semoga Allah memberi keampunan dan keluwesan dalam melaksanakan amanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan