Pengikut

Isnin, Mei 19, 2008

ISLAM kerana hujah

ADA peristiwa besar berlaku dalam kalangan para sahabat untuk dijadikan panduan mengenai keimanan kepada Allah dan rasul-Nya. Peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. telah mecahkan umah kepada dua golongan. Satu golongan tidak percaya bahawa maanusia yang paling dikasihi telah wafat, menjadi mayat. Satu golongan lain percaya bahawa Rasulullah sebagai manusia telah wafat, menjadi mayat seperti mayat-mayat manusia lain.

Antara manusia yang tidak percaya Rasulullah wafat bukan Arab Badwi yang dianggap kurang pendidikan, tetapi ialah Saiyidina Umar al Khattab! Bayangkan semasa hayatnya Rasulullah pernah menyebut bahawa sekiranya ada lagi nabi selepasnya, maka Rasulullah mengatakan Umar layak menerima jawatan Nabi.

Saiyidina Abu Bakr as Siddiq pula antara sahabat Nabi yang percaya bahawa Rasulullah telah wafat. Berkata Saiyidina Abu Bakr as Siddiq,

“Barangsiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad itu telah wafat. Bagi sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak akan wafat.”

Lalu Saiyidina Abu Bakr r.a. membacakan firman Allah s.w.t. (Maksud):

"Dan tidaklah Muhammad itu melainkan dia adalah seorang Rasul. Sesungguhnya (perutusan beliau) telah pun didahului dengan (perutusan) para Rasul yang lain. Apakah sekiranya beliau mati atau terbunuh, kamu mahu memalingkan leher (meninggalkan agama Allah)? Barangsiapa yang memalingkan lehernya (dengan meninggalkan agama Allah) maka (ketahuilah bahawa) ia tidaklah sekali-kali memberi sebarang mudharat kepada Allah. Bahkan Allah akan sentiasa memberikan ganjaran-Nya kepada orang-orang yang bersyukur" [Ali Imran 3: 144]

Dikhabarkan, setelah Saiyidina Abu Bakr membacakan ayat berkenaan, Saiyidina Umar menangis kerana menyesal, seakan lupa bahawa ayat berkenaan sudah dibacakan kepadanya terdahulu. Setelah itu kedudukan Saiyidina Umar kembali kepada fitrah yang menerima ketetapan wahyu.

Dapat diartikan kedudukan Abu Bakr mewakili sahabat yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya berdasarkan kekuatan hujah Islam, manakala kedudukan Umar (pada saat kejadian itu) mewakili sahabat yang beriman kerana kekuatan sahsiah (peribadi) seorang Nabi.

Dalam kalangan umah selepas itu sehingga saat hari ini juga tidak ketinggalan daripada menerima Islam dan beriman kepada Allah dan rasul-Nya kerana didorong oleh kekuatan peribadi seseorang. Muslim yang berpersepsi seperti ini akan menyandarkan keimanan dan amalnya berdasarkan seseorang tokoh yang sangat dikagumi. Mereka meletakkan hujah Islam (alquran dan sunah) sebagai kemudian, setelah keperibadian tokoh berkenaan.

Berapa banyak anasir yang dilihat beramal dan dapat menampilkan citra keimanan, tetapi senantiasa berpaut kepada syeikhnya. Segala-galanya daripada tuan gurunya direkod sebagai kebenaran, dan apa yang bukan daripada tuan gurunya direkod sebagai salah. Ada sesetengah tuan guru itu memang mahu membentuk pemikiran khalayak itu supaya memuja dan meletakkan dirinya sebagai syaikh agung. Maka dia akan menampilkan mitos-mitos indah seperti kuasa-kuasa ajaib dan luar biasa, bagi mewajarkan pemujaan berterusan.

Di balik itu ada tuan guru yang berpegang kepada kekuatan hujah dan melarang khalayak berpaut kepada kekuatan peribadinya. Namun kecintaan khalayak kepada dirinya menyebabkan sukar sekali para khalayak itu membedakan antara kekuatan hujah alquran dan sunah dengan kekuatan peribadi. Demi cinta kepada tokoh, kekuatan peribadi syeikh diterima juga sebagai kekuatan hujah Islam. Keadaan ini bisa terjadi di mana-mana, tanpa disadari dan diminta-minta. Akhirnya ada sebagian daripada khalayak itu yang sifatnya memuja tokoh tuan guru kemudian membelakangkan hujah alquran dan sunah, sehinggalah syeikh tuan guru itu memberi lampu hijau agar menerima hujah itu.

Keimanan kepada Allah dan penghayatan Islam berdasarkan kultus peribadi ini direkodkan oleh sejarah sebagai salah. Saiyidina Umar sadar daripada keteledoran itu, tetapi bertaubat dan menerima iman berdasarkan kekuatan hujah. Paksi Islam yang kukuh sepanjang zaman (sekalipun menempuh badai dahsyat) kerana umah menerima kekuatan hujah, bukan bersandarkan peribadi seseorang.

Inilah fitrah keimanan dalam Islam yang disandar seratus peratus kepada kekuatan hujah, bukan penerimaan kepada kekuatan peribadi para pemimpinnya. Hubaya-hubaya kerana ada dalam sejarah manusia menjadi syirik dan kufur kepada Allah kerana memuja peribadi dan meninggalkan hujah wahyu. Lihatlah bagaimana kaum nasrani memuja Nabi Isa hingga dikatakan sebagai Tuhan, maka mereka kufur dan imannya ditolak mentah-mentah.

Hujah yang dibawa oleh manusia hanya disahkan benar apabila membawakan hujah alquran dan sunah. Di balik itu, hujah manusia yang tersasar sekalipun lahir daripada tokoh pujaan manusia gagal disahkan sebagai benar di sisi Allah dan rasul-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan