Pengikut

Sabtu, April 05, 2008

ANTARA Maulidur rasul dan pengantin bersanding

(Foto pengantin hanya sebagai hiasan rencana)
BERAKHIRLAH bulan Rabi’ul awwal, berakhirlah bulan maulidur rasul. Pengalaman saya untuk bulan maulid kali ini hanyalah diberi amanah oleh rakan-rakan untuk mencarikan seorang penceramah untuk majlis maulid di sebuah sekolah. Oleh kerana saya sangat cerewet mengenai isi ceramah dan kaedah penyampaian isinya, akhirnya saya gagal mendapatkan penceramah itu. Bagi sesetengah orang pelik sebab payah nak dapatkan penceramah agama.

Bagi saya sekalipun majlis sambutan maulidur rasul bukan daripada sunah rasul namun telah membudaya, saya memilih menerima dalam keadaan terpilih. Saya tidak menyertai perarakan maulid yang dianjurkan di kawasan tempat tinggal. Saya hanya menerima ruang untuk menyampaikan ilmu atau kebenaran dalam majlis itu: Ilmu dan yang berfaedah.
Lantaran itu saya mahu seorang pakar motivasi atau yang dapat menjelaskan apakah kesan kehadiran Nabi Muhammad kepada kita atau murid-murid sekolah. Kalau setakat menceritakan sejarah kelahiran nabi satu persatu kemudian ada bacaan berzanji atau marhaban yang murid tidak tahu apa-apa faedahnya, saya berundur diri daripada terlibat sama.

Ulama yang pro kepada sunah nabi seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara terbuka mengatakan Maulidur rasul bukan sunah nabi, dan tidak perlu dirayakan. Terbaru di Alor Setar TG Nik Aziz sekali mendedahkan sambutan Maulidur rasul hanya dimulakan setelah 400 tahun Rasulullah wafat. Kerajaan di Arab waktu itu meniru sambutan kelahiran Nabi Isa oleh penganut Kristian pada 25 Disember, kemudian pada 12 Rabi’ul Awal mereka mula merayakan kelahiran Nabi Muhammad. Jelas, asasnya ialah meniru perayaan agama yang diharamkan oleh Allah. Dan kita sekarang mewarisi sambutan itu dengan penuh kebanggaan!

Jangan lupa bahawa kebanyakan ulama yang prosunah dan tidak perduli sunah juga mengharamkan amalan bersanding dalam perkahwinan masyarakat Melayu dengan alasan warisan agama Hindu. Alasan mereka ialah maksud hadis nabi yang maksudnya sesiapa melakukan perkara yang menyerupai satu kaum itu sebenarnya dia termasuk kaum (pengamal) itu. Firman Allah juga dalam surah al Kafirun yang salah satu ayatnya bermaksud: Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami.

Jangan lupa sekali lagi, sekalipun sensitif untuk dinyatakan bahawa terdapat amalan diraja Melayu kita yang jelas merupakan warisan agama Hindu. Perkara ini dipelajari oleh anak-anak kita dalam pelajaran sejarah di sekolah.

Jangan lupa lagi ya, kenduri arwah yang sangat popular juga berasal daripada tradisi sebelum zaman Buddha-Hindu di Asia Tenggara. Pada waktu itu sebelum zaman Srivijaya (Buddha) dan Majapahit (Hindu), pemujaan roh nenek moyang menjadi kepercayaan. Dan apabila kedatangan Islam, pemujaan roh moyang ini menjadi kenduri arwah yang masih lagi intinya memuja arwah dengan mengirim sejumlah pahala daripada bacaan alquran kepada arwah. Sebab itulah TG Nik Aziz bertegas amalan kenduri arwah itu sebagai amalan jahiliyah.

Aduhai ulama-ulama kita, janganlah memilih sesuatu amalan untuk dikaitkan dengan Hindu kemudian bertegas mengharamkannya. Pada satu dua amalan lain sekalipun berasal daripada tradisi agama lain, diterima dan dipertahankan mati-matian dengan hujah itu amalan Islam. Malah apabila ada ulama lain yang tidak beramal dengan amalan yang tidak ada petunjuk sunah, dituduhnya sebagai sesat pula.

Sedikit ulasan saya mengenai amalan persandingan itu. Kesilapan utama para penggiat adat dalam perkahwinan itu ialah tidak menyertakan apa-apa bacaan berasaskan alquran sewaktu adat bersanding berlangsung, sebab itu bersanding mudah diharamkan kerana dituduh adat Hindu. Cuba kalau pengantin lelaki diwajibkan membaca mana-mana ayat alquran semasa bersanding, atau ada upacara ‘bersifat agama’ seperti mengirim bacaan fatihah kepada arwah nenek moyang pengantin, maka pasti bersanding diterima sebagai amalan Islam dan dikatakan sunah nabi pula. Itulah silapnya. Lihat kenduri arwah dan Maulidur rasul, terselamat daripada diharamkan oleh ulama-ulama yang telah mengharamkan adat persandingan.

w.a.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan