Pengikut

Khamis, Mei 22, 2008

CITRA mualaf


BARU-baru ini umat Islam dalam negara dikejutkan dengan seorang berstatus mualaf kembali kepada agama asalnya. Hampir semua setuju bahawa punca keadaan ini ialah pemahaman Islam yang diterima apabila seseorang melafazkan syahadah. Benar pemahamannya mengenai Islam, dia akan menjadi muslim yang jelas, sebaliknya jika pemahamannya kabur dia masih tidak mengerti apa itu Islam. Lalu, baginya keluar daripada Islam adalah suatu yang lebih baik.

Sebelum ini saya membaca catatan pengalaman seorang saudara baru. Beliau memeluk Islam pada awal usia 18 tahun. Waktu itu beliau sedang menyambung pelajaran selepas SPM. Atas rasa cinta kepada Islam, beliau berhenti daripada pelajarannya dan menumpukan pula kepada pendidikan rohani. Baginya akhirat lebih utama berbanding keduniaan ini.






Benarkah Islam menyuruh umatnya memborong hal akhirat dan meninggalkan keduniaan? Pemikiran saya tidak menyalahkan saudara kita ini, tetapi sadar bahawa dia telah mendapat maklumat yang salah mengenai Islam. Maklumat salah ini dianggap benar oleh saudara kita kerana telah diajarkan oleh seorang (mungkin satu kumpulan) yang telah lama menjadi muslim. Tambah meyakinkan bahawa tindakan itu adalah benar apabila diajarkan oleh mereka yang membawa imej Islam, seperti janggut dan kopiah!

Sama ada saudara baru Islam kita masuk Islam kerana ingin berkahwin atau atas kerelaannya, pemahamannya mengenai Islam menjadi penentu arah hidupnya selepas itu. Mereka umpama kain putih yang menanti muslim lain mencorakkan pemahamannya mengenai Islam. Kalau pembimbing saudara baru ini menjelaskan Islam hanya sebagai tanda sahaja, begitulah pegangannya.

Bagi pembimbing yang berfahaman menolak keduniaan, malah menganggap dunia lebih membawa ke neraka, saudara baru kita akan memahami Islam itu sangat anti dunia. Sebab itu ada antara mereka yang hanya menumpukan ibadah khusus tetapi mengabaikan ibadah am atau fardu kifayah. Tapi tanpa disadari, mereka masih perlukan dunia untuk hidup dan takut pula untuk mati.

Ada pembimbing yang pemikirannya cenderung kepada perseteruan antara pelbagai aliran atau jemaah. Pembimbing ini lupa bahawa saudara baru akan menerima apa sahaja yang diajarkannya. Maka terperangkaplah seorang mualaf dalam perselisihan antara partai, jemaah dan aliran-aliran. Si mualaf ini melihat di luar kumpulannya sebagai salah, sesat dan perlu dijauhi. Lebih malang apabila watak seperti ini dilihat dan ditafsir pula oleh keluarga dan rakannya yang bukan Islam. Islam, bagai tidak ada yang indah!

Saya punya seorang rakan sama umur. Sejak kecil dia seorang yang dianggap cerdas dan cergas. Di sekolah aktif dalam sukan dan bagus sekali akademiknya. Saya tidak pernah mengatasinya dalam dua hal itu. Dia masuk Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di UM, saya ke Kedah di utara. Berdasarkan rekod akademiknya, saya enggan percaya dia tidak mampu berjaya di UM, tetapi selepas dua tahun di UM dia mengundur diri dan mencari pendidikan rohani yang difahami sebagai pelajaran Islam.

Saya pernah bertanya kepadanya hal itu. Jawabnya memang ada faktor yang menolak dari UM dan yang menarik kepada jemaah yang didakwa membawa kehidupan cukup Islami. Ya, sekarang dia menjadi imam di desa.

Contoh-contoh berkenaan merupakan fakta yang telah berlaku. Di balik sesetengah pihak menyerang mereka yang tidak berpendidikan ‘agama’ sebagai secular kerana dikatakan agama suku politik suku, rupa-rupanya orang yang berwatak agama juga tidak kurang yang memilih agama suku dan dunia suku! Kalaulah mereka yang berperanan membimbing mualaf dan anak-anak muda yang mahu kepada Islam meneroka Islam berdasarkan alquran dan sunah, tidak mungkin ada orang yang meninggalkan pendidikan kemahiran untuk kehidupan lalu memilih belajar mentafsir alquran dan hadis. Besar salahnya jika hanya menganggap manusia bergelar ustaz atau ustazah sebagai calon syurga, sebaliknya para petani, jurutera, peguam, pedagang dan penulis novel sebagai ‘lagha’ dan jauh dari bau syurga!

Pembimbing-pembimbing mualaf dan anak-anak muda ini mestilah profesional. Profesional bererti tidak mencampur aduk aliran pemikiran atau pendiriannya dalam mengajar Islam yang polos kepada penerima. Wajib penerima ilmu diberi maklumat secara adil dan tidak diajak menafsir sesuatu pihak, partai, jemaah atau aliran. Undanglah seseorang memasuki Islam berdasarkan alquran dan sunah, dan jangan sesekali mengundang seseorang kepada Islam dengan tafsiran jemaah atau kumpulannya.

Contoh lain daripada saya: Beberapa waktu lalu saya kerap diajak oleh rakan yang juga jiran dalam perkampungan untuk menyertai ekspedisi dakwahnya. Dalam pemujukan itu nampaklah kemesraannya terhadap saya. Namun saya sampai sekarang tidak menyertai aktiviti jemaahnya namun masih kerap bertemu dalam masjid dan berpapasan di jalan. Yang menghairankan ialah dia bagai tidak sudi lagi menyambung kemesraan. Malah ketika saya cuba berbasi-basi kerana sama-sama sebagai ahli jemaah di masjid, dia sangat dingin dan seperti sibuk sangat.

Inilah agaknya contoh dakwah kepada jemaah atau aliran, yang sepatutnya menyeru kepada Islam. Kerana tidak menyertainya, saya bagai tidak ada dalam kamus peribadinya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan