Pengikut

Isnin, Mei 12, 2008

JIKA bertalkin di kubur

SEKALIPUN seorang Timbalan Mufti pernah menyatakan dirinya tidak sanggup meninggalkan sahaja kuburan sebelum jenazah ditalkinkan, tulisan ini bukan untuk mengkritik tindakan itu daripada sudat sunah. Yang paling ekstrim mengenainya ialah satu pendapat bahawa menguburkan jenazah manusia tidak sama seperti menanam bangkai kambing, lepas kambus balik saja! Dua pendapat ini yang telinga saya dengar, bukan rekaan untuk menyedapkan wacana.

Tulisan ini cuba menyelami kehendak mereka yang tetap mahukan bacaan talkin diadakan seusai saja jenazah dimakam. Ternyata dalam dialog yang diterima, mereka akhirnya mengakui bahawa tujuan bacaan talkin itu sebenarnya bukan untuk mengajar jenazah terhadap soalan-soalan daripada malaikat. Talkin itu kata mereka adalah untuk tazkirah, mengingatkan kepada yang menghantar jenazah bahawa ada soal jawab dalam alam barzakh. Awas kamu yang masih hidup, akan mengalaminya juga! Lebih kurang begitulah kehendaknya.





Maka di sini cuba ditelusuri kehendak talkin sebagai medium atau alat dakwah kepada hadirin di muka kubur. Oleh kerana jelasnya talkin itu bukan rukun dalam penguburan jenazah dan akhirnya hanya diterima sebagai medium dakwah, maka talkin terbuka dalam kritikan sebagai medium dakwah juga. Harap faham, maksudnya sila teruskan bertalkin kerana itu adalah kaedah pendakwahan, namun sedang dinilai keberkesanannya!

Perhatikan: Jika khutbah Jumaat yang menjadi rukun dalam Solat Jumaat tidak mempunyai skrip yang sama selama 100 tahun, maka wajib sangat talkin yang disahkan sebagai medium dakwah tidak menggunakan skrip yang sama sejak 100 atau 500 tahun yang lepas!

Menggunakan skrip talkin yang ditulis oleh ulama sejak 500 tahun dahulu (mungkin lebih lama lagi) sehingga sekarang jelas menggambarkan talkin sebagai rukun penguburan jenazah. Keadaan ini sama seperti setiap rakaat dalam solat mesti membaca alfatihah. Inilah rukun yang mesti ditunaikan setiap satu rakaat solat. Surah alfatihah tidak bisa diganti dengan apa-apa surah.

Sepatutnya pemikir di Jabatan Agama dan pihak berkenaan berani menilai talkin yang dikatakan sebagai medium dakwah dengan membuat skrip yang baru sesuai dengan kehendak semasa. Mungkin saja isunya masih berkenaan alam barzakh yang sedang ditempuh oleh jenazah, tetapi laras bahasa dan kaedah penyampaiannya mestilah memenuhi standard pendakwahan semasa. Apa yang berlaku sekarang talkin sangat kaku dan tidak meninggalkan kesan kepada khalayak di atas kubur. Talkin dibaca seperti budak sekolah membaca novel, yang dibaca untuk keperluan diri sendiri. Belum ditemui pembaca talkin menggunakan intonasi suara yang pelbagai untuk memberi keinsafan lebih kepada khalayak. Semua mendatar lurus bendul. Malah bacaan alfatihah dan surah dalam solat oleh imam lebih baik dan indah dengan hukum tajwid dan taranum!

Dunia berubah, ilmu bertambah dan kehendak hidup menjadi kian rencam, tetapi talkin yang dikatakan salah satu alat dakwah dibiarkan kaku beratus-ratus tahun. Dan jika kebekuan ini tidak dipecahkan akan begitukan untuk 1000 tahun lagi?

Ketika membaca sejarah perpecahan gereja katholik di Eropah pada zaman renaissance, umat Islam tertawa dengan kejumudan gereja katholik. Tidakkah orang di luar sedang mentertawakan amalan talkin yang hilang arah tujuan. Akhirnya untuk mudah dikatakan, ‘alahai talkin isu furu, hal cabang saja.’ Nah jika hanya furu dan cabang yang tidak mengesankan akidah, ayuhlah bicara hal furu untuk ditajdidkan. Bukankah Islam menyuruh umatnya berfikir, maka berfikirlah kita sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan