Pengikut

Ahad, April 13, 2008

ANTARA jubah dan kain pelikat

ANTARA pakaian jubah dan pakaian sut Melayu, manakah yang paling disukai Allah? Kalau di negara China, soalannya diubah kepada: antara jubah Arab dan jubah China, jubah manakah yang lebih afdal? Juga soalan lain ialah: Manakah yang lebih Islam antara sut pakaian Melayu bersampin dan bersongkok dengan sut Barat dengan baju kot dan tali leher?

Jika Islam berpaksi kepada bangsa Arab, tentulah hal-hal yang kearaban seperti igal, serban dan jubah akan diberi merit sebagai lebih Islam. Jangankan pakaian, tentulah memakan daging unta jauh lebih baik daripada makan sup itik serati sebab terbukti Rasulullah dan sahabat-sahabat memakan daging unta. Lebih malang, cara orang Cina makan dengan menggunakan chopstick langsung tidak ada kaitan dengan Arab, maka chopstick bukan budaya makan cara Islam. Itu semua jika otak kita berfikir bahawa Islam itu berpaksi Arab dan wajib dilihat berdasarkan kaca mata Arab.

Cuba perhatikan maksud firman Allah dalam surah al Hujurat ayat 13, “Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar kamu saling mengenal antar satu dengan lain. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah yang bertakwa. Sungguh, Allah maha mengetahui dan maha teliti.”



Kejadian manusia bersuku-suku berbangsa-bangsa adalah fitrah dan daripada Allah. Wujudnya manusia berbeda-beda kebudayaan di pelbagai wilayah dunia bukan satu kesulitan kepada manusia dan Islam. Allah sendiri yang menjadikan manusia berbeda kebudayaan, tentulah Allah mengikitraf perbedaan itu sekalipun Allah menurunkan Islam melalui bangsa Arab. Ya, al Quran diturunkan atau dibumikan dalam bahasa Arab.

Islam hanya mahukan manusia menerima Allah sebagai tuhan dan menggunakan syariat Islam dalam kehidupan. Al Quran tidak menghalang pengamalan budaya sesuatu bangsa. Menafsir kebudayaan Arab sebagai cara Islam dan didakwa lebih mulia di sisi Allah adalah prinsip yang salah.


Misalnya kita boleh saja menerima jubah sebagai tradisi Arab yang juga fesyen pakaian yang dipakai oleh Rasulullah, namun mengatakan jubah adalah pakaian paling afdal dalam Islam adalah prinsip salah kerana melanggar hak fitrah kebudayaan bersuku-suku bangsa, setiap suku bangsa punya tradisi pakaian bersesuaian dengan iklim, budaya dan geografi. Mendakwa solat muslim lebih besar pahalanya di sisi Allah jika berjubah dan berserban berbanding berpakaian Melayu atau Barat juga prinsip salah kerana tiada nas, malah berlawanan dengan hak kepelbagaian budaya bersuku-suku bangsa.

Bayangkan ada segelintir muslim yang mendakwa pencinta sunah nabi menunggang motorsikal tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban saja atas alasan berserban mengikut cara Rasulullah. Orang seperti ini bukan sahaja jahil memahami sunah, tidak faham maksud ketaatan kepada ulil amri dan menolak teknologi. Kalau kita menerima prinsip ‘biarlah itu dia punya pasal’ pun tidak boleh sebab kejahilannya memahami Islam telah merosakkan imej sunah dan Islam, meneruskan wajah Islam sebagai hodoh di mata bukan Islam dan mereka yang jahil.

Kepelbagaian budaya sesuatu suku bangsa pula bukanlah statik atau beku sepanjang zaman. Berubahnya pengetahuan sangat mempengaruhi perubahan kebudayaan bangsa. Misalnya kenderaan yang sentiasa berubah telah menyebabkan cara hidup manusia berubah. Ini adalah hal-hal keduniaan yang mesti berubah sama juga adat atau kebudayaan bangsa yang mengalami evolusi atau revolusi. Sebab itulah Allah memerintahkan kita berkenal-kenal dengan suku-suku bangsa lain, supaya segala kebaikan dan pengetahuan sesuatu bangsa itu diterima untuk kemudahan umah juga.

Kesimpulan kecil ialah menerima kebudayaan Arab adalah sebahagian daripada berkenal-kenal dengan suku bangsa Arab itu oleh bangsa-bangsa bukan Arab. Arab bukanlah ketuanan Islam sekalipun al Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Meneruskan tradisi bangsa bukan Arab asalkan menerima syariat Islam untuk kehidupan sudah termasuk menerima seruan Allah agar beriman kepada Allah.

Berbudaya Arab terutama di masjid hanya budaya atau adat manusia, bukan prinsip Islam atau perintah Allah. Kedudukan manusia di sisi Allah tidak ditentukan berdasarkan hebat atau lesunya tradisi bangsa, tetapi tahap takwa kepada Allah. Erti mudah takwa ialah ‘takut tetapi rindu’ kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan