Pengikut

Isnin, Mac 24, 2008

KE MANA feudalisme agama?

MENTERI Penerangan yang baru memulakan langkah dengan mengiktiraf peranan penulis blog dalam membina pendangan umum negara. Ini adalah hakikat apabila kerajaan sendiri mengalakkan rakyat meneroka teknologi maklumat (ICT). Malah banyak pegawai kerajaan dihantar ke lembah silikon di Bangalore India untuk menimba pengalaman bagaimana ICT dikendalikan dalam pembangunan masa depan India.
Seperti catatan sebelum ini, asalnya sekitar pertengahan abad ke-15 negara-negara Eropah pemandang sepi dengan peranan mesin cetak. Bagi golongan pemerintah dan elit yang establish waktu itu, kebanjiran buku dan majalah sehingga ke kaki lima tidak akan mengubah status quo yang selama ini dipegang. Hasilnya apa? Pembacaan meluas golongan muda telah menyebabkan munculnya zaman renaissance sehingga membuka buku baru bagi sejarah Eropah. Bermulalah status quo dilanggar dan berlakulah perdebatan antara yang kuno dan idea-idea baru. Siapa yang kalah? Yang kalah ialah golongan jumud yang mempertahankan status quo tanpa ilmu, yang bergantung semata-mata kepada tradisi dan kebanggaan feudal zaman silam.

Maka kalau masyarakat di negara ini bersikap seperti golongan establish Eropah, yang membutakan mata dan memekakkan telinga dengan perkembangan informasi yang sangat lancer, jadilah tsunami dalam banyak hal. Sukar untuk dinafikan bahawa perubahan paradigma masyarakat muda dan di kota adalah hasil didikan langit terbuka. Kepada golongan ini norma-norma lama sedang dalam penilaian dan diadili. Ya, status quo politik negara sedang dalam perubahan hasil pemikiran langit terbuka.

Apa lagi yang akan dilanda tsunami selepas ini? Jawabnya pemikiran agama yang selama ini kukuh membuat tembok dengan pelbagai institusi, sedang dilanda kecurigaan terhadap gerakan pemikiran tajdid global. Kalau tidak kerana keresahan dan mula tercabar status quonya, tidak perlu ada kumpulan-kumpulan berseminar dan kemudian membuat resolusi yang bersifat enemies terhadap golongan yang membawa idea baru. Blog ini juga tidak terkecuali daripada cuba diacah-acah oleh golongan yang mula kepanasan.

Apa pilihannya? Semua pihak perlu berada di medan sebenar sebagaimana Menteri Penerangan kita. Kalau kerajaan masih dalam peti sejuk, kerajaan akan menjadi bahan tawa. Golongan agamawan dan tradisi pergerakan mereka juga mesti keluar daripada kepompong status quo, bersama-sama meneroka arus dan wajib belajar mendengar dan meneliti setiap idea dan hujah. Tamatlah sudah zaman mengangguk-angguk kepala sahaja pada setiap sesi pembelajaran. Ini bukan zaman feudal agama yang mengkultuskan peribadi para imam dan kiyai sebagai manusia terbaik di sisi tuhan. Orang sudah pada tahu dan sadar bahawa teori feudal dalam beragama adalah teori karut dan hanya membodohkan warga yang tulus beragama.

Kaum intelektual dan pembawa panji-panji tajdid, silakan terus berjuang kerana pemikiran umah sudah terbuka dan mahu dilayan secara demokrasi, bukan feudal seperti zaman Maulana Shah Jahan di Kesultanan Melayu Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan