Pengikut

Isnin, April 21, 2008

PEREBUTAN jiwa manusia

HARI Sabtu lepas saya menghadiri Mesyuarat Agung PIBG untuk sekolah anak di Seremban. Daripada sekian banyak usul yang dicatat untuk dibahas, tampak usul berkenaan banyaknya kerja rumah sewaktu musim cuti menjadi keluhan utama ibu bapa. Melihat pada minit mesyuarat tahun sebelumnya, isu itu telah disuarakan.

Yalah apa sangat dengan kerja sekolah, sebab namanya budak sekolah. Maka kalau tidak ada kerja sekolah, mahu diberi kerja apa lagi. Lagi pula sekolah itu punya nama di negara, gah sebagai kolej terulung. Berdasarkan premis itu patut ibu bapa faham, tapi ibu bapa mempunyai pandangan berbeda dengan pentadbir atau guru-guru sekolah perempuan terulung itu.

Ibu bapa faham dengan banyaknya kerja sekolah sewaktu pelajar masih di sekolah, sewaktu tinggal di asrama. Ibu bapa percaya maksud cuti sekolah yang seminggu dan dua minggu itu ialah waktu istirahat seketika setelah segala waktu di kolej berkenaan digunakan sepenuhnya. Cuti sebagai rehat untuk mendapatkan satu kekuatan baru sewaktu hadir semula ke kolej. Itu yang ibu bapa faham dan tidak difahami oleh guru-guru di kolej. Bagi guru-guru di kolej setiap pelajar mesti diasak dengan fakta dan hafal: keputusan peperiksaan wajib semua ‘A’. Ini adalah kelegaan buat kaum guru.

Maka saya antara yang kasihan amat dengan puteri-puteri kolej. Saya mengaku di hadapan Yang Dipertua PIBG dan Pengetua Kolej bahawa saya sudah mula kehilangan kasih sayang daripada puteri saya! Inilah dilema ibu bapa di samping meratapi nasib anak-anaknya.

Saya katakan kepada mereka: Nikmatilah hidup pada saatnya!

Sebenarnya saya tidak perlu menoleh jauh untuk melihat produk ekstrim ulat buku. Saya melihat kehidupan orang seperti itu saban hari. Mereka cemerlang di atas kertas sijil tapi hangus dalam kontak sosial. Mereka berkedudukan tinggi dalam jawatan dan jabatan, tetapi naïf mengenai jiran tetangga. Saya berterus terang mengenai hal ini di hadapan PIBG dan Pengetua. Terpulang kepada mereka memikirkannya.

Apabila saya menyuarakan hal itu, kemudian datang seorang demi seorang berbicara mengenai hal ‘kehilangan anak’ sejak mendiami asrama kolej. Seperti catatan lepas, inilah bukti perebutan manusia antara ahli-ahli ekonomi dengan ahli-ahli kejiwaan. Inilah akibatnya apabila meminggirkan alquran dan sunah dalam menekuni falsafah pendidikan.

Orang berminda wang, ekonomis itu mahu manusia bergerak atas landasan ilmu-ilmu yang dapat menggerakkan tamadun kebendaan. Ukurannya ialah kejayaan mengumpul wang. Maka sejak di bangku sekolah, anak-anak diasak dengan fakta yang orientasinya adalah kejayaan memburu wang.

Orang berminda kemanusiaan mahukan anak-anak menikmati alam hidup berdasarkan fitrah kejadiannya. Mereka mahukan manusia menikmati erti kehidupan dan bersedia untuk toleransi dalam memburu wang. Kepada mereka wang memang perlu tapi bukan matlamat. Mendapatkan semua ‘A’ adalah perlu tapi bukan sehingga mengorbankan segala nilai kemanusiaan.

Sekarang yang menang adalah ahli-ahli ekonomi itu sehingga guru-guru terseret sama ada sadar atau dalam linglung. Para eknomis menang kerana didukung oleh ahli-ahli politik yang memang rakus untuk mendapatkan wang. Jadi: dua mengalahkan satu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan