PERKARA yang sering didambakan tanpa mengira apakah bangsa, agama atau apa pun kedudukan manusia itu ialah keadilan. Justeru keadilan sangat dekat dengan fitrah kejadian insan. Saya meminjam pengertian ‘keadilan’ daripada mantan guru saya Datuk Syed Othman al-Habsyi. Kata Tuan Syed ini, “keadilan ialah meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya”. Beliau memberi contoh, meletakkan songkok di kepala adalah tepat, jadi itu adil. Meletakkan kasut di kepala jauh daripada tepat, maka itu tidak adil. Tidak adil itu zalim, aduh!Oleh itu seakan-akan keadilan mesti dilihat bersama wujudnya kezaliman. Kalau tidak ada kezaliman, manusia tidak mengerti indahnya keadilan. Kerana indahnya keadilan, semua mendakwa telah berlaku adil kepada mana-mana pihak yang bersamanya.
Orang yang sering bertanya “di manakah keadilan?” ialah orang yang berhadapan dengan orang lebih berkuasa daripadanya. Seorang raja tidak akan bertanya kepada rakyat, di mana keadilan. Rakyatlah yang bertanya kepada raja begitu. Jadi langka amat seorang ketua yang punya kuasa bertanya kepada orang-orang yang dipimpin, di mana keadilan. Sebaliknyalah khalayak awamlah yang bertanya begitu.
Kerap sudah didengar orang di bawah seperti rakyat, pekerja-pekerja atau anak buah bertanya kepada insan di atas mereka, di mana keadilan? Erti lain pertanyaan ini ialah, “sudahkah hak-hak kami dipenuhi sebagaimana selayaknya?” Akhirnya perkataan ‘keadilan’ menjadi sensitif kerana jika pihak yang menuntut dirinya patut diberi hak sepatutnya, bermakna sedang menggambarkan pihak lain sebagai zalim atau kejam!Seterusnya diciptalah frasa ayat “keadilan itu subektif” yang membawa pengertian keadilan itu bisa-bisa saja ditafsir dalam maksud yang berbeda-beda mengikut si pembawa atau si pengucapnya. Katakan saja cerita Hang Tuah dihukum bunuh oleh raja sehingga membawa ‘pemberontakan’ Hang Jebat. Untuk Hang Jebat, raja sudah zalim kerana menghukum bunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Raja tidak merasa dirinya zalim kerana tindakannya sebagai orang paling berkuasa berwewenang menjatuhkan hukuman apa saja. Baginya, kalau dia tidak boleh menjatuhkan apa-apa hukuman, dia bukan raja. Raja mesti berkuasa apa saja. Kepada raja, menghukum bunuh Hang Tuah sebagai melaksanakan keadilan juga. Ya, dirinya raja yang adil, Hang Jebatlah yang zalim kerana bukan haknya melawan raja begitu. Nah, raja dan Hang Jebat saling mendakwa dirinya adil dan saling menuduh manusia di hadapannya sebagai zalim.
Hari ini keadaannya pun tidak jauh berbeda. Semua pihak mendakwa berlaku adil dalam perlakuan sambil mendakwa dizalimi oleh pihak yang lain pula. Oleh kerana fitrah manusia senantiasa dekat dengan keadilan, maka maksud keadilan itu mudah amat difahami dan dirasai oleh manusia.
Bohonglah kalau insan yang jujur mengakui kerajaan Amerika berlaku adil apabila mengesahkan serangan Israel sebagai membela diri tetapi menuduh Palestin sebagai pengganas. Israel menyerang, mengepung, menghina dan membunuh warga Palestin dikatakan itu haknya. Palestin yang membalas serangan, mengatur siasat dan merobohkan “Tembok Berlin Kedua’ dikatakan zalim dan tidak adil kepada Israel. Ini berlaku di mana-mana termasuk di negara dan dalam rumah kita pun!Kalaulah kita meneliti ancaman terhadap yang curang atau zalim ini, gerun dan ngeri jadinya. Cuba lihat maksud ayat Allah dalam surah al Muthaffifin: 1-6 “Kecelakaan besarlah bagi orang yang curang, iaitu orang-orang yang apabila menerima timbangan barang daripada orang lain lalu meminta dipenuhi (haknya). Dan apabila mereka membuat timbangan barang untuk orang lain, mereka itu mengurangi (menafikan haknya). Tidakkah orang itu yakin sesungguhnya mereka akan dibangkitkan pada suatu hari yang besar? Iaitu pada hari manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam.”
Seronoklah buat sementara di sini dengan mendakwa telah melaksanakan keadilan sekalipun hati kecilnya mengakui tindakannya tidak adil atau menzalimi pihak lain. WA.

Apa komentar orang-orang berpaksikan agama dalam hal ini? Lontaran idea terhadap permusuhan kerana politik ini masih disudutkan kerana bukan isu besar. Namun tidak pula dinafikan tentang adanya masalah daripada keadaan yang berlaku. Kerap didengar orang-orang berpaksi agama dan memegang jawatan ‘beragama’ menolak apa-apa kajian terhadap amalan beragama yang diwarisi sekian lama. Kepada mereka, membangkitkan hal-hal ini sekalipun baik dari sudut akademik dan ketulusan, namun atas nama perpaduan dan mengelak perpecahan tidak dibenarkan sama sekali perbincangan dilakukan. Akhirnya itu dianggap sensitif. Jika ada pihak yang mahu umat Islam berfikiran terbuka dan melihat kesesuaian beragama dengan al Quran dan sunah, mereka berdepan dengan label-label yang negatif. Maka timbul label kaum mudah, pemecah belah masyarakat dan wahabi.
Nah, perhatikan dengan mata dan minda terbuka. Apakah sebenarnya yang membuat permusuhan dan perpecahan dalam umah? Seruan kepada al Quran dan sunah atau seruan memihak dalam sesuatu kandang politik? Kita renung dan fikir secara jujur. Bila dan di manakah pasukan FRU terpaksa membuat pengawasan rapi apabila aliran salafi membuat penerangan atau perkampungan sunah?
Ajakan kembali kepada al Quran dan sunah sangat berhemah, kerana manhaj ini melarang kekerasan terhadap perkara yang tidak dipersetujui. Oleh itu tiada bukti gerakan yang mengajak umah kembali kepada al Quran dan Sunah telah melakukan demontrasi, slogan-slogan kasar, manifesto dan kutukan kepada hal-hal yang tidak dipersetujui. Aduhai pihak wewenang agama, perhatikan suasana semasa penamaan calon di serata negara. Hingar-bingar, tuduh-menuduh dan caci-mencaci antara dua pihak. Kalian telah menerima hal ini sebagai budaya baru umah, tetapi seruan kepada al Quran dan sunah sebagai pemecah belah kesatuan?
Kini 2008, 17 Februari Kosovo merdeka dengan 90 peratus daripada penduduknya sebagai muslim. Oleh itu tidak keterlaluan jika mengatakan negara yang peratusan muslimnya terbesar di Eropah sekarang ialah Kosovo kerana di Bosnia muslim sekitar 52 peratus. Turki sekalipun dengan 99 peratus muslim belum lagi diterima sebagai keluarga Eropah.
“Dan Janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman” (Maksud Ali-Imran 139)
Keadaan di Gaza memerlukan sikap pro-aktif umat Islam sedunia. Adalah menjadi satu kezaliman bagi kaum Muslimin membiarkan saudara mereka di Palestin berterusan dizalimi oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya. Kita boleh melakukan banyak perkara demi untuk saudara-saudara kita di Gaza….
Tinggalkan makanan, minuman dan kerehatan yang berlebihan dan salurkannya kepada saudara-saudara kita di Palestin. Salurkan wang anda kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan tempatan yang terlibat menguruskan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin. 






