Pengikut

Khamis, Mac 03, 2011

AKHIRNYA saya berjiran tetap dengan bukan Muslim


MULAI tanggal 1 Mac yang lalu saya sekeluarga berpindah ke rumah sendiri yang jaraknya daripada rumah sewaan selang sebuah rumah saja.  Tidak ada bedanya dengan rumah yang sebelumya kecuali status rumah atas nama sendiri.  Kebanyakan orang Melayu Muslim suka jika berjiran tetangga dengan sesama Melayu Muslim atas sebab-sebab yang sedia dimaklumi.  Saya dengan sedar memilih sebuah rumah di tengah-tengah kawasan yang penghuninya kaum Tionghua, bukan Muslim!


Sejak saya menjejak di kawasan perumahan di pekan Sabak itu  pun yang menjadi jiran untuk ‘melihat-lihat’ rumah sewa saya adalah keluarga Tionghua, yang kini sudah menjadi jiran sebelah kanan betul.  Sebelumnya juga saya menyewa rumah daripada kenalan baru, seorang Tionghua.  Kini dia sudah menjadi salah seorang yang akrab dengan saya sehingga masalah hal yang peribadi pun mahu dikongsikan dengan saya.

Apabila saya memilih sebuah rumah yang betul-betul dilingkungi pemilik-pemilik bukan Muslim tentulah saya sudah menjangka mengenai baik dan buruknya.  Dalam minda saya lebih banyak membuat persepsi mengenai kebaikan berjiran dan bersahabat dengan kaum Tionghua itu.  Sejarahnya, walaupun saya anak desa yang membesar dalam lingkungan budaya Melayu Jawa Muslim, bersekolah rendah dan menengah bercampur dengan kaum Tionghua dan India.  Paling menjadikan saya betah dengan budaya mereka apabila bertugas dalam organisasi yang majoritinya kaum berkenaan dan itu sama sekali tidak melunturkan kejiwaan saya sebagai Muslim dan Melayu.  Maka, kini tidak kekok terus berfikir mengenai sosialisasi dengan kaum bukan Melayu.

Moga-moga wahyu Allah surah al-Mumtahanah ayat 8-9 menjadi pedoman hingga akhir hayat ketika bersosialisasi dengan jiran tetangga bukan Muslim.  “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada yang tidak memerangi kamu kerna agama (kamu), dan tidak menghalau kamu dari kampung halamanmu.  Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.  Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerna agama (kamu), dan menghalau kamu dari kampung halamanmu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat,maka mereka itulah orang yang zalim.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan