Pengikut

Ahad, April 20, 2008

MENDESAK tuhan

APABILA menyebut buku Falsafah Hidup karangan Buya Hamka, antara perkara yang tidak luput dari ingatan ialah berkenaan hak dan zaman seseorang. Pandangan beliau ialah setiap peringkat manusia mempunyai hak dan kesesuaiannya masing-masing. Seterusnya beliau memberi contoh seorang kanak-kanak berusia 8 tahun wajib diberikan hak dan kesesuaiannya pada satu umur 8 tahun. Kalau yang berusia 8 tahun diberikan hak dan kesesuaian untuk berumur 20 tahun, apa yang dirasai oleh seseorang apabila menempuh usia 20 tahun kelak?

Hari ini berlaku pertentangan pendapat yang keras antara ahli-ahli ilmu jiwa atau kemanusian dengan ahli-ahli ekonomi. Perhatikan kehidupan kanak-kanak hari ini dan nilailah dengan kaca mata yang adil. Bukan rahsia lagi soalan bahasa level UPSR untuk usia 12 tahun menyamai PMR yang berusia 15 tahun. Daripada itu, masyarakat diajak pasrah saja apabila kanak-kanak usia tujuh hingga 12 tahun mengusung beg seberat 10 kilo. Pemandangan ini melucukan kepada ahli-ahli pendidikan Barat.

Kerana segala-gala hasil persekolahan dinilai pada sehelai kertas bernama sijil, maka kehidupan murid-murid di level UPSR, PMR dan SPM diperah untuk meraih markah tertinggi. Jangan kagetlah apabila kanak-kanak berusia empat atau lima tahun yang dunia sebenarnya bermanja dan bermain-main dengan ibunya, sudah diasingkan ke dunia tiusyen untuk meraih markah tertinggi UPSR lapan tahun kemudian.

Ibu bapa yang sudah edan ini tidak perduli apakan hak dan dunia yang wajib dinikmati anak-anak pada setiap tahun usia mereka. Media dan teknokrat pendidikan tidak pernah menoleh ke belakang untuk menggambarkan ‘kecemerlangan’ ialah kejayaan menggondol sijil yang banyak level A. Khalayak dipaksa menerima standard tolol bahawa kejayaan seseorang manusia ialah apabila hidup berbungkus wang jutaan ringgit.

Ikut standard goblok itu kalau namanya nelayan yang jujur tapi tidak kaya, gagal jawabnya. Mereka (baca manusia yang linglung) cuba mengabsahkan kelinglungan itu sejak awal kanak-kanak bersekolah dengan mendorong mendapatkan markah tertinggi dalam setiap peperiksaan, dengan tidak perduli apa hak dan nurani anak-anak.

Ini cerita benar di depan mata. Saya dikagetkan dengan perubahan seseorang yang sekonyong-konyong mendatangi solat jemaah di masjid setiap waktu dengan anak lelakinya. Saya pasti mereka menunggang motorsikal baru pula. Jawaban yang diterima daripada mulutnya ialah anak lelakinya sedang menduduki peperiksaan percubaan (trial) PMR! Ooo oo, patutlah selepas tempoh peperiksaan yang hanya trial itu, kelibatnya di masjid dua beranak tiada lagi. Tuhan pun didesak menerima doanya semata-mata mendapatkan sehelai sijil sementara yang tidak berguna itu.

Inilah sebagian dunia goblok yang tidak disadari oleh manusia-manusia yang merasakan dirinya cemerlang. Mujur hal itu saya sedari dan disuarakan kepada pentadbir sekolah anak-anak saya. Seperti diduga, pemikiran mereka tidak seperti saya. Lihatlah bagaimana mereka mengadakan solat hajat secara besar-besaran saat hampir peperiksaan. Tidakkah mereka seperti mendesak tuhan juga untuk sekeping sijil?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan