Pengikut

Isnin, Mei 05, 2008

MENCARI Tuhan

SEWAKTU saya membicarakan mengenai permulaan tamadun Islam yang menyebut kaitan Tuhan dengan pembinaan tamadun, seorang remaja bukan Islam bertanya hal-hal ketuhanan. Ada beberapa kali perbualan berlaku dalam keadaan tidak tersusun. Saya permudahkan dan turunkan dialog kecil antara kami sebagai perkongsian maklumat.



Remaja: Siapa yang menjadikan Tuhan?

Penulis: Kalau Tuhan dijadikan oleh satu pihak lain, itu bukan Tuhan. Sifat Tuhan unggul, tidak ada yang menyerupainya. Tuhan wujud dengan kekuasaan yang sangat hebat. Kalau awak terus mendesak juga bertanya siapa yang membuat Tuhan, terus terang saya tidak dapat menjawab sebagaimana saya masih tidak dapat menjawab soalan ke mana nyawa manusia pergi setelah mati. Hari-hari ada kematian, tetapi ahli sains pun masih tidak dapat menemukan di mana nyawa berkumpul sekarang.

Remaja: Tapi di mana Tuhan?

Penulis: Yalah, kalau saya katakan Tuhan di Syurga pun nanti awak tanya syurga di mana sekarang ini. Kalau saya jawab Tuhan di langit pun, nanti awak kata ‘tak nampak pun’. Tuhan ada tetapi tidak seperti yang digambarkan oleh akal manusia.

Remaja: Mengapa kita tidak nampak Tuhan?

Penulis: Sebenarnya ada benda yang kita guna, tapi kita tidak nampak. Kita tidak nampak benda-benda itu, tetapi kita percaya benda itu ada.

Remaja: Apa dia, saya tidak perasan.

Penulis: Udara hanya dapat dirasa oleh deria, tidak dapat dilihat. Arus elektrik tidak dapat dilihat tetapi dapat dibuktikan ada kerana menyalakan mentol. Tuhan tidak dapat dilihat tetapi kesannya banyak. Kita hidup kerana dijadikan oleh Tuhan.

Remaja: Bukankah manusia hidup sendiri. Makin lama besar.

Penulis: Ambil contoh sebuah kereta, tidak ada satu skru yang paling kecil pun boleh wujud sendiri, mesti ada tukang buat. Buat wayar, enjin, cermin dan macam-macam. Setiap komponen kereta ada fungsinya, barulah lengkap sebuah kereta.

Remaja: saya tidak faham.

Penulis: Tuhanlah yang buat air, angin, tanah, pokok, manusia, haiwan dan macam-macam. Semua itu ada fungsinya sehingga kehidupan di dunia seimbang dan normal. Kalau salah satunya hilang, teruk jadinya. Katakan satu skru brek kereta hilang, boleh sebabkan kemalangan. Katakan tiba-tiba tidak ada air tawar di sungai, kolam dan lain-lain. Susah kehidupan kita jadinya sebab banyak yang perlukan air tawar. Kalau jurutera menyusun komponen dengan betul supaya sempurna sebuah kereta, Tuhan pun menyusun semua ciptaan-Nya supaya sempurna alam yang cantik dan luas ini.

Remaja: Katakan saya percaya Tuhan ada, apa nak buat?

Penulis: Katakan awak tidak pernah berjumpa ayah sehingga sekarang. Tiba-tiba diberitahu bahawa selama ini semua perbelanjaan hidup dan persekolahan dibayar oleh ayah awak. Apa awak hendak buat?

Remaja: Saya nak jumpa dia, ucap terima kasih.

Penulis: Samalah, ucapkan terima kasih. Kami orang Islam mengucapkan terima kasih dengan beribadah, melakukan sembahyang.

Walaupun remaja ini tidak berminat untuk meneruskan dialog ketuhanan, namun sekurang-kurangnya dia mendapat maklumat secara logik mengenai Tuhan. Dia wajib tahu bahawa dirinya dihidupkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa.

Pernah dengan kumpulan pelajar lain tanpa dirancang saya memberikan hujah Tuhan mesti satu. Saya memberikan contoh dalam kehidupan bahawa seorang ketua mesti ada kuasa, sebab itu hanya ada satu ketua. Kalau ada dua ketua yang sama-sama ada kuasa, tentulah akan berlaku perbalahan dan akhirnya membawa kerosakan. Saya terangkan logik lain misalnya pemandu kenderaan mestilah satu sebab perlu hanya seorang pemandu yang berkuasa dalam kenderaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan