Pengikut

Selasa, Mei 06, 2008

RAKAN nonmuslim

DAHULU semasa di Tingkatan Tiga Guru Matematik saya seorang keturunan India beragama Hindu. Apabila kami sering buat salah dalam kerja dia akan mengucapkan la ilaha illallah. Seorang kawan saya berkata, “cikgu kita ni kerap sangat masuk Islam”.

Kini saya mempunyai seoranag rakan sekerja bukan Islam, beragama Hindu yang taat. Dalam kehidupannya dia berbudaya seperti orang Melayu yang kerap mengucapkan Insya Allah, astaghfirullah dan la ilaha illallah. Pernah sekali dia membuat ucapan terhadap ratusan pelajarnya. Sebagai guru dia mengingatkan niat kedatangan pelajar ke sekolah mestilah dengan jujur. Yang menarik perhatian saya, dia menerangkan bahawa kehidupan sebenarnya satu ibadah kepada Tuhan. Ucapannya ini persis prinsip kehidupan bagi setiap muslim.

Ucapan kalimah-kalimah berkenaan memang sudah biasa kepada masyarakat bukan Islam di negara kita. Biasalah jika kanak-kanak bukan Islam dapat melaungkan azan seperti kanak-kanak Islam. Kalau kita rajin mengucapkan assalamualaikum kepada mereka, tentu dijawabnya dengan alaikum salam. Namun di negara kita memberi salam kepada bukan Islam tidak menjadi budaya kerana ada fahaman dalam kalangan umat Islam sendiri yang bertegas mengharamkan memberi ucapan salam kepada mereka.

Sebenarnya masyarakat bukan Islam sudah biasa dan terbudaya dengan kehidupan secara Melayu. Tambahan pula hampir semua (?) orang Melayu beragama Islam. Di sinilah perlu ada kebijaksanaan masyarakat Islam menerima rakan-rakan dan jiran bukan Islam sebagai anggota masyarakat yang rapat. Mereka sudah menerima beberapa unsur budaya hidup muslim, dan wajib kita melayan mereka dengan baik.

Ada sekali saya menerangkan kepada seorang remaja bukan Islam bahawa ucapan la ilaha illallah merupakan ucapan penting yang membuktikan seseorang itu muslim. Dia terkejut kerana selama ini banyak orang bukan Islam membuat ucapan itu sebagaimana orang Melayu Islam.

Setelah diterangkan perbedaan antara niat dan keikhlasan dengan budaya ucapan barulah dia mengerti bahawa pengucapan la ilaha illallah oleh yang bukan Islam tidaklah menyebabkan mereka telah menjadi Islam. Masyarakat membudayakan ucapan la ilaha illallah ketika dalam keadaan kacau atau kaget. Ini menyamai ucapan oh my God dalam budaya masyarakat Inggeris.

Diharap perubahan politik kepada tidak perkauman akan menumbuhkan saling pertukaran budaya yang sihat antara sesama kaum. Masalahnya ialah orang-orang politik yang ego dengan prinsip perkauman dan menekankan pemisahan untuk sokongan kaum. Baru-baru ini ada pemimpin MCA yang mendakwa penulisan jawi pada plat kereta seorang Menteri Besar meresahkan masyarakat Cina. Seteruk itukah minda masyarakat Cina terhadap tulisan Jawi? Atau sikap ini hanya untuk menekankan perbedaan politik berparti. Politik seperti ini telah lama menjejaskan proses penerapan budaya bersama dalam satu masyarakat Malaysia yang harmoni dengan sejujur-jujurnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan