Pengikut

Rabu, April 23, 2008

Keseronokan seorang ayah

TANYA kepada pemancing, bilakah masanya paling seronok semasa memancing ikan. Jawabnya sewaktu mata kailnya direntap ikan, jorannya terhoyong-hayang kerana ditarik ikan. Perjuangan antara ikan dan pemancing, tarik menarik tali adalah saat seronok dan nikmat sekali kepada pemancing.

Tanya kepada seorang ayah terhadap anaknya, apakah yang paling menyeronokkan. Jika pemancing bersetuju keseronokan sewaktu bertarung dengan ikan, jawaban untuk ayah terhadap anaknya berbeda-beda.

Bagi saya, saat menghantar anak ke sekolah dan mengambilnya semula dari sekolah adalah saat manis percintaan seorang ayah terhadap anaknya, terutama yang masih sekolah rendah. Sewaktu melepaskan anak untuk masuk ke pintu pagar dengan menciumnya kemudian anak melambai tangan sebelum saya berlalu pergi adalah kenikmatan cinta terhadap anak.

Kemudian, sewaktu pulang menunggu anak muncul di pintu pagar sekolah seperti penantian seorang pemancing menunggu umpan di mata kailnya direntap ikan. Penuh debaran. Munculnya anak dari kejauhan dengan senyum atau berlari-lari ke arah saya, saat itu umpama mata kail pemancing direntap ikan. Oh nikmat dan seronok sekali!

Anak-anak saya seperti faham keindahan seorang ayah, sekalipun sudah disediakan bas (van) untuk membawa pergi dan pulang sekolah masih mendesak berkali-kali agar saya sendiri yang menghantarnya. Tentulah anak-anak juga berkongsi keseronokan apabila ayahnya sendiri menghantar atau membawanya pulang dari sekolah. Maka sesekali saat yang diminta anak-anak ditunaikan, sama seperti sesekali saya merasa keseronokan dunia pemancing.

Maka saya faham apabila anak saya tidak mahu lagi menaiki van sekolah. Dan saya kian faham juga nilai kasih sayang dan kemanusiaan kepada 'abah' (ayah sebagai keluarga pengasuh) anak perempuan saya di darjah satu. Rupa-rupanya dia berkongsi keseronokan dalam suspens menunggu anak saya keluar dari kelas dan mendapatkannya di luar pagar. Akhirnya, anak perempuan saya menikmati kasih saya sebagai penghantar ke sekolah dan daripada abahnya yang mengambil dari sekolah.

Inilah citra kemanusiaan yang sukar dimengerti tetapi hanya dapat dinikmati oleh mereka yang merasai. Tidak ada nilaian wang ringgit sebagai ganti untuk merasakan keindahan dalam hidup, sekalipun oleh kami insan kecil di tengah-tengah kerancakan manusia mengejar kejayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan