Pengikut

Jumaat, Januari 25, 2008

MAZHAB Syafi'e tentang solat Jumaat

Solat Jumaat pertama dalam sejarah Islam dilakukan di Madinah. Maksud firman Allah dalam surah Jumu’ah ayat 9, ”Hai orang-orang beriman, apabila diserukan solat pada hari Jumaat, segeralah mengingati Allah dan tinggalkanlah perniagaan. Yang demikian lebih baik bagi jika kamu mengetahui”.

Mengikut sejarahnya pada zaman Rasululah, apabila telah masuk waktu zuhur, Rasulullah masuk ke masjid dan terus berdiri di tangga mimbar. Baginda mengucapkan salam kepada jemaah. Baginda duduk di anak tangga mimbar yang lebih tinggi. Bilal melaungkan azan di hadapan pintu masjid. Selepas azan, Rasulullah pun berdiri, berkhutbat memberi peringatan kepada hadirin. Selepas beberapa ketika, baginda berhenti memberi nasihat, dan duduk. Beberapa ketika setelah duduk, baginda berdiri semula dan berkhutbah semula sehingga tamat. Khutbah baginda Rasululah tidaklah panjang kerana baginda sendiri telah berkata dalam hadisnya yang masyhur, (maksud), “pendekkanlah khutbah dan panjangkanlah solat kamu”.

Mengikut sunah Rasulullah, azan hanya dilaungkan sekali sahaja, apabila imam sudah mengucapkan salam di mimbar. Cukup jelas, tidak ada solat sunat selepas azan hari Jumaat itu. Sunat juga tidak khutbah panjang dan lebih memanjangkan solatnya.

Sunah Rasulullah dalam Solat Jumaat ini diteruskan oleh Khalifah Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. Pada zaman Usman r.a., keadaan di Madinah semakin sibuk terutama urusan ekonomi di pasar. Beberapa ketika, penduduk seakan terlupa hadir awal ke masjid kerana urusan perniagaan. Khalifah Usman berkeputusan supaya seorang pergi ke tengah-tengah pasar sebelum masuk waktu zuhur dan melaungkan azan di sana. Para sahabat yang ada tidak membantah keputusan Khalifah Usman kerana memahami keadaan dan faham azan di pasar itu bukan satu syariat baru dalam ibadah. Kemudian seperti biasa di masjid, Khalifah Usman masuk masjid sebaik sahaja masuk waktu zuhur dan mengucapkan salam di mimbar. Muazzin pun berazan, dan seterusnya. Amalan sunah Rasulullah diteruskan sebagaimana difahami.

Kemudian, pada zaman-zaman setelah khalifah Usman (zaman Khalifah Ali kwh, azan sekali sahaja), orang telah membawa azan di pasar tadi ke dalam masjid. Maka berlakulah azan dua kali di masjid pada hari Jumaat separti hari ini. Oleh kerana azan pertama dilaungkan di masjid, maka jemaah yang ada di masjid tadi melakukan solat sunat sebelum Jumaat, satu solat yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah dan para sahabat baginda. Mereka menganggap azan pertama juga satu syariat (kononnya sunah).

Pada zaman kehidupan Imam Safie r.a., berlaku pertikaian mengenai siapakah yang memulakan azan dua kali hari Jumaat. Jawaban Imam Syafie yang dicatat dalam kitabnya iaitu Al Umm ialah beliau tidak mengira siapakah yang memulakan azan dua kali, kerana baginya azan sekali pada zaman Rasulullah sangat beliau sukai. Itulah mazhab Syafie dalam hal ini.

Kita perlu faham mengapa Khalifah Usman mengarahkan azan dilaungkan di pasar. Tujuannya untuk menyedarkan umah waktu itu mengenai hari Jumaat dan mereka perlu bersiap-siap untuk Solat Jumaat. Itulah media yang paling wajar, pada zaman sebelum terciptanya jam dan pembesar suara.

Sekarang, ada orang yang tidak melakukan solat selepas azan pertama semata-mata kerana menuruti sunah Rasulullah, para sahabat dan Imam Syafie. Terpulanglah kepada yang lain menentukan, yang penting setiap amal ibadah mesti ada asas yang jelas, berupa syariat.

Sumber: Prof. Hamka, Tafsir al Azhar, (Singapura: Pustaka Nasional). Sayyid Sabiq, Terj. Fikh Sunnah, (Kuala Lumpur, Victory Agencies). Prof. Hasbi As Siddique, Solat Jumaat, (Batu Caves, Thinkers Library), A Hassan, Pengajaran Solat, (Melaka: Pustaka Abas Bandung), Imam As Syafie, Terj. Al Umm, (Kuala Lumpur, Victory Agencies)

1 ulasan:

  1. Terima kasih ustaz atas info yang dikongsi..pohon share ya untuk ilmu dan tugasan...hamba Allah

    BalasPadam