Pengikut

Jumaat, Januari 11, 2008

SEKULAR atau munafik?


ADAKAH munafik itu sekular? Surah al Baqarah ayat 8-21 menceritakan keperibadian orang-orang munafik. Mereka berpura-pura menerima iman, sebenarnya benci keimanan kepada Allah.

Sekular, orang-orang ini menerima keimanan kepada Allah dalam bidang yang sempit, misalnya ibadah khusus sahaja. Mereka memerlukan agama kerana ada fitrah manusia mencari Tuhan, tetapi mereka percaya ibadah atau urusan Tuhan tidak ada kena-mengena dengan hal-hal keduniaan.

Katakan manusia yang kuat beribadah tetapi ada urusan keduniaannya melibatkan rasuah. Kepada mereka rasuah, judi, pelacuran dan arak misalnya bukan urusan Tuhan. Semua itu dimasukkan juga dalam urusan keduniaan lain yang manusia mempunyai kuasa memilih dan menentukan. Manusia ini berfikiran sekular, iaitu memisahkan Tuhan dengan urusan keduniaan. Ingat, mereka percayakan Tuhan dan membuktikan dengan amal ibadah juga.

Orang-orang munafik, mereka sebenarnya tidak percayakan Tuhan. Mereka hanya menampakkan wajah sebagai orang beragama, sebagai orang yang mengenal Tuhan, tetapi hanya lakonan. Jika mereka punya kesempatan, mereka akan menzahirkan kebenciannya terhadap Allah atau Islam. Ini berbeda dengan manusia sekular yang masih beribadah sekalipun hidup terasing daripada orang. Mereka menerima Allah dan beribadah, tidak membenci agama, cuma bagi mereka urusan agama hanya di tikar solat atau di masjid dan kubur.

Tetapi jangan melihat manusia sekular ketika mereka berada di pentas dunia sahaja. Misalnya jika artis dan ahli sukan, mereka dikatakan manusia sekular. Untuk berlaku adil, lihat juga para ahli ibadah di masjid dan surau. Mereka termasuk yang sentiasa menjaga solat malah berjemaah di masjid, tetapi jika kehidupan sosialnya tidak diurus dengan Islam, mereka juga sekular.

Ada ahli-ahli ibadah yang merokok dan mengotorkan alam sekitar. Mereka itu buat tidak kisah mengenai undang-undang atau peraturan sosial dengan alasan itu undang-undang dunia, bukan undang-undang Tuhan. Maka mereka tidak perduli peraturan kebersihan, lalu lintas atau etika kerjaya. Tidak syak lagi, mereka juga manusia sekular.

Orang yang kuat beribadah kerap melihat mereka yang lalai dalam ibadah sebagai manusia sekular. Jaga-jaga, sebab kaki solat dan penceramah agama juga boleh saja menjadi manusia sekular juga jika terkena dengan kaedah contoh di atas.

Masjid dan rumah juga boleh menjadi pusat sekular. Masjid hanya menerima agenda ibadah khusus seperti solat, berbuka puasa, kursus haji tetapi menolak dijadikan pusat diskusi ekonomi atau sukan. Maka masjid pun dilihat berwajah sekular.

Pendidikan juga boleh cenderung menjadi sekular. Misalnya dengan memisahkan sains, bahasa, matematik, geografi daripada pengaruh al Quran dan Sunah, maka ilmu-ilmu itu akan menjadi sekular. Ilmu astronomi itu menjadi sekular atau tidak Islami dengan keyakinan semua planet bergerak sendiri atau semula jadi. Api semua sifatnya panas dan membakar, padahal dalam al Quran Allah ada memerintahkan api menjadi nyaman tidak membakar Nabi Ibrahim.

Ilmu fardu ain juga akan menjadi ilmu sekular apabila tidak digunakan dalam kehidupan. Belajar solat jamak qasar tetapi apabila musafir tidak solat. Al Quran diketahui ertinya dalam bahasa ibunda, tetapi tinggal dalam kotak ingatan sahaja. Jadilah ilmu hafalan itu sebagai ilmu sekular juga.

Semua ini memberi pengertian bahawa sekular itu ialah pemisahan antara urusan Islam dengan hal-hal keduniaan. Oleh kerana takrifannya berasaskan pemisahan, pengertian sekular boleh saja mengenai ahli dunia atau ahli ibadah. Mungkin ada yang tidak setuju, itu bergantung kepada pemahaman dan ilmu yang dimiliki. Ini sebahagian daripada wacana ilmu yang bebas diteroka. Pemahaman saya tidak akan memancung pengertian sekular yang di luar daripada skop yang saya bincangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan