Pengikut

Selasa, Mac 11, 2008

PTK dan tuduhan penipuan

BAGI rakan-rakan kaki tangan kerajaan, sekarang musim menduduki Penilaian Tahap Kecekepan (PTK). Kalau lulus akan digunakan sebagai sebab naik pangkat dan melonjak gaji secara luar biasa. Sebab itu bertungkus-lumus untuk lulus cemerlang. Namun kedengaran orang meniru dalam PTK.

Apa hukumnya meniru dalam peperiksaana PTK? Menipu dalam PTK samalah isunya menipu dalam perniagaan, curi tulang atau ponteng kerja tapi masih menerima upah kerja. Selain itu termasuk juga menerima wang rasuah, sudah dibayar gaji untuk kerjanya tetapi meminta wang lain daripada orang yang berurusan dengannya. Semua ini babak penipuan untuk mendapatkan wang lebih. Wang ini untuk keperluan sendiri dan keluarga. Pendapatan telah bercampur hasil kerja yang menepati disiplinnya dan hasil penipuan. Semua wang itu juga dikumpul supaya banyak, guna membiayai keperluan hidup termasuk hal-hal ibadah seperti solat, berbuka puasa, umrah dan haji!

Untuk rekod, pembayaran zakat juga disebut pembersihan harta. Maksudnya kerana kelemahan manusia, kemungkinan saja seseorang muslim ada melakukan kesilapan seperti cuai, lewat hadir atau malas, namun gajinya tetap sama. Dalam perniagaan mungkin tidak sengaja terkurang menimbang barang. Dalam pertanian, mungkin tidak sengaja menerima aliran air daripada kebun jiran. Di sanalah ada zakat untuk membersihkan pendapatan yang tercemar hasil kelemahan dalam kerja.

Hal ini bermakna zakat sebagai pembersihan tidak boleh ditafsir sebagai pembersihan kerana sengaja menambah hasil haram. Misalnya sengaja mengambil wang rasuah atau ponteng kerja, dengan alasan nanti membayar zakat, maka sucilah harta yang dimilikinya. Astaghfirullah…..

Mari lihat antara maksud hadis Rasulullah.
Hadis 1: Pada suatu hari Rasulullah pernah melewati di hadapan seorang lelaki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengkagumi, kemudian memasukkan tangannya ke tempat makanan tersebut. Apabila didapati makanan itu basah (sepatutnya kering) Rasulullah bertanya, “Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini?”
Peniaga itu menjawab, “kena hujan.”
Sabda Rasulullah, “mengapa tidak kamu tidak kamu letakkan yang basah di atas, supaya orang mengetahuinya? Barang siapa menipu, bukanlah (mereka) daripada golongan kami (Islam).
Hadis riwayat Muslim.

Hadis 2: Maksud sabda Rasulullah “Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu, maka haram jugalah harga jualannya (keuntungan hasil yang haram).”
Hadis riwayat Ibn Hibban

Hal penyelewengan dan penipuan pun mudah dijawab oleh orang awam sebagai haram! Jadi tidak ada perselisihan pendapat ulama. Mereka sepakat mengatakan haram melakukan apa-apa penipuan semasa mencari rezeki. Bagaimana mahu menghindari perbuatan keji itu? Jawabannya tidak lain ialah ‘beriman kepada hari akhirat’. Salah satu rukun iman ini sangat penting sebagai benteng yang mencegah berlakunya khianat dalam pekerjaan kerana semua perbuatan akan disemak semula di akhirat kelak.

Semakin kuat kepercayaan kepada hari pembalasan di akhirat, semakin kuat seseorang itu menjaga agar tidak melakukan perbuatan haram. Semakin longgar kepercayaan kepada nasib di syurga dan neraka kelak (akhirat) semakin tidak ada panduan seseorang dalam mencari pendapatan, asalkan masuk duit. Inilah maksud iman yang mempengaruhi amal seseorang. Tinggi atau rendahnya iman dapat dilihat pada perilaku seseorang. Inilah yang susahnya, tidak ada orang yang sudah wafat kembali memberitahu yang hidup hal-hal di akhirat sana.

Ini sebagian lagi ujian dalam hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan