Pengikut

Rabu, Mac 19, 2008

MAHU menuduh apa-apa?

KATAKAN anda sangat beremosi dan mempunyai pendirian paling tegas dalam sesuatu hal. Katakan saja di hadapan anda ialah masyarakat atau sekumpulan manusia yang pada perkiraan anda sangat tidak berguna atau bahlul. Jika begitu suasananya, bilakah anda akan mencerca atau menghukum kumpulan yang bahlul itu?
Jika anda seorang pelaknat terkenal, anda tidak perlu menunggu apa-apa pengesahan, terus laknat atau cerca mereka dengan sehebat-hebat cercaan. Jangan perduli apa-apa, yang penting misi anda ialah menghukum mereka sebagai kumpulan paling bahlul.

Jika anda cermat sedikti, anda akan meneliti peribadi manakah yang paling layak untuk dihukum atau dilaknat. Maknanya, sekalipun di hadapan anda ada sekumpulan yang didakwa bahlul tidak berguna, anda masih mahu menentukan hukuman itu benar-benar ditujukan kepada yang paling layak.

Bagaimanakah Allah menghukum manusia di dunia? Ini perlu kita ketahui supaya sesuatu tindakan yang bersifat agresif terhadap sekumpulan manusia benar-benar sesuai dengan manhaj yang dicontohkan dalam kitabullah. Begitu banyak cerita nabi dan rasul dalam alquran bukanlah hanya sebagai mengambil pengajaran sejarahnya sahaja. Catatan sejarah dakwah pada nabi dan rasul juga dapat dijadikan panduan dalam menentukan kaedah menghadapi sesuatu perkara.

Kesimpulan yang hampir sama daripada kisah nabi dan rasul dalam alquran ialah akhirnya Allah melaknat atau menghukum sesuatu kaum setelah Allah mengutus nabi atau rasul untuk memberi ilmu atau pengajaran supaya beriman kepada-Nya. Tidak ada satu bukti dalam kitabullah itu Allah melaknat atau menghancurkan sesuatu kaum kerana kesalahan mereka tanpa sebelumnya mereka diberi pengajaran dan peringatan.

Perbuatan menghukum seseorang atau sekumpulan manusia berdasarkan alquran berlaku setelah seseorang atau sekumpulan manusia itu diberi ajakan beriman, atau pengajaran supaya bertauhid kepada Allah, namun mereka enggan. Ya, jika sudah begitu maka wajar amat Allah menurunkan balasan buruk kepada mereka.

Oleh itu kepada kita sesama manusia, wajib benar meneliti kaedah yang ditunjukan dalam alquran. Jika antara kita sudah teringin sangat untuk membuat sergahan, cercaan, makian atau memfatwakan seseorang atau kumpulan itu sebagai salah, jahil, bahlul, sesat termasuk kafir, maka langkah pertama ialah memberi ilmu, pengajaran dan ancaman daripada kejahatan atau kesalahan mereka. Bertemu dan ajaklah mereka ke jalan yang benar dengan sesungguh-sungguhnya, bukan sekadar menghantar SMS kemudian dianggap cukuplah syarat berdakwah kepada mereka. Setelah berpuas hati barulah pihak berkuasa memfatwakan seseorang atau kumpulan itu sebagai apa yang mahu dituduhkan.

Memfatwa atau menetapkan satu tuduhan itu juga bukan secara umum kepada sesuatu golongan sehingga sukar difahami oleh ummah, kerana ini akan membawa keresahan lain dalam ummah. Ambil contoh fatwa mengharamkan ajaran Aurad Muhammadiah di kalangan pengikut Asyaari Muhammad, dilakukan secara jelas dan khusus sehingga ummah dapat menetapkan siapa dan batas sempadannya. Nama Asyaari Muhammad dan perkumpulan yang bernama al Arqam juga jelas, bukan samara-samar. Maka jelas fatwa itu ditujukan kepada mereka. Oleh itu ummah tahu sempadan fatwa itu dan tidak gelisah apa sebenarnya yang difatwakan.

Anehnya ada gerakan menghukum ‘aliran salafi’ sebagai sesat tanpa ditujukan sebenar kepada individu atau kumpulan yang jelas batas sempadannya. Jika benar sudah ada fatwa, maka mengapa tidak didakwa secara jelas mana-mana individu yang disangka sesat supaya masing-masing dapat mencari keadilan di mahkamah. Masyarakat pun secara jelas dididik mengenai siapa dan di mana batas sempadannya. Jika ini gagal dilakukan, gerakan berkenaan lebih meresahkan umah, bukan memberi kesedaran dan ilmu kepada masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan