SUKA atau tidak memang orang-orang Melayu dalam negara yang menjadi tonggak bangsa Malaysia berpecah. Perpecahan ini memang menyakitkan dan memalukan apabila dikaitkan dengan Melayu itu beragama Islam. Perlembagaan persekutuan Perkara 160 (1) menyatakan Melayu itu Islam. Islam agama yang mengajak perpaduan. Maksud surah al Hujurat: 10, “sesungguhnya orang-orang mukmin bersaudara…” Namun kemudiaan bangsa Melayu yang beragama perpaduan berpecah tidak tentu hujungnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan amalan pilihan raya sebagai punca utama perpecahan bangsa. Pilihan raya telah menawarkan ruang seluas-luasnya untuk sesiapa juga membentuk kumpulan masing-masing, kemudian saling bersaing, berlawan untuk mencari pemenang. Lazimnya yang menang akan mendapat segala-galanya, yang tewas kehilangan semuanya.
Lima tahun sekali wajib diadakan pilihan raya, malah selalunya ada beberapa pilihan raya kecil sebelum tempoh matang lima tahun itu. Setiap parti akan mencari dan menambah pengaruh di kalangan orang-orang Melayu. Untuk itu dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang sebesar-besarnya akan dilihat dari sudut kepentingan politik. Para pemimpin dalam politik akan membentuk persepsi di kalangan pengikut-pengikut masing bahawa dalam apa juga perkara, semua yang dilakukan oleh parti lawannya adalah salah. Diri dan partinya sahaja yang betul dan sah. Maka dendam antara parti-parti politik Melayu bagai tidak sudah. Mustahil keadaan yang berlaku ini termasuk dalam ajaran al Quran dan sunah.
Siapa yang memulakan pilihan raya di negara kita? Jawabnya penjajah British. British masuk ke negara kita secara terbuka bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874. Sejak itu satu persatu negeri-negeri Melayu dijadikan wilayah naungan (baca jajahan). Semua pentadbiran sama ada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu tidak menawarkan pilihan raya untuk mencari ahli Badan Lagislatif dan Badan Eksekutif.
Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat seperti Portugal di Melaka (1511) dan Belanda (1641), kerajaan-kerajaan feudal Kesultanan Melayu juga memang tidak mengenal apa pilihan raya. Memang kita tidak boleh menyamakan zaman-zaman berkenaan dengan zaman negara Malaysia. Namun isunya bukanlah pilihan raya, tetapi hak-hak asasi.
Seperti di Hong Kong, sejak British menduduki kepulauan itu bermula tahun 1848 tidak pernah menawarkan pilihan raya. Namun apabila menghampiri penyerahan Hong Kong kepada China tahun 1990, Gabenor Chris Paten cuba memperkenalkan pilihan raya sebagai tanda aras amalan demokrasi. Ini, seolah-olah sejak 1848 Hong Kong tidak ditadbir secara demokrasi. Dari satu sudut, mustahil Hong Kong tidak demokrasi kerana pulau itu merupakan tanda kuasa British di China. British mendukung demokrasi liberal dalam kancah Perang Dingin, manakala China mengamal komunisme.
Kes yang sama, sejak dikuasai Portugal sehingga diserah semula kepada China, Macau tidak juga mengadakan pilihan raya. Sekali lagi, Hong Kong dan Macau telah dianggap sebagai contoh negara demokrasi terhadap kuasa China komunis semasa kemuncak Perang Dingin!
Di negara kita pun British tidak pernah memperkenalkan pilihan raya sebagai tanda aras sebuah negara demokrasi, sehinggalah beberapa tahun setelah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Badan Perundangan PTM tidak pun dipilih melalui pilihan raya. Penubuhan parti-parti Melayu seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM 1936) dan PKMM (1945) juga bukanlah mendesak supaya diadakan pilihan raya. Malah penubuhan Umno, IMP, Pas, MCA dan MIC juga bukan kerana memenuhi kehendak pilihan raya.
Seperti kes di Hong Kong yang seakan terdesak memperkenalkan pilihan raya sebelum menyerahkan kepada China, British telah awal melakukan hal yang sama di negara kita. Mula-mula diperkenalkan Pilihan Raya Bandaran di Ipoh dan Kuala Lumpur. Kemudian yang besar ialah Pilihan Raya Persekutuan 1951 yang menawarkan 52 kerusi Parlimen. Maknanya pilihan raya diperkenalkan British pada saat akhir melepaskan tanah jajahan. Tentu ada agendanya. Mewujudkan perpecahan kepada rakyat bagi sebuah negara yang merdeka?
Sejarah tamadun Islam juga tidak menawarkan pilihan raya sebagai satu mercu tanda tamadun. Kita boleh kecualikan zaman Rasulullah. Kajian boleh dimulakan sejak zaman Khulafah ar-Rasyidin. Tidak ada pilihan raya cuba ditawarkan walaupun telah ada siri perbedaan pendapat, malah berlaku pertelingkahan. Pada zaman pemerintahan khalifah-khalifah Islam bukan tidak pernah didebatkan istilah demokrasi. Tentu ada, khasnya pada zaman Abasiyyah sebab penubuhan Baitul Hikmah di Baghdad sebagai pusat penterjemahan karya asing termasuk dari Yunani. Demokrasi itu dipercayai bermula dari Athens, Yunani.
Tanpa pilihan raya sejak zaman Khalifah Abu Bakar as siddiq (632M) sehingga khalifah Abdul Hamid (1921M), khalifah terakhir Turki Usmaniyah. Bolehkah dikatakan zaman khilafah Islam tidak ada hak-hak asasi manusia? Malah Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah di Madinah diakui memberikan hak-hak asasi. Al Quran sendiri sangat jelas memberi petunjuk mengenai hak-hak dan kebebasan. Namun hak dan kebebasan dalam Islam tidaklah menyamai seperti yang ditafsir oleh Barat hari ini.
Malaysia pun tidak sama sekali menerima sepenuhnya tamadun Barat. Wawasan 2020 dengan terbuka sebagai percubaan membentuk negara bertamadun mengukut acuan sendiri, kehendak dalaman. Jelaslah, acuan Melayu dan Islam.
Cabarannya memang berat kerana bagi dunia Barat, demokrasi bererti sistem pilihan raya diamalkan. Atas premis itulah Myanmar, Pakistan dan Thailand dalam kritikan Barat dan Asean kerana demokrasinya terjejas apabila dipimpin oleh pihak yang merampas kuasa secara ketenteraan. Ini bermakna jika sesebuah negara itu pernah mengamalkan pilihan raya kemudian membelakangkan sistem itu, negara berkenaan dalam senarai yang dikutuk oleh dunia Barat khasnya kuasa besar Amerika Syarikat. Kutukan ini bererti dalam senarai yang dimusuhi mereka. Jika ini berlaku, memang ada masalah lebih besar.
Jika begitu keadaannya, pilihan yang ada ialah menyatukan satu bangsa ini dalam satu saf (parti) sahaja. Entah mengapa usaha menyatukan semua orang Melayu Islam dalam satu wadah politik besar menjadi satu kerja yang paling sukar. Perbalahan dan kerja penyatuan ini memang dugaan besar kepada yang orang-orang beriman. Sebagai pemerintah dan yang diperintah tentu ada peranan masing-masing berdasarkan ajaran al Quran dan Sunah. Kedua-dua pihak, pemerintah dan yang diperintah pula bukanlah kumpulan manusia yang maksum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan