Pengikut

Selasa, Januari 22, 2008

BELASUNGKAWA

SEMALAM tanggal 21 Januari, ayah mentua saya Kadri bin Sentol, 65 tahun kembali ke alam baqa jam 4.30 pagi. Sebagai anak sekalipun sudah dewasa tentu kehilangan yang tidak akan berganti (sebenarnya tidak kembali), terasa juga kehilangan.

Pergilah satu insan yang sebelumnya berjasa kepada sesiapa yang bermuamalat dengannya. Dia insan kecil, orang besar di negeri atau persekutuan tidak tahu pun kewafatannya, tapi di sisi Allah semua sama. Saya meminjam kata-kata Sdr Baha Zain dalam Dewan Sastera bahawa insane kecil sepertinya juga berjasa, bukan yang bergelar-gelar dan semasa hidupnya disanjung. Tulis Baha Zain lagi, kalau dia menanam sepohon pisang dan dia menyiram, membaja pohon itu kemudian berbuah. Buah pisang itu sekalipun akhirnya dimakan monyet, dia merasa telah berjasa juga kepada negara. Betul Baha, sekurang-kurangnya monyet yang kenyang tidak akan menceroboh rumah seorang menteri atau VVIP, dan VVIP itu dapat meneruskan kerja mengurus syarikat besar atau menteri mentadbir negara tanpa ada gangguan perasaan rumahnya diceroboh seekor monyet yang lapar!

Benarlah kita terlalu diwarnai adat sekalipun pergerakannya dilihat dari sudut agama. Di desa itu adat tradisinya mayat akan dikubur hanya selepas solat zuhur. Ertinya, mereka kurang ambil kira kehendak ahli keluarga supaya menyegerakan pengurusan jenazah, sekalipun semua ahli keluarga sudah ada sejak jam 10 pagi, namun kena menunggu juga. Itulah status quo yang terlembaga sehingga susah dirungkai.

Jangan ceritalah soal mengapa dibacakan yasin di atas kubur dan kemudian ada majlis sehingga tujuh malam di rumah si mati. Meski diakui semua itu bukan perkara wajib (malah di kalangan penggiatnya pun kata bukan wajib), kerana sudah terlembaga begitu, maka begitu-begitu sajalah. Pada saya, kalau soal hendak menyegerakan jenazah dikebumi pun mereka beralah dengan kehendak tradisi desa, maka fahamlah jika lebih jauh daripada itu.

Benarlah Rasulullah meminta jiran tetangga membawakan makanan kepada keluarga si mati kerana keluarga si mati dalam tanggungan sedih dan kelam kabut. Ini bukan majlis kenduri yang bisa dirancang terdahulu. Kematian, sekonyong-konyong sanak saudara kembali ke rumah dan mengucap takziah. Yang jauh-jauh mengambil masa juga di rumah. Maka terpaksalah keluarga si mati ini menyiapkan juga sekalipun segelas minuman. Jadi, keadaan bertambah rumit juga dengan urusan si mati dan sanak saudara yang kembali. Maka saya dan keluarga terdekat terpaksa menanggung dua perkara, kesedihan kerana kematian dan kesibukan meladeni sanak saudara dari jauh. Tidak ada jiran tetangga membawa makanan kepada kami sebagaimana yang Rasulullah anjurkan!

Semoga Allah mengampuni segala dosa almarhum dan dimudahkan urusannya di alam sana. Yang tinggal akan menyusul juga, entah cepat atau lambat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan