Pengikut

Rabu, April 02, 2008

MEWARISKAN ilmu

KERAP benar didengar supaya kita menyampaikan ilmu kepada manusia lain. Tambahan pula apabila mengingat maksud sabda Rasulullah yang menyatakan antara pusaka yang berguna setelah kita tinggal dalam tanah ialah ilmu yang dimanfaatkan oleh manusia di atas tanah. Kerana mewariskan ilmu merupakan antara tradisi dan kewajiban, maka hampir semua pelajar yang sedang belajar ilmu agama mempunyai cita-cita untuk menyampaikan ilmu agama kepada manusia. Memang mulia dan kerja terpuji.

Kalau ilmu diertikan sebagai ilmu akidah dan ibadah sahaja yang dikatakan berguna kepada si arwah, nampak sempit benar pemikirannya mengenai ilmu. Biarlah kita berlaku adil dalam memberi maksud ilmu supaya minda menjadi luas. Kehidupan manusia sangat rencam dan pelbagai. Oleh itu apa sahaja keperluan untuk hidup manusia yang memenuhi fitrah sama ada mereka Islam atau bukan Islam diterima sebagai kelangsungan ilmu. Kalau matematik disahkan sebagai ilmu, maka terimalah membuat pencungkil gigi juga ilmu. Kalau seseorang meninggalkan buku-buku perakaunan untuk generasi selepasnya mempelajari dan menggunakan ilmu itu, maka seorang tukang sapu juga berhak mewariskan ilmu menyapu sampah kepada sejuta manusia. Kelak apabila orang membaca bukunya dan menggunakan kaedah yang ditawarkan, tentulah ilmu menyapu sampah itu menjadi harta berguna kepada dirinya yang sudah bergelar arwah.
Memang apa-apa ilmu termasuk cara-cara mengikat mata kail dan menggulung kain pelikat di perut juga ilmu yang wajib disebarkan kepada khalayak. Kalau kepelbagaian ilmu tidak disebarkan dan diwarisi oleh generasi seterusnya, maka putus dan lenyaplah sesuatu disiplin ilmu. Banyak disiplin sesuatu ilmu telah lenyap dan banyak pula disisplin ilmu baru muncul. Hilang dan tumbuhnya ilmu dalam kehidupan kerana perubahan budaya dan kehendak semasa.

Kemajuan hidup masyarakat desa telah melenyapkan banyak ilmu yang telah digunakan sejak sekian lama. Mana ada anak muda di desa sekarang tahu memanjat pokok atau menebang pokok besar sedangkan itu antara ilmu dan kemahiran nenek moyang. Dengan ilmu dan kepakaran itulah hutan dipugar menjadi desa. Kini desa itu sudah menjadi bandar pula. Oleh itu ilmu memanjat pokok rambutan dan kelapa yang selama ini menyejukan arwah nenek moyang di kubur, semakin mengecil dan akan hilang nikmatnya di alam barzakh. Misalnya pada tahun 2020 kelak tiada langsung manusia mengamalkan ilmu memanjat pokok rambutan dan kelapa, putus teruslah nikmat ilmu berkenaan yang selama ini berguna kepada arwah.

Sebab itulah orang lebih suka condong memberi erti ilmu yang berguna sebagai ilmu akidah dan ibadah saja sebab selagi ada manusia beriman kepada Allah, berakidah dan beribadah dari satu generasi ke generasi seterusnya, dapatlah faedahnya di alam barzakh sana. Opps, buka kembali fikiran kita. Alexander Graham Bell mencipta telefon dua ratus tahun dahulu. Hari ini, manusia mana yang tidak menggunakan telefon? Ya, kalaulah Graham Bell seorang yang beriman kepada Allah, tentulah banyak nikmat alam barzakh diterima kerana kian banyaknya manusia menggunakan telefon hari demi hari. Ingat, telefon bukan ilmu akidah dan ibadah khusus, itu ilmu dunia!

Oleh itu kepada mereka yang telah dan sedang mendalami apa-apa ilmu sekalipun bukan berdisiplin ilmu akidah dan ibadah, peluang mewariskan ilmu untuk manfaat di alam barzakh tetap terbuka. Pandai-pandailah mempersiapkan warisan ilmu itu untuk jangka masa panjang hingga seribu tahun akan datang!

Boleh jadi menulis buku atau menulis dalam internet supaya dibaca banyak orang. Jika menggunakan bahasa antara bangsa, tentulah banyak pembaca dan banyak pula pewarisnya. Ilmu yang sudah tersebar ke banyak negara lain pula diguna oleh manusia-manusia lain pada tahun-tahun kemudian. Wah banyak sungguh faedah yang akan diterima, padahal dia hanya mewariskan ilmu yang kecil: Cara mengasah pisau yang betul!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan