SALAM tahun baru 1429 Hijrah atau Awal Muharam atau juga disebut Ma’al Hijrah. Tahun Islam Hijrah berasas kepada perisitwa Rasulullah dan umat Islam berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masehi (kini 2008 Masehi). Sebelumnnya bermula tahun 610 Masehi Rasulullah mendapat wahyu. Rasulullah bersama Abu Bakr mengambil masa 12 hari untuk sampai ke Makkah. Hari ini dengan menaiki bas, dari Makkah ke Madinah boleh dilalui hanya 8 jam saja.
Mengenang Hijrah sewajibnya mengetahui perbandingan (persamaan dan perbedaan) antara kegiatan Islam di Makkah dan Madinah pada zaman Nabi. Jika seseorang tidak mengetahui apa-apa titik tolak Hijrah, maka dia kegersangan jiwa untuk merasa pentingnya Hijrah dalam jiwanya sebagai muslim.
Di Makah, Rasulullah dikeji, dihina dan umat Islam dikejar-kejar kerana menjadi muslim. Tetapi di Madinah Rasulullah diangkat sebagai Ketua Negara dan umat Islam dapat mengamalkan ajaran Islam dengan aman dan terbuka.
Di Makkah, umat Islam terpinggir dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan, tetapi di Madinah umat Islam menguasai pemerintahan dan dapat membentuk pentadbiran negara. Pasukan tentera juga dibentuk di Madinah, bukan di Makkah.
Di Makkah, wahyu-wahyu yang diturunkan lebih kepada keimanan kepada Allah, tetapi di Madinah wahyu-wahyu Allah meliputi hal sosial, ekonomi dan politik.
Di Madinah Rasulullah sebagai Nabi dan Ketua Negara telah menyusun gerakan dakwah bukan sahaja kepada kabilah-kabilah Arab malah kepada Ketua kerajaan besar Rom dan Parsi (Sarsan).
Di Madinah tentara Islam memenangi banyak peperangan atau gazwah untuk mempertahankan daulah dan maruah umah, maka pada zaman itu fokus bangsa Arab kepada dua: Makkah dan Madinah. Tidak hairan jika konflik antara Makkah dan Madinah berlaku. Makkah seperti tidak ada pilihan lain, kecuali memusnahkan Madinah. Ini mengingat kepada Abrahah yang tidak punya pilihan kecuali memusnahkan Kaabah setelah pusat ibadah yang dibina di Yaman tidak laku. Sebagaimana Abrahah gagal, begitu juga Quraisy Makkah gagal terhadap Madinah.
Makkah dapat dikuasai oleh umat Islam pun setelah kejayaan Islam di Madinah. Kalau bukan kejayaan luar biasa Rasulullah di Madinah, Quraisy Makkah tidak sama sekali akan membuat perjanjian Hudaibiyah 628M. Perjanjian itulah yang merintis pembukaan Makkah oleh Rasulullah tahun 630M. Penguasaan Makah oleh Rasulullah dan Islam, maka di Tanah Arab fokusnya hanya satu iaitu Islam. Pentadbirannya di Madinah, Makkah sebagai pusat tumpuan ibadah!
Kemudian, pengkritik Rasulullah dan Islam mengatakan umat Islam menjadi pelarian ke Madinah. Jawabnya dalam bentuk soalan pula: Mana ada pelarian yang diangkat menjadi Ketua Negara di negara baru yang dituju itu? Tidak ada dalam sejarah bangsa yang merempat dan melarikan diri daripada tanah airnya kemudian dialu-alukan kemasukkannya oleh penduduk negara yang dituju. Maka, Rasulullah dan umat Islam Makkah bukan pelarian di Madinah, tetapi penghijrahan! Pindah!
Itulah sedikit sebanyak keistimewaan-keistimewaan hijrah dalam sejarah. Dengan peristiwa Hijrah itu telah menjadi satu titik tolak kepada kemajuan tamadun Islam. Bangsa Arab, sejak tahun 610M (turun wahyu) dan 50 tahun kemudian, sudah menjadi satu umah atau bangsa yang digeruni oleh dunia. Padahal sebelumnya, semenjak runtuhnya empangan Maarib di Yaman (kerajaan Saba’) tahun 300M sehingga tahun hijrah Nabi tahun 622M, bangsa Arab menjadi bangsa terkontang-kanting antara kuasa besar Rom dan Parsi. Jelas hijrah Nabi menjadi titik tolak kebangunan satu tamadun manusia paling pantas dan hebat.
Di sini saya terpegun dan tidak faham apabila ada sebuah masjid bertaraf negeri mengadakan ceramah Maal Hijrah bertajuk “Zikir Nyaring dan Beramai-ramai”. Saya masih tidak dapat mencari kaitan pentingnya hijrah yang begitu bermakna dengan berzikir nyaring secara ramai-ramai! Di mana mereka hendak meletakkan kedudukan isi ceramah itu dalam usaha membentuk kegemilangan umah. Harap, tajuknya saja begitu, tapi moga-moga isinya dapat membangun keteguhan ilmu, keterampilan dan jiwa umah mendepani tamadun di Malaysia. Jika andaian saya tidak betul, saya antara yang keciwa dengan kemandulan daya fikir orang-orang yang kuat ‘beragama’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan