Pengikut

Isnin, Januari 14, 2008

DI mana bahasaku?

SAYA membaca dalam satu risalah kecil mengenai solat dan wirid yang diterbitkan oleh satu jemaah masjid di Batu Pahat. Antara petikan yang tertera dalam risalah itu ialah kata-kata Imam Syafie yang diambil daripada kitab Bahrul Mazi.

Perhatikan, “Di dalam alam dan barang mana imam berzikir ia dengan nyaring atau tidak atau dengan lainnya, maka iaitu elok dan aku pilih bagi imam dan makmumnya bahawa berzikir ia kemudian daripada sembahyang dan tidak nyaring oleh keduanya akan zikir itu melainkan bahawa ia imam yang wajib mengajar daripadanya, maka nyaring ia hingga melihat ia akan sungguhnya telah belajar daripada kemudian tidak menyaring ia.”

Imam Syafie menulis dalam bahasa Arab dan ulama Melayu kita yang menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Mudahkah terjemahan itu difahami?
(maksudnya secara ringkas Imam Syafie berpendapat selepas solat berjemaah, imam berzikir dengan suara nyaring hanya sebagai contoh mengajar kepada makmum, dan jika makmum sudah memahami bacaan zikir Imam Syafie lebih suka imam zikir secara senyap.)

Bagi saya ada dua faktor yang menyebabkan terjemahan oleh ulama kita menjadi sebegitu rupa.

Pertama: Laras bahasa Melayu zaman awal abad ke-19 dan ke-20 tidaklah tersusun sebagaimana anjuran buku Tata bahasa Dewan. Oleh itu jika sesiapa pernah membaca buku Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Dewa dan beberapa hikayat lama, maka begitulah laras bahasanya. Saya contohkan daripada Sejarah Melayu, (Sejarah Melayu:1977, KL, Fajar Bakti, ms 203) “Setelah hari siang, maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun naik gajah. Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala gajah, Tun Ali Hati di buntut. Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulu balang. Maka peranglah dengan Feringgi beramuk-amukan.”

Kedua: Ulama menterjemah kitab Arab ke dalam bahasa Melayu secara harfiah, iaitu menterjemah setiap kalimah Arab ke bahasa Melayu klasik zaman berkenaan. Saya beri contoh terjemahan harfiah surah al Baqarah ayat 6 (Hashim Ghani, 1985, Kursus Terjemah al Furqan, Kuala Pilah), “Bahawa sanya segala yang telah ingkar mereka sama sahaja atas mereka, adakah telah memberi ancaman oleh engkau akan mereka atau telah tidak engkau beri ancam akan mereka, tidak mereka beriman.”

Kita tidak menyalahkan ulama silam, kerana itulah kemampuan mereka dan itupun sangat berharga kepada bangsa Melayu memahami ilmu-ilmu Islam. Kini bahasa Melayu telah berkembang pesat termasuk ilmu penterjemahan. Antara ciri penting ketika menterjemah ialah menjadikan terjemahan karya asing ke bahasa Melayu sebagai ‘sejadi’. Sejadi ini lebih didasari budaya bangsa dan nahu bahasa terjemahan (Bahasa Melayu). Jika konsep ‘sejadi’ ini diamalkan hasil terjemahan akan kelihatan tulen seperti karya asal daripada Bahasa Melayu.

Saya pernah menyunting terjemahan buku berjudul (kalau tidak silap) “Ikhwanul Muslimin di bawah Umar Tilmisani”. Penterjemahnya seorang ustaz yang mahir dalam Bahasa Arab, malangnya tiada asas penterjemahan moden ke dalam Bahasa Melayu. Sungguh merumitkan, kerana saya terpaksa menulis semula terjemahan yang harfiah ke bentuk ‘sejadi’ Bahasa Melayu. Akhirnya buku itu berjaya diterbitkan, tetapi menjadi begitu tipis!

Mana-mana ustaz atau ulama yang tidak menerima disiplin Bahasa Melayu dan penterjemahan modern akan cenderung menterjemah ayat-ayat al Quran atau petikan daripada Bahasa Arab dalam bentuk harfiah. Laras Bahasa Melayu mereka mirip nahu Bahasa Arab. Hal ini cenderung kepada pencemaran bahasa. Contoh klasik tata bahasa yang salah tetapi diterima kerana lahir daripada mulut orang agama ialah “Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”. ‘Kamu’ bererti mayat, ‘disembahyangkan’ bererti didirikan untuk bersolat! Jika ayat itu bermaksud mayat yang baring saja, “Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi”.

Bahasa bukan perkara remeh kerana bahasa merupakan alat berfikir. Bagus bahasanya, maka baguslah alat berfikirnya. Oleh itu hasil pemikirannya juga bagus sekali. Nah, jika bahasanya gawat, hasil pemikirannya pun gawat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan