Pengikut

Selasa, April 15, 2008

MINTA izin masuk Islam

MEMANG ada beberapa kes perebutan jenazah antara pihak berkuasa agama Islam dengan waris keluarga yang mendakwa jenazah semasa hayatnya tidak beragama Islam. Kes pendaki Gunung Everest nampaknya berlarutan sekalipun mahkamah telah memutuskannya. Kes Nyonya Tahir di Tampin berjaya diselesaikan di mahkamah dengan puas hati walaupun ternyata jenazah beliau diurus mengikut amalan penganut Buddha.

Atas peristiwa lama yang dicucuk semula, Perdana Menteri mencadangkan supaya sesiapa yang berhasrat memeluk Islam mestilah mendapatkan surat kebenaran daripada ahli keluarga supaya tidak timbul perbalahan mengenai jenazah. Ohhh, ini mengundang polemik baru, terutama daripada kalangan yang berpengalaman mengurus saudara baru Islam.

Berdasarkan pengalaman kebanyakan saudara baru Islam, keluarga sukar menerima ahli keluarga yang memilih Islam. Tidak sedikit berlaku pertengkaran, permusuhan sehingga diputuskan hubungan keluarga kerana ada yang memeluk Islam. Ada antara mereka yang berjaya merapatkan kembali perhubungan, tetapi tentulah awalnya mendapat penentangan. Maafkan saya dengan kenyataan ini: Kebanyakan keluarga bukan Islam bersedia rela hati anggota keluarganya memeluk Kristian, tetapi tidak untuk memilih Islam.

Dengan sejarah pahit saudara-saudara Islam kita pada peringkat awal untuk memeluk Islam, bolehkan dipercayai surat kebenaran memeluk Islam mudah dikeluarkan oleh keluarga? Kelak apabila peraturan ini diterima oleh kerajaan-kerajaan negeri (kuasa hal Islam ada pada negeri), terpaksalah diterima bahawa untuk seseorang memeluk Islam bukanlah satu yang mudah. Halangan pertama ialah ‘kelulusan keluarga’!

Sepatutnya jika masalah yang timbul ialah perebutan jenazah, kerajaan boleh mencadangkan supaya setiap saudara baru Islam wajib memaklumkan pengislamannya kepada ahli keluarga supaya mereka tahu atau maklum. Jika ditakdirkan dia meninggal dunia selepas pemakluman itu, tahulah ahli-ahli keluargnya bahawa seseorang itu sudah Islam. Cara memaklumkan keislaman itu boleh ditetapkan seperti melalui iklan media, surat atau peristiharan mahkamah. Dengan cara ini, seseorang yang sudah terbuka untuk memeluk Islam tidak terhalang oleh masalah ahli keluarga.

Perkara seumpama ini memang sensitive dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu semua pihak terutama pihak berkuasa agama Islam menjadi kreatif dalam usaha mengatasi salah faham pemelukan ke agama Islam oleh seseorang yang asalnya bukan Islam. Masyarakat Islam (khasnya Melayu) juga wajib berperanan menjadi penerang kepada bukan Islam bahawa proses pemilihan agama kepada Islam bukan satu proses kehilangan ahli keluarga, keturunan dan adat resam.

Sebenarnya masih banyak perkara yang perlu ditangani dan diselesaikan berkenaan hubungan antara keluarga (beragama bukan Islam) dengan ahli keluarga yang memeluk Islam. Antaranya ialah tafsiran hukum-hukum fikah yang kurang sesuai dengan masyarakat bukan Islam sehingga masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang sangat asing dengan budaya mereka.

Satu contoh ialah berkenaan anjing. Masyarakat bukan Islam sangat hampir dengan anjing, namun masyarakat Melayu Islam sangat menjauh daripada anjing. Jika diteliti hukum fikah selain fikah Melayu Islam ini, ada kelonggaran terhadap anjing. Kelonggaran dan penerimaan anjing ini tidak pun merosakkan akidah Islam, maka patut para ulama kita terbuka dalam soal ini supaya tanggapan masyarakat bukan Islam terhadap hukum fikah Islam dapat diperbetulkan dan akan kelihatan lunak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan