Seringkali kita melihat kanak-kanak apabila memasuki masjid, mereka dipisahkan dari ibubapa mereka. Sudah menjadi kelaziman, kanak-kanak ditempatkan di saf yang terbelakang. Tidak kurang juga kita melihat terdapat AJK masjid ditugaskan khas bagi memastikan agar kanak-kanak ini pergi ke tempat yang dikhusus untuk mereka.
Tidak kiralah, sama ada mereka sampai awal atau pun tidak, mereka tetap akan diletakkan di saf belakang, Keadaan yang lebih sedih lagi, terdapat kanak-kanak yang sampai awal, duduk di saf pertama disuruh berpindah ke saf belakang. Tindakan ini disebabkan dikhuatiri kanak-kanak ini mungkin akan mengganggu jemaah yang bersolat di saf hadapan. Ada kemungkinan mereka akan bermain-main atau menangis, dan ini akan mengalih konsentrasi jemaah yang berada di saf tersebut.
Alasan ini yang menyebabkan masjid mempunyai saf khas untuk kanak-kanak bersolat. Ada juga antara pihak masjid yang melaksanakan larangan ini disebabkan terdapatnya riwayat yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid. Dalam Sunan Ibn Majah, kitab masjid dan jemaah, bab apa yang tidak disukai dalam masjid, dikatakan Nabi saw bersabda,
جنبوا مساجدكم صبيانكم ومجانينكم وشراركم وبيعكم وخصوماتكم ورفع أصواتكم وإقامة حدودكم وسل سيوفكم واتخذوا على أبوابها المطاهر وجمروها في الجمع
"Jauhi masjid kamu dari kanak-kanak kamu, orang gila, jual beli kamu, pertengkaran kamu, ketinggian suara kamu, perlaksanaan Hudud dan mempamerkan pedang kamu. Jadikan tempat membasuh dan wudhu' berdekatan dengan pintunya dan mewangikannya pada hari Jumaat" [Riwayat Ibn Maajah #750].
Hadith ini dhaif menurut Ibn al-Jauzi, Munziri, Haitaimi, Ibn Hajar al-Asqalani dan Busyairi. Syeikh Abdul Haqq al-Ishbeli mengatakan bahawa hadis ini tidak berasas. Maka hadis di atas ini tidak boleh dijadikan dalil melarang kanak-kanak dari pergi ke masjid.
Di sana terdapat satu hadis sahih menjelaskan siapakah yang harus berada di belakang Imam. Riwayat dari Abdulllah bin Mas'ud ra, Nabi :saw bersabda :-
يَلِني منكم أُولُو الأحْلامِ والنُّهى
"Jadikan di belakangku mereka yang kalangan kamu yang alim dan matang" [Hadith Riwayat Muslim, #432]
Syeikh Ibn Baaz rh semasa menjelaskan hadis ini mengatakan bahawa ini bermakna orang yang alim dan matang digalakkan datang awal dan melakukan solat di hadapan jemaah-jemaah lain [1]. Hadis ini tidak menunjukkan larangan kepada kanak-kanak untuk duduk di saf awal.
Malah Imam al-Nawawi rh. juga menjelaskan bahawa adalah mustahak bagi seorang kanak-kanak berdiri di antara dua orang dewasa agar dia dapat mempelajari pergerakan solat dari mereka. [2].
al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani menjelaskan bahawa Ibn Abbas bersama-sama dengan jemaah bersolat jenazah semasa Nabi :saw melakukan Haji sedangkan beliau belum baligh.
Peristiwa di atas ini jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dilarang berada di saf hadapan. Bagaimana pula dalam situasi kanak-kanak yang berada di saf hadapan itu dipindahkan kepada saf yang ke belakang? Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rh mengatakan bahawa perbuatan ini menyalahi hadis sahih bahawa Abdullah bin Umar ra, meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda :-
لا يقيم الرجل الرجل من مجلسه ثم يجلس فيه
"Tidak boleh seorang lelaki menyuruh seorang lelaki yang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian dia pun duduk (menggantikannya) ditempatnya" [Hadith Sahih Riwayat al-Bukhari, al-Jaami' al-Sahih, no: 6269].
Syiekh bin Baaz rh [1] menegaskan bahawa jika kanak-kanak itu telah duduk di saf hadapan, mereka tidak boleh dipindahkan ke saf yang yang belakang, dan makmum tersebut pula menggantikan tempat mereka. Adalah menjadi hak kepada sesiapa saja yang sampai awal untuk duduk di saf yang hadapan.
Syiekh Ibn Utsaimin rh. [4] mengatakan bahawa pandangan mengalihkan kanak-kanak yang telah duduk di saf awal perlu dikaji semula. Beliau berpandangan bahawa kanak-kanak pergi awal ke masjid dan duduk di saf yang awal perlulah dihargai perbuatan mereka. Mereka mempunyai hak untuk duduk di mana-mana ruang yang dibenarkan di dalam masjid.
Kedua-dua Syiekh ini menyatakan beberapa implikasi kepada perbuatan mengalihkan kanak-kanak ini, berkemungkinan akan mengakibatkan perkara dibawah ini :-
Kanak-kanak akan patah semangat untuk pergi ke masjid Kanak-kanak akan membenci orang yang memindahkan mereka.
Ibn Utsaimin mengatakan bahawa kanak-kanak ini akan ingat peristiwa yang berlaku ke atas mereka. Perbuatan ini juga akan menjejaskan semangat berlumba-lumba untuk pergi ke masjid. Ibn Utsaimin menyatakan bahawa jika kanak-kanak yang di tempatkan di bahagian belakang, ada kemungkinan juga mereka akan bermain-main dan membuat bising kerana tiada orang dewasa disebelahnya.
Ada di kalangan ulama' mencadangkan di dalam saf yang panjang, yang betul-betul berada di belakang Imam adalah mereka yang alim dan matang, dan disamping itu, jemaah yang lain termasuklah kanak-kanak boleh berada pada barisan hadapan. Bapa juga berperanan mendisplinkan anak-anaknya agar mereka tidak bertindak nakal didalam masjid. Kanak-kanak perlu digalakkan bersolat di masjid oleh ibu-bapa mereka. Ia menjadi kewajipan ibu-bapa mengajar anak mereka bersolat, sebagaimana semua diantara kita sudah maklum dengan hadith berikut :-
مروا أولادكم بالصلاة لسبع واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع
"Suruhlah anak-anak kamu bersolat apabila umur mereka 7 tahun, dan pukullah mereka apabila mereka berumur 10 tahun, dan pisahkan mereka dari tempat tidur [kamu]" [Riwayat Abu Daud].
Syeikh Saleh al-Fawzan [5] mengatakan bahawa kanak-kanak yang telah masuk umur 7 tahun boleh dibawa ke masjid bagi tujuan latihan, proses pembesaran mereka dan menjelaskan amalan-amalan sunat kepada mereka. Bagi mereka yang bawah 7 tahun, tidak perlu bawa ke masjid melainkan mereka ini jenis yang tidak mengganggu orang sedang bersolat di masjid.
Kesimpulannya, tidak ada larangan bagi kanak-kanak untuk duduk di saf awal. Kanak-kanak yang telah duduk di saf awal, tidak boleh dipindahkan ke saf yang belakang. Bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka berdisplin semasa membawa mereka ke masjid. Diharap pihak-pihak surau dan masjid dapat mengambil kira pandangan-pandangan yang membenarkan kanak-kanak dibawah umur ini bersolat di saf-saf yang awal. WA.
------------
1. Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah li Samaahat al-Sheikh Abdul Aziz ibn Baaz, 12/399
2. Kitab al-Majmu jilid 4. Jeddah : Maktabah Irsyad, ms.186
3. Fath al-Bari Jilid 4. Kaherah : Dar al-Hadith, 1998. ms. 244
4. Fatwa Ibn Utsaimin. الصف الأول بين الصبية وكبار السنالعنوان. URL : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528621924
5. Fatwa beberapa mufti. اصطحاب الأطفال للمساجد. URL : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528620774
Moderator Mr. Kamin. 20 Mei 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan