POLITIK! Ya, hampir semua rakyat Malaysia yang berakal sedang berbicara dan berfikir perihal politik Malaysia yang tiba-tiba berubah. Selepas mengundi di Kuantan kelmarin, saya ke Jengka Pahang sebelum sorenya bertolak ke Sabak Bernam untuk menziarahi ayah dan bunda. Saya hantar mesej kepada adik di Kuantan bahawa ada lima negeri dan KL akan bertukar warna. Ramalan saya tepat walaupun meleset untuk dua negeri.
Mengapa kuasa politik yang gagah bisa dihancurkan? Tidaklah menghairankan kerana dalam alquran telah dicatat beberapa kerajaan kukuh atau hebat juga telah berkubur. Berkuburnya kerajaan atau tamadun kerana perbuatan manusia sendiri. Kalaulah sejarah tidak berguna kepada manusia, maka salahlah Allah mengkhabarkan kejatuhan kerajaan Saba dan kekalahan Parsi kepada Rum.
Di negara kita juga, keangkuhan sudah mula dibalas dengan kejatuhan. Benar sabda rasul bahawa doa orang dianiaya tidak ada hijab atau dinding, maka desahannya, rintihan anak-anak lebih dekat dengan Allah yang maha mendengar.
Dua minggu lepas, manusia ini berkata dengan angkuh akan memastikan lawannya hilang wang deposit, hari ini Allah menjadikan dia manusia biasa yang suaranya sudah tidak laku.
Lagi, apabila menganggap sudah gagah dan hebat, memandang orang lain kecil. Dia yang hanya mengganggap lawannya seperti anak-anak, sekarang manusia si anaklah yang menggantikan kedudukannya.
Lagi, lama sebelum itu bagaimana dia mengatakan kalau dirinya tidak bertanding dalam pemilu, maka orang bawahannya pun tidak layak masuk pemilu. Hari ini wajah egonya bertahun-tahun tidak berani dipaparkan dalam media.
Demikianlah Allah mengulang sejarah. Maka patut benar hari ini sesiapa pun muhasabah diri agar senantiasa dalam kerendahan hati dan kejujuran. Kuasa hanya amanah Allah kepada manusia, dan apabila pinjaman ini ditarik semula tiada sesiapa yang dapat menahannya. Hari ini ada insan atau golongan yang bertukar kedudukan. Umpama roda semalam di atas, hari ini di bawah. Esok lusa entah bagaimana suratan Allah.
Di balik keriuhan politik itu, saya juga menyimpan pengalaman antara kesombongan manusia dalam bermuamalat sesama manusia. Saya tidak perlu mengutip ceritera insan lain, cukup dengan membuka emel sendiri untuk membaca cercaan seseorang yang tidak disukainya. Insya Allah dialog antara saya dan pemilik emel ini akan disiarkan supaya menjadi pengajaran bersama. Ada masanya orang berasa besar hanya dengan sedikit pengetahuan. Ada ketikanya seseorang melihat orang lain bagai tidak berguna, kecuali dirinya. Aduhai, dari manakah manusia ini datang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan