SAH, pulau Batu Putih yang direbut-rebut antara Malaysia dan Singapura sudah menjadi hak kedaulatan negara jiran selatan. Benar, meski hanya ketulan batu di laut tetapi besar ertinya kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
Apabila Batu Putih menjadi hak Singapura bererti kawasan sempadan Singapura kian melebar menghampiri Johor iaitu negara kita Malaysia. Ini juga kena difahami sempadan laut Malaysia semakin mengecil di selatan. Bukankah ini sangat rapat dengan hal keselamatan?
Sebelum ini sudah gendah gulana dengan isu penambakan laut di Pulau Ubin yang menghadap selatan Johor. Isunya ialah semua kapal yang akan berlabuh ke pelabuhan Pasir Gudang mesti melalui perairan Singapura! Sekarang dengan Batu Putih menjadi hak Singapura, semakin kecil laluan air dalam negara.
Dahulu apabila Dr Mahathir sudah merancang untuk meroboh Tambak Johor dan membina jambatan, kerajaan PM selepasnya terasa bijak dengan membatalkan rancangan itu. Sebenarnya meroboh tambak itu adalah untuk membina laluan selamat kapal ke Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas, bukanlah sangat dengan trafik sesak ke Singapura. Tidakkah sekarang terasa sesalnya membatalkan cadangan merobohkan tambak?
Kalau benar Malaysia hebat dan bersedia untuk membina kekuatan sendiri, robohkan saja Tambak Johor dan bina jambatan baru. Jambatan bengkok atau lurus bukan isu utama. Yang utama ialah segala kepentingan negara mesti diutamakan. Tidak mengapalah dianggap tidak ada pendirian: sekejap nak buat sekejap tak nak buat. Sekarang isunya ialah kena roboh tambak, bukan malu tak malu. Robohkanlah, rakyat sokong!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan