Pengikut

Selasa, Januari 31, 2012

12 tahun penjara, nilai cintamu!


SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun, jika meneruskan persekolahannya sedang berada di Tingkatan Enam Atas.  Jika sedang mengikuti mana-mana kursus di kolej, dia sedang berada di semester dua Tahun Pertama  pengajiannya.  Media melaporkan seorang perempuan 19 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM5000.00 oleh sebuah Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.


Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun  dan denda jika sabit kesalahannya.

Dia dituduh menyebabkan kematian bayi yang dilahirkannya dengan cara mencampakkan bayi itu dari tingkat dua rumahnya di Selayang Segar.  Oleh kerana dia telah mengaku bersalah, iaitu tidak melalui perbicaraan maka dia tidak membuat rayuan terhadap hukuman oleh Mahkamah Sesyen itu.  Lagi pula dia tidak diwakili mana-mana peguam.  Ini bererti dia hadir ke mahkamah dengan menyerahkan sepenuh nasibnya kepada keputusan hakim.

Cerita pembuangan bayi sudah menjadi kebiasaan sekalipun semua catatan berita itu amat menyedihkan dan mengundang amarah masyarakat.  Gadis malang itu juga adalah sebagian masyarakat yang sebelum mengandung (tentu) pernah berkali-kali mendengar atau membaca berita bayi dibuang di pelbagai tempat kerana kehadiran bayi itu membawa malu besar.  Saya pasti asalnya dia tidak menduga akan menjadi pelaku ‘tidak berperikemanusiaan’ itu, namun takdir menentukan dia salah seorang pelakunya.

Saya yakin dahulu semasa bersekolah, dia juga pernah mendengar penjelasan guru-guru mengenai kes pembuangan bayi.  Jika dijadikan tajuk karangan, kes pembuangan bayi boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti sebab-sebab dan kesan kejadian.  Tentu dia juga pernah tahu melalui pendengaran dan perbincangan sumbang-saran sesama rakan di kelas, antara punca pembuangan bayi itu ialah mengandung tanpa nikah.  Tentu saja dia mengetahui bahawa mengandung tanpa nikah itu boleh terjadi melalui persetubuhan haram (zina) dengan kekasih atau menjadi mangsa rogol.

Jika dahulu semasa bersekolah dia bertanya guru mengenai tindakan yang patut dilakukan sekiranya menjadi mangsa rogol, jawabannya ialah melaporkan kepada polis supaya si pengganas itu boleh dihukum penjara  dan denda.  Perogol boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan 24 kali sebatan!  Namun saya agak, jarang sekali pelajar perempuan yang bertanya mengenai cara yang patut dilakukan sekiranya hamil hasil perzinaan.  Oleh itu, cara mengatasi masalah hamil di luar nikah, dia mendapati melalui laporan media iaitu: Setelah usaha menggugurkan kandungan gagal (mungkin takut), maka lahirkan bayi itu secara sembunyi dan buang di mana saja asalkan bayi itu tidak ditemui di sisinya.

Saya yakin, ketika saya sedang mencatat tulisan ini dia sudah berada dalam penjara wanita di Kajang.  Dia akan bermukim di sana selama 12 tahun, atau 12 kali hari raya!  Hari ini umurnya 19 tahun, kelak apabila umurnya 31 tahun barulah dia dibebaskan sebagai manusia biasa.

Apakah punca kehidupan yang sangat tragis ini kepada seorang remaja perempuan yang sewaktu kecil bermanja dengan ibu bapanya.  Sewaktu bersekolah begitu ceria dengan rakan-rakan.  Kini dia akan menjadi seorang banduan.  Oh Tuhan…

Jawaban daripada saya ialah CINTA!  Cinta itulah yang memerangkap dirinya sehingga merasa ‘perlu sangat’ mempunyai teman lelaki.  Cinta itulah yang menyebabkan dia bertemu saja-saja buat pertama kalinya.  Apabila dinasihati oleh orang lain, dia pasti akan menjawab, “kami tak buat apa-apa.”  Cinta itulah yang merelakan dirinya dibelai manja oleh teman lelakinya dan dia merasakan betapa nikmat dan bahagianya menempuh percintaan.  Buat sementara, cinta itu jugalah yang menyebabkan 12 tahun kehidupan masa mudanya di balik tembok batu.  Itulah cerita pengorbanan cinta.  Teman lelakinya mungkin setia menunggu 12 tahun di luar tembok sebagai setia cinta. Mungkin saja!

3 ulasan:

  1. INGAT BAI....... JANGAN BERLAGAK PANDAI.....!!!

    BalasPadam
  2. It's rather strange situation, it is not clear for me..

    BalasPadam