Pengikut

Khamis, Julai 11, 2013

ISLAMFOBIA DAP bukan rahsia

ISLAMFOBIA! Itulah perkataan yang sesuai terhadap DAP yang didakwa sudahpun faham Islam dan budaya masyarakat Islam di Malaysia.  Hakikatnya, rahsia-rahsia yang dipendam sudah tidak dapat lagi dipendam, akhirnya meremukkan hati masyarakat Islam yang berada di sekelilingnya.  Dasar mereka bukan rahsia dengan menerima Islam tetapi menolak hukum Syariah. Jika Islam yang diajarkan kepada mereka hanya amalan solat di masjid dan berdoa, itulah yang mereka mahu dan sokong.

Ahli Parlimen Kepong terbuka mendakwa DAP hanya menerima Islam tetapi tidak hukum syariah atau Hudud.


Ahli Parlimen Taiping mahu negeri-negeri yang memberi kuasa kepada ibu atau bapa menentukan agama anak di bawah umur 18 tahun dipinda.  Maksudnya mereka mahu ibu atau bapa yang memeluk Islam tidak diberikuasa membawa anak mereka memeluk Islam.  Kalau bukan kebencian kepada Islam, apa lagi mahu dikata kepada orang seperti ini. 


Ahli Parlimen Kampar pula membantah (sebagai dasar DAP) subjek Tamadun Islam diwajibkan kepada semua pelajar di kolej dan university sama ada mereka Islam atau tidak.  Tamadun Islam pun mereka menolak, seolah-olah tamadun Islam itu satu pelajaran agama atau akidah.  Walhal selama ini murid dan pelajar Melayu Islam belajar tamadun Mesir, Mesopotamia, China dan India.  Mengapa DAP tidak membantah tamadun-tamadun berkenaan diajarkan disekolah?  Bukankah antara kandungan pelajaran Sejarah ialah mempelajari kemunculan agama Hindu, Buddha, Kristian, Islam dan ajaran falsafah di China?



Penentangan DAP terhadap kewajiban murid atau pelajar mempelajari Tamadun Islam bukan baru, malah sejak dahulu.  Kepada pembaca sila buka buku Sejarah Tingkatan Empat yang mengandungi sejarah kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun dunia yang penting. Islam dari tanah Arab hingga mempengaruhi budaya dan pentadbiran Malaysia.  Oleh kerana Islam menjadi satu unsur penting di Malaysia, maka wajib semua rakyat faham sejarah dan kepentingan Islam dalam negara. Suka atau tidak, Islam sudah membudaya sejak tahun 1400 lagi.  Sejak itu Islam sudah menjadi nadi negara Melayu Islam, maka sesiapa yang baru mendarat di negara ini wajib faham keadaan ini, bukan mendesak sejarah ratusan tahun dipinda untuk memenuhi nafsu mereka yang benci Islam!

Isnin, Julai 08, 2013

MAHU tutup universiti sebab Wahabi?

PELIK, Jabatan Agama Islam Selangor membuat pendirian memusuhi aliran Islam yang disebut sebagai ‘Wahabi’.  Pertama jabatan itu mendakwa ‘wahabi’ boleh mengelirukan akidah dan kedua mahu sebuah universiti yang berpusat di Madinah dinyahkan dari Selangor!


Pendirian JAIS menyebut, “fahaman wahabi adalah fahaman yang boleh mengeliru dan membahayakan akidah serta memecahbelahkan masyarakat Islam…”.  Berkenaan bencinya kepada Universiti Madinah Antarabangsa (MEDIU), “Al-Madinah International University (MEDIU) dikellilingi oleh orang yang berfahaman wahabi dan sedang giat menanam serta menyemai unsur-unsur wahabi.  Sehubungan dengan itu jabatan ini berpendirian bahawa MEDIU sewajarnya diharamkan untuk beroperasi di negeri Selangor.”

Kebanyakan orang awam tidak tahu apa yang disebut sebagai Wahabi. Penceramah-penceramah juga tidak banyak yang membangkitkan Wahabi walaupun JAIS begitu bimbang sehingga mahu sebuah universiti ditutup.  Ada satu kumpulan yang nadi hayatnya bergantung kepada cerca dan maki-hamun kepada Wahabi, iaitu Ahbash. Untuk mengenalpasti yang dikatakan Ahbash, mereka sering bercakap ‘akidah ahli sunah wal-jamaah’ dan berslogankan ‘Allah wujud tak bertempat’.  Dari situlah mereka mendakwa orang yang tidak sefaham dengan mereka dalam mengenali sifat-sifat Allah dilabel Wahabi.  Kerana itulah, mereka mendakwa Wahabi tersesat akidah, terkeluar daripada Ahli Sunah wal-jamaah.

Bukan mudah orang dapat memahami maksud akidah yang difahami puak Ahbash.  Pemahaman akidah yang disampaikan penuh dengan laras bahasa falsafah.  Oleh kerana sukarnya orang memahami, akhirnya orang awam diajar supaya wajib menerima Sifat 20 sebagai satu-satunya cara belajar akidah.  Maka antara ciri mereka yang dikatakan Wahabi ialah menolak belajar akidah cara Sifat 20.  Sebab itulah agaknya Wahabi dikatakan ‘membahayakan akidah’. 

Antara mereka yang telah didakwa Wahabi ialah mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda, mantan MB Kelantan TG Nik Abdul Aziz disebabkan tidak mengamalkan Maulidur Rasul serta menolak Tahlil Arwah, Presiden Pas TG Hj Abdul Hadi Awang disebabkan menerima sifat Allah di langit seperti dalam al-Quran dan hadis, serta mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi disebabkan program Islam Hadhari.  Puak Ahbash mendakwa negeri Perlis mengamalkan ajaran Wahabi sepenuhnya.

Jauh daripada itu seorang terdakwa Ahbash tegar membuka blog dengan tajuk ‘Wahabi kafir’.  Facebooknya juga mempunyai banyak pengikut.

Akhirnya orang yang gemar mendakwa wahabi sebagai  amalan agama orang yang negatif berkisar pada ayat-ayat berikut:

Siapa solat subuh tidak membaca qunut, dia wahabi.
Siapa tidak mahu amalkan tahlil arwah dia wahabi.
Itulah yang JAIS dan mereka yang sefaham dengannya mengatakan Wahabi memecahbelahkan masyarakat Islam. Di Malaysia, punca besar perpecahan umah adalah politik. Jika  ada yang mendakwa perpecahan disebabkan orang berbeda pendapat dan dakwaan Wahabi, itu pembong besar!

Selain itu terdapat dua perkara yang telah diajarkan oleh guru-guru agama berkenaan Wahabi di Malaysia.
Pertama:  Sesiapa melakukan amal ibadah yang ada dalil tetapi tidak biasa diamalkan oleh majoriti umat Islam Malaysia, maka dia Wahabi. Contohnya jika berwuduk dengan menyapu semua bahagian kepala, bukan mencuitkan air di sebagian kecil kepala, dia Wahabi. Dalam al-Quran ayat 6 surah al-Ma’idah jelas perintah Allah mengajar agar menyapu kepala dengan air. Nabi s.a.w. juga jelas mengajarkan dengan cara menyapukan air dengan kedua-dua tangan dari dahi ke belakang dan membalikkan semua ke depan kepala.
Kedua:  Sesiapa meninggalkan amalan agama biasa umat Islam Malaysia  dengan alasan tiada dalil al-Quran dan Sunah, maka dia Wahabi. Contohnya meninggalkan amalan kenduri arwah dengan bacaan tahlil yang ada modul (susunan) ayat-ayat al-Quran tersendiri, sedangkan modul itu bukan susunan daripada Nabi s.a.w.


Atas sebab sangka buruk terhadap orang yang menjaga sunah nabi (dengan dituduh Wahabi sesat) maka malanglah sebuah institusi agama utama dalam negeri sanggup bertegas untuk mengharamkan sebuah universiti.  Sepatutnya sebuah institusi agama yang dihuni banyak ustaz dan ulama sanggup menjelaskan sesuatu isu agama berdasarkan sumber asal, al-Quran dan sunah.  Peliklah, jika bercakap hal agama, sandarannya ialah kata-kata orang pandai sahaja dan warisan amalan sejak dahulu-kala.  Susahkan golongan agama di jabatan agama memberikan dalil al-Quran dan sunah yang sahih sebagai penjelasan?

Rabu, Julai 03, 2013

SEJARAH Utusan Melayu yang panjang

ORANG tidak kenal nama syarikat tetapi akhbarnya. Akhbar Utusan Malaysia adalah salah satu produk syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.  Sejarahnya, bukanlah kemunculan akhbar Utusan Malaysia yang menjadi trade mark syarikat Utusan, tetapi akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi pada tahun 1938 di Singapura.  Hari ini akhbar Utusan Melaysia dikaitkan dengan parti Umno dan sering menjadi sasaran cerca dan saman parti-parti pembangkang.  Hakikatnya, syarikat Utusan Melayu dan akhbarnya pada awal penubuhannya bukanlah ditubuhkan  untuk menjadi lidah mana-mana parti politik.


Itu antara kesimpulan sejarah syarikat Utusan Melayu sebagai pengeluar akhbar Melayu sejak tahun 1938.  Membaca buku ‘Di Depan Api Di Belakang Duri, kisah sejarah Utusan Melayu’ yang ditulis oleh Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) akan lebih memahami bahawa akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia memang tidak dapat dipisahkan daripada suara politik orang Melayu.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd setebal 512 muka surat juga membawa pembaca memahami sejarah politik di Singapura sehingga beberapa siri pergolakan politik negara.

Boleh dimudahkan bahawa Zam telah membahagikan zaman Utusan Melayu sebagai akhbar yang dipengaruhi pemikiran politik kiri sejak penubuhannya sehingga peristiwa mogok 1961, dan zaman selepas mogok.

Sebenarnya Utusan Melayu ditubuhkan atas semangat nasionalisme Melayu tulen, akibat pandangan rendah Melayu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK).  Tahun 1930-an masyarakat Melayu keturunan Arab dan India (dulu disebut Keling) memandang rendah bangsa Melayu yang tulen.  Oleh kerana semua akhbar Melayu yang ada dimiliki oleh Melayu keturunan Arab dan Peranakan yang kaya maka seorang wartawan Warta Malaya, Yusuf Ishak telah membuat keputusan menubuhkan akhbar yang dipunyai oleh bangsa Melayu tulen (tiada darah campuran bangsa lain).  Setelah bersusah payah mencari dana daripada pembeli saham (tentunya Melayu tulen), maka terbitlah akhbar jawi Utusan Melayu dengan harga 10 sen senashkah.

Buku berkenaan juga mendedahkan watak dan pergerakan tokoh wartawan dan politik Tan Sri A Samad Ismail.  Zam telah mencatat A Samad sebagai wartawan Warta Malaya yang berpindah ke Utusan Melayu  dan menjadi sangat terkenal.  A Samad dicatatkan sebagai tokoh politik Melayu Raya yang aktif di Malaya, Singapura dan Indonesia.  A Samad juga berkawan dengan penguam Harry Lee Kuan Yew untuk sama-sama menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura. 

Utusan Melayu digambarkan menjadi sarang para wartawan dan pemikiran politik Melayu kiri.  Antara mereka ialah Said Zahari, Usman Awang, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain-lain.  Memang benar Utusan Melayu telah berjaya menggembleng tenaga seluruh rakyat Melayu melawan Malayan Union  dan penubuhan Umno, tetapi apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk tahun 1948, Utusan menentang pula  dan memperjuangkan politik yang berlawanan dengan dasar Umno.

Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur secara rasmi pada tahun 1958, dan pada tahun 1961 Said Zahari mengetuai pemogokan kerana membantah Utusan Melayu yang dikawal oleh Umno.  Sejak tamat mogok Utusan yang gagal, Utusan menjadi lebih cenderung menjadi suara Umno di samping mengekalkan kedudukan sebagai akhbar nasional.

Kata penulisnya, zaman selepas Pilihan Raya Umum 2008 merupakan zaman pancaroba bagi Utusan Melayu sebab akhbar Utusan Malaysia telah diserang bertubi-tubi oleh pakatan pembangkang.  Kempen pembangkang memboikot akhbar Utusan begitu hebat termasuk mempengaruhi langganan harian di negeri-negeri yang diperintah pakatan berkenaan, pembelian iklan oleh syarikat-syarikat besar dan tindakan-tindakan saman.

Namun sepanjang sejarah Utusan, semua Perdana Menteri Malaysia telah menunjukkan pendirian yang menyokong Utusan sebagai wahana penyebaran maklumat kerajaan.  Yang terbaru sikap prihatin DYMM Raja Muda Perak dan DYMM Sultan Selangor dianggap oleh semua warga Utusan sebagai satu sokongan moral dari peringkat atasan negara.


Utusan telah melahirkan tokoh yang hebat dalam sejarahnya.  Pengarang pertama Yusuf Ishak menjadi Presiden pertama Singapura, adiknya Aziz Ishak yang asalnya wartawan menjadi Menteri Pertanian pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra. 

Jumaat, Jun 28, 2013

SENTUHAN pertama YB Mohd Fasiah di Dewan Rakyat

YANG Berhormat Mohd Fasiah bin Mohd Fakeh merupakan ahli Dewan Rakyat (BN) kawasan Sabak Bernam yang baru (pemenang dalam PRU-13), menggantikan Dato’ Abdul Rahman Bakri.  Dalam persidangan pertama Dewan Rakyat selepas PRU-13, beliau menyebut beberpa perkara.  Dua perkara saya turunkan di bawah.

Pertama berkaitan dengan masalah perpaduan rakyat berbilang kaum.  Blog ini sudah menyatakan sikap bahawa kerajaan wajib memansuhkan sekolah vernakular yang wujud sejak zaman sebelum merdeka  kerna kewujudan sekolah berkenaan tidak menyumbang perpaduan nasional, sebaliknya menjadikan perpecahan antara kaum.  Arus perdana dalam kalangan rakyat Melayu sebagai teras masyarakat negara ini mahukan sekolah berkenaan dimansuhkan.  Tahniah kepada YB Fasiah kerna menyatakan dengan jelas perkara ini di Dewan Rakyat, di hadapan para pemimpin kaum Cina dan India.

6.  “Berhubung dengan pendidikan, saya ingin menyentuh pandangan Prof. Dr. Teo Kok Seng, Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyarankan bahawa sistem persekolahan satu aliran sewajarnya diperkenalkan bagi membentuk perpaduan selain mewujudkan interaksi berbilang kaum terutama generasi muda negara ini. Sistem pendidikan satu aliran adalah penting bagi membentuk acuan kepada jati diri dan sekaligus mencapai aspirasi nasional. Dalam hubungan ini, tokoh pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang merupakan Pro Chanselor Universiti Teknologi Mara (UITM) menyarankan agar kerajaan menghapuskan sistem persekolahan vernakular bagi memperkukuhkan perpaduan nasional di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Kewujudan 61 sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan (sjk) pada masa kini menjadi punca kegagalan rakyat mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Saya ingin memohon penjelasan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan sejauh manakah usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan nasional melalui pendidikan.”

Oleh kerana YB Fasiah merupakan mantan guru dan tempat tugasnya yang terakhir dalam pendidikan ialah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) maka wajar sekali permohonan yang mengenai pejabat PPD segera disiapkan.

8.  “Saya membangkitkan perkara ini adalah kerana Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam yang ditempatkan di bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Makmor semenjak 1/6/1982. Setelah 27 tahun, PPD Sabak Bernam kini telah ditempatkan di bangunan PPD sementara di Pekan Sabak Bernam bagi menempatkan 70 orang kakitangan. Bagaimanapun, keadaannya tidak kondusif bagi menempatkan bagitu ramai pegawai dan kakitangan. Saya memohon agar Kementerian Pendidikan menyegerakan pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam bagi melicinkan pengurusan 64 buah sekolah kebangsaan dan menengah iaitu Sekolah Kebangsaan (35), SJKC (10), SJKT (2), SMK (8), SAM (7), SMKA (1) dan SBPI (1) di Daerah Sabak Bernam.”

Isnin, Jun 24, 2013

KABUT di pekan Sabak Bernam

SEMUA sekolah di Selangor diarah tutup pada hari ini 24 Jun 2013 kerna kesan kabut atau jerebu yang kian kuat.  Sabak Bernam yang terletak paling utara atau bersempadan dengan Perak selatan juga menerima kesan yang teruk.  Memang jerebu pada hari ini jauh lebih tebal berbanding 23 dan 22 Jun. Hari ini bau dan fizikal asap boleh dirasa di dalam rumah dan masjid.

Foto-foto di bawah saya ambil pada jam 5.10 sore 24 Jun 2013 di pekan Sabak, Sabak Bernam.

Di tengah pekan

Menara masjid Sultan Hishamudin dan Kolej Komuniti


Sungai Bernam

Kampung Kota  di Perak dilihat dari pekan Sabak

KERJA dan beribadah pun dibuat bermusim

KATA mantan Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid bahawa orang Melayu suka kepada aktiviti bermusim bukannya yang hari-hari dilakukan.  Beliau memberi contoh orang Melayu cenderung menjadi nelayan sebab ada waktu rehatnya yang panjang apabila tiba musim laut berombak besar.  Menjadi petani juga, selepas menanam padi, petani berehat sementara menunggu musim menuai. 

foto hanya biasan

Sebaliknya orang Melayu kurang berminat membuka kedai perniagaan sebab wajib membuka kedai hari-hari, maknanya wajib bekerja hari-hari.  Kalau mahu berniaga juga pilihannya ialah di pasar minggu atau pasar tani yang dilakukan bukan hari-hari.  Ada kecenderungan besar orang Melayu perlukan masa rehat yang agak panjang kalau membuat pilihan bekerja. 

Ada sahabat kaget dengan kedatangan lebih banyak orang di masjid pada suatu malam. Rupa-rupanya ada majlis Nisfu Syaaban.  Pada malam berkenaan ada program ibadah membaca surah yasin tiga kali, dan doa khas yang panjang.  Yang menambah bilangan ialah yang mereka yang hadir ke masjid disebabkan ada majlis agama setahun sekali itu.  Itu bermusim namanya.

Tidak lama akan datang bulan Ramadan yang malamnya bersolat tarawikh.  Pengalaman tahun-tahun yang lalu, masjid dipenuhi orang untuk ibadah berkenaan.  Mengapa penuh? Sebabnya yang selama ini tidak menjadikan masjid sebagai tempat solat berjamaah telah berbondong-bondong ke masjid.  Keadaan ini pun biasanya tidak lama, ada kira-kira dua minggu sahaja.  Selepas tamat Ramadan, masjid hanya dikunjungi oleh yang ‘tidak perduli’ musim-musim beribadah.

Solat Jumaat pun boleh dilihat sebagai satu musim beribadah setiap minggu.  Berjumaat memang wajib kepada lelaki, tetapi mengapa penerimaan wajib (atau sunat yang sangat dituntut syarak) berjamaah pada setiap waktu solat tidak sehebat solat Jumaat?  Itulah satu lagi bukti budaya ibadah yang bermusim.

Hanya untuk berdoa kepada Allah agar arwah-arwah ahli keluarga juga diampunkan Allah, itu pun orang Melayu membuatnya dalam bentuk bermusim.  Ditetapkan hari-hari berkumpul beramai-ramai di rumah pada hari ketiga kematian, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan seribu.  Jika tidak membuat majlis doa secara bermusim, dirasakan tidak menghampiri kedudukan ‘anak salih’ kepada arwah ibu bapa.

Rupa-rupanya budaya bermusim dalam ekonomi lebih ketara dalam beribadah.  Apa puncanya? Mungkin sahaja faktor geografi dan iklim menyebabkan budaya pemikiran orang Melayu menjadi begitu. Budaya itu lanjutan zaman dulu. Dahulu, orang menanam padi dan menjadi nelayan betul-betul bergantung pada kesesuaian iklim.  Begitu juga dengan sungai sebagai jalan utama, masa untuk sampai ke masjid mengambil masa.  ‘Kewajiban’ kerja dan ibadah di masjid tidak dapat dilakukan hari-hari.  Namun hari ini halangan iklim dan perhubungan sudah diatasi dengan teknologi moden, tetapi budaya lama terus berjalan.


Kesimpulannya, budaya perlu diurus dengan ilmu dan tanggung jawab,  bukan lagi dengan dalil nenek-moyang. Ada sentuhan dalam al-Quran mengenai kecintaan terhadap budaya nenek-moyang.  Ayat 170 surah al-Baqarah (artinya), “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘ikutilah apa yang ditunjukkan oleh Allah’ mereka menjawab, ‘(Tidak), kami mengikut apa yang kami dapati pada nenek-moyang kami. Padahal nenek-moyang mereka tidak mengetahui apa pun, dan tidak mendapat petunjuk.”

Jumaat, Jun 21, 2013

NYANYI-nyanyi cinta Nabi....

DEBAT tak sudah berkenaan nyanyian, nasyid dan musik dalam Islam. Perbedaan pendapat dengan hujahan masing-masing tetap ada.  Yang pasti hiburan memang menjadi satu jalan hidup bangsa Melayu kita.   Ustaz-ustaz kita pun banyak kali menasihati, menyindir dan marah-marah kepada orang kita yang mengutamakan hiburan dalam hidup. 


Lihat sahaja di rumah kenduri kahwin, bunyi-bunyian musik tidak henti-henti.  Kuatnya bunyi sehingga orang yang hadir hendak berbual-bual pun jadi tidak betah.  Di rumah pun mesti ada set untuk musik.  Dalam kereta pun disediakan radio atau alat memainan musik dan nyanyian.  Kerna itu jiwa orang kita memang tidak dapat dipisahkan dengan hiburan, tua dan muda.  Akibatnya belajar agama seperti belajar membaca al-Quran pun dilagukan.  Zikir menyebut nama-nama Allah pun ada irama khasnya yang dipelopori oleh kumpulan al-Arqam.  Ceramah agama, ustaz pun terpaksa menyanyi satu dua lagu untuk menarik minat orang datang mendengar ceramahnya.  Nyata sudah penceramah-penceramah yang dapat menghimpunkan beribu-ribu orang dalam ceramahnya telah mempunyai trade marknya: Lawak jenaka atau nyanyian!

Begitulah orang kita, agama sebagai perkara yang bersungguh-sungguh (serius) terpaksa disentuh secara santai-santai dan ketawa riang.  Hendak mengajak orang mencintai Nabi atau Rasulullah s.a.w. pun mengikut kehendak orang yang hidup matinya mesti ada hiburan.  Maka terpaksalah dibuat konsert-konsert bertamakan Islam seperti Cinta Nab, Mahabbah Rasulullah dan sebagainya.

Kelihatannya dalam bab agama pun kita memilih mana yang sesuai.  Sesuai ertinya tidak menyinggung perasaan orang lain.  Kita hanya mahu mendengar ajaran agama yang menyenangkan hati, iaitu tidak mahu membebankan pemikiran.  Saya tidak menghadiri satu konsert yang bertemaan cinta Nabi.  Harap-harap selepas tamat konsert berkenaan, akan ada sekurang-kurangnya satu atau dua orang yang punya kesedaran bahawa cinta nabi bererti mengamalkan sunah nabi dalam agama.  Mengamalkan sunah Nabi bermakna membenci ‘ajaran-ajaran agama’ yang tidak ada suruhan atau contoh daripada Nabi s.a.w.

Apa ertinya mendakwa mencintai nabi jika masih berkira-kira dengan ayat, ‘kalau ikut cara nabi zikir, nanti makmum lari dari masjid sebab mereka sudah biasa berzikir dengan cara berlagu-lagu’.  Nanti orang kata saya asyik kata ‘zikir tak boleh kuat-kuat dengungnya sampai ke angkasa’. Bosan!  Tak ada lainkah jika mahu memberi bukti sunah Nabi s.a.w.?

Ada hadis nabi (sebagai sunah) menyuruh mentaati pemerintah. Malah dalam al-Quran surah an-Nisa ayat 59 pun sudah jelas perintah Allah supaya mentaati pemerintah. Itulah dasar antara rakyat terhadap pemerintah muslim.  Itulah sunah nabi dalam berpolitik.  Adakah itu perkara furu’ atau ranting-ranting agama?



Jumaat, Jun 14, 2013

PERTEMUAN perpaduan Umno-Pas-PKR senyap-senyap terdedah sudah

TUAN-tuan pemimpin Melayu-Islam dalam Umno, Pas dan PKR.  Kalian memilih partai politik yang berbeda atas sebab berlainan pendapat, dan di belakang kalian ada berjuta-juta rakyat Melayu-Islam yang mengikut jejak langkah kalian itu.  Di permukaan, kalian bertelingkah tak menemukan persamaan walaupun kalian beragama yang satu, menyembah Tuhan yang satu, berbahasa yang satu, dan tinggal dalam satu negara.  Oleh kerna tuan-tuan bertelingkah mendakwa diri masing-masing benar dan yang tidak dalam partai kalian adalah salah, maka ada berjuta-juta rakyat Melayu-Islam juga bertelingkah mendakwa dirinya benar dan orang lain salah. 

Pas-Umno-PKR

Tuan-tuan para pemimpin sebenarnya berpura-pura atau menafikan naluri sebagai manusia Islam berbangsa Melayu.  Bahawa dalam diri tuan-tuan kuat mengatakan antara rakyat Melayu-Islam sebenarnya tidak ada perbedaan yang besar sehingga perlu berpecah antara satu sama lain.  Tuan-tuan sedar bahawa rakyat Melayu-Islam tidak boleh berpecah belah, sebab bahayanya besar.  Tuan-tuan tahu saat  rakyat Melayu-Islam berpecah atas sebab politik, orang bukan Melayu-bukan Islam pula terang-terang bersatu dalam semua perkara dengan satu matlamat.  Tuan-tuan juga tahu jika masalah perpecahan ini terus berlaku, maka bahaya besar rakyat Melayu-Islam pasti datang menimpa diri.

Maka, tuan-tuan para pemimpin Umno, Pas dan PKR rupa-rupanya telah bertemu sesama kalian secara diam-diam.  Sejujurnya, tuan-tuan tidak mahu perpecahan dan bahaya menimpa rakyat Melayu-Islam.  Hari ini telah terbuka hijab berkenaan.  Di permukaan tuan-tuan bertelingkah tak setuju antara satu sama lain dan setiap satu parti berpakat dengan pihak bukan Melayu-Islam untuk saling memperkuat permusuhan, di bawah permukaan tuan-tuan mencari jalan damai.  Malangnya, semua rakyat Melayu-Islam yang menjadi pengikut tuan-tuan tidak faham cara tuan-tuan berpolitik, lalu di bawah sana pertelingkahan sesama rakyat Melayu-Islam tak ada hujungnya.  Senang-senang mereka saling tuduh-menuduh hingga mempertikai akidah Islamnya sebab tidak dalam satu partainya.

Tuan-tuan para pemimpin Umno, Pas da PKR berterus-teranglah apa yang selama ini disembunyikan.  Kalau tuan-tuan memang sedar persatuan rakyat Melayu-Islam itu penting dan tidak boleh dielak, sebagaimana rakyat bukan-Islam yang bersatu padu, maka apa perlunya dilengah-lengahkan.  Malulah kita semua mengaku beragama Islam yang suci dan berbangsa Melayu yang bersopan santun, tetapi bencikan perpaduan dan perdamaian.

Tuan-tuan semua, sebenarnya banyak perkara yang selama ini disembunyikan semata-mata hendak menjaga hati kawan-kawan terutama yang bukan Islam, tetapi apakah untungnya kita sekarang?  Hari ini mereka bersatu dan mula ‘mengancam’ kedudukan kita.  Perpaduan dan tuntutan mereka sudah jelas terbuka, mengapa kita yang majoriti masih bersembunyi-sembunyi?

Dahulu tidak ada orang kita yang terbuka bercakap supaya sekolah bahasa ibunda dimansuhkan, hari ini lebih 150 NGO secara terbuka berkata demikian.  Ini bermakna rakyat Melayu-Islam mahu ketelusan dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan budaya.

Jadi, eloklah tuan-tuan sebagai pemimpin berkata-kata yang terang supaya orang bawahan tidak salah faham.  Tuan-tuan sekalian memang mahu perpaduan, maka berkatalah yang sebenarnya secara terbuka. Insya Allah semua rakyat Melayu-Islam akan bersetuju dan yang bukan Melayu-Islam akan menghormatinya.  Kita rakyat Melayu-Islam merupakan penduduk yang paling besar, penduduk asal dan telah berkurun-kurun membina negara dan kedaulatan, mengapa tuan-tuan sebagai pemimpin di negara Melayu-Islam ini masih malu-malu untuk menyatakan pepaduan rakyat Melayu-Islam.


Wahai para pemimpin, ayuhlah nyatakan perpaduan dengan jelas, dan tidak lagi berkias-kias.  Rakyat dahagakan perpaduan bukan pertelingkahan yang merugikan negara.  Juga rakyat Melayu-Islam sudah bosan dengan dendam sana-sini.

Sabtu, Jun 08, 2013

MANA yang geger: Sentuh anjing atau perempuan bukan mahram?

TIDAK tahulah mana yang benar-benar keji atau jijik dalam pemahaman beragama orang kita: Menyentuh anjing atau perempuan (atau perempuan menyentuh lelaki) mahram.  Mahram maknanya yang diharamkan daripada berkahwin (bukan perkataan muhrim!)

mana yang buat orang geger?

Kalau ada isu atau pertanyaan mengenai terkena bulu anjing, badan atau kesan tapak kakinya…bukan khusuk mencari jawaban.  Jika ditulis dalam media sosial, pasti menjadi panjang berjela-jela. Kesungguhan itu seolah-olah menggambarkan masalah terkena anjing atau menyentuh anjing menjadi satu ancaman dalam hidup beragama.  Seolah-olah, jika ada anjing…’habislah aku…’

Di balik kebisingan mengenai anjing dan hukumnya, pasti tidak geger mengenai lelaki yang menyentuh tubuh wanita atau sebaliknya perempuan menyentuhi lelaki. Maksudnya, lelaki menyentuh wanita yang bukan mahramnya atau bukan bundanya, isterinya, anaknya, anak saudaranya, yang satu susuan  dan apa lagi ya?

Dosakah menyentuh anjing? Dosakah lelaki menyentuh perempuan yang bisa dikahwini (dan sebaliknyalah…)?  Soal haram atau halal dalam agama tentu ada nas daripada al-Quran dan hadis sahih, bukan ayat nenek-moyang. 

Hairan, apa sejarahnya orang kita geger dengan sentuh anjing. Juga hairan, mengapa perbuatan saling bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tidak geger.  Iihat orang bersentuhan dengan senyum tawa di kaca TV, berfoto di mana-mana.  Yang berpolitik juga suka-suka bersalaman antar lelaki dan perempuan.  Yang lelaki tidak perduli siapa perempuan yang disalaminya, sekalipun isteri orang. 

Haramnya antar lelaki dan perempuan bersentuhan telah tersebut dalam hadis sahih.  Mana pula hadis yang menyatakan haram menyentuh anjing?

Daripada Ma’qil B. Yasar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda makudnya, “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 20/211-212, no. 486 & 487. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani, as-Silsilah ash-Shohihah, 1/447, no. 226.)

Daripada ‘Aisyah r.a., katanya yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi s.a.w. berbai’at dengan kaum wanita secara lisan (tanpa bersalaman) untuk ayat ‘Janganlah kamu mensyirikkan Allah dengan segala sesuatu’. Dan tangan Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyentuh tangan wanita melainkan wanita yang dimilikinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Baiklah, soalnya mengapa bersentuhan lelaki dan perempuan yang ajnabi enak dan nyaman? Jawabnya ada dalam al-Quran.  Lihat ayat 48 surah al-Anfal maksudnya, “Dan (ingatlah) ketika syaitan menjadikan indah bagi mereka perbuatan (dosa)…..”

Jumaat, Jun 07, 2013

HARAPAN tinggi rakyat kepada Ustaz Sallehen dalam kerajaan

Ustaz Sallehen Mukhyi pernah menjadi Adun Pas DUN Sungai Besar antara tahun 1999-2004.  Waktu itu Pas dan parti lain belum berjaya memerintah Negeri Selangor.  Dalam PRU13, Ustaz Sallehen sekali lagi bergelar Yang Berhormat bagi mewakili DUN Sabak.  Pada kali ini kedudukannya jauh lebih baik, sebab Pas bersama DAP dan PKR memerintah Selangor.  Malah kali ini Ustaz Salehen Muhyi diberi jawatan Exco yang bertanggung jawab dalam hal-ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa.  Inilah kali pertama sepanjang Pas dalam PR memerintah Selangor, seorang ulama diberi peranan berkaitan dengan hal-ehwal Islam.


Dahulu kerap didengar kecaman terhadap ustaz atau ulama yang menyertai kerajaan (pemerintah) kerana kerajaan kerap didakwa tidak mahu melaksanakan Islam yang sebenarnya.  Oleh itu para pengkritik kerajaan biasa memberi label kepada ustaz atau ulama yang menyertai kerajaan sebagai ulama upahan, ulama yang dibeli atau ulama angguk.  Tuduhan-tuduhan itu disebabkan para ulama berkenaan tidak membawa perubahan kepada kerajaan supaya lebih bersifat Islam dan menghapuskan perkara jahiliyah. Persoalan yang kerap dilemparkan dalam ceramah umum ialah, “Apabila kedai judi, restoran arak, konsert nyanyian dan rumah urut masih aktif, apakah yang ulama berkenaan buat dalam kerajaan?”

Oleh itu menjadi harapan besar kepada mereka yang cintakan Islam dan bencikan maksiat melihat penyertaan seorang ulama dalam badan tertinggi pentadbiran negeri Selangor.  Memang semua faham keadaan di Selangor jauh berbeda dengan Kelantan yang lebih 90 peratus muslim.  Tambahan pula jawatan Menteri Besar bukan disandang oleh Pas, dan jumlah Adun Pas pula bukan dua pertiga keseluruhan ahli DUN.  Harapan orang ramai sekurang-kurangnya ulama dalam Exco dapat menerangkan Islam sebagai pilihan kepada amalan jahiliyah yang selama ini merebak dalam sebuah negeri.  Sekurang-kurangnya mesti ada sedikit perubahan sebagai bukti Islam menggantikan jahiliyah yang begitu banyak.

Sebelumnya Dr Hassan Ali (Adun Pas sebagai Exco hal-ehwal Islam) bukanlah seorang ulama tetapi bertegas dalam memperkasa agenda Islam dalam kerajaan Selangor sehingga tidak disenangi oleh pihak yang sukakan amalan jahiliyah.  Akhirnya beliau terpaksa ‘dikorbankan’ untuk menjaga kesamaan dasar antara tiga parti yang memerintah.  Kini umum akan melihat dan berharap seorang ulama lebih disegani dalam memperkasa Islam berbanding seorang pakar motivasi. Kali ini tidak mungkin seorang ulama akan dikorbankan untuk kes yang sama.

Kepada penyokong Pas tentu memberi jaminan dan sokongan kepada kedudukan ulama dalam Exco Negeri Selangor.  Tidak perlu mengalih hujah seperti, “orang Umno (Umno memerintah Pahang) tutup dulu pusat judi di Genting sebelum minta Pas tutup kedai judi di Selangor.”  Jika itu sebagai balasan hujah, yang kelihatan ialah tiada perubahan atau tajdid seorang ulama dalam pembentukan dasar negeri Selangor.  Perlu diingat bahawa jika tidak kerana kritikan Pas terhadap sistem ‘tidak Islam’ yang dilaksanakan Umno-BN, tidak mungkin Pas mendapat sokongan banyak pencinta kebenaran.

Selamat berjuang untuk Ustaz Sallehen Mukhyi dalam kerajaan. Saya (harap semua pembaca blog ini) berdoa semoga Allah mudahkan kerja-kerja Ustaz Salehen dalam membawa tajdid di Selangor, dan jika berlaku cabaran terhadapnya, semoga beliau bersabar dan berserah kepada Allah. 

Khamis, Jun 06, 2013

BAGAIMANA polis siasat tahanan, lemah-lembut?

TUGAS polis ialah menjaga keamanan dan keselamatan awam, supaya kehidupan masyarakat atau rakyat sentiasa terjamin.  Jika ada individu yang melanggar undang-undang, maka polis akan membuat tindakan menahan dan membuat siasatan.  Tidak ada sesiapa yang menafikan tugas mulia semua anggota polis.

Keratan akhbar Utusan Malaysia 6 Jun 2013

Lagi anggota polis didakwa membunuh orang dalam siasatan apabila seorang mati dalam lokap. Kali ini tiga anggota polis didakwa dibawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.  Kita serahkan kepada pihak polis penyiasat dan mahkamah menyelesaikan kes ini.

Saya melahirkan rasa simpati kepada ketiga-tiga anggota berkenaan dan keluarga mereka.  Sebenarnya dalam melaksanakan tanggung jawab, tidak ada anggota polis yang berniat untuk menganiaya orang lain.  Kalau mungkin berlaku begitu, tentulah di luar kawalan atau jangkaan.  Saya teringat kata-kata seorang anggota polis lebih 10 tahun dahulu menceritakan mengenai tugasnya. Katanya, “Kalau ketua sudah panggil untuk operasi, dia pesan supaya pulang ke rumah dahulu dan wasiat apa yang patut kepada ahli keluarga.”  Maksudnya, mungkin saja anggota polis akan terbunuh dalam operasi!  Sebab itu saya merasakan tekanan emosi ahli keluarga tiga anggota yang didakwa membunuh sebab selama ini mereka turut merasa bimbang keselamatan nyawa suami dalam menjalankan tugas menjaga keamanan, kini suami pula didakwa membunuh orang dan berdepan hukuman mati!

Tidak pasti masyarakat faham atau tidak bagaimana susahnya mendapatkan kerjasama daripada orang yang ditahan sebab melakukan kesalahan jenayah. Orang yang dituduh melakukan jenayah bukan berwatak lemah-lembut macam imam masjid dan ikhlas dalam memberikan maklumat.  Oleh kerana semua maklumat akan diguna pihak polis dalam pendakwaan, tentulah kemungkinan menipu atau tidak memberi kerjasama kepada polis penyiasat sangat besar.

Di sekolah-sekolah pun ada Guru Disiplin yang membuat siasatan kepada murid-murid yang melanggar peraturan sekolah.  Sebenarnya murid-murid yang cenderung melanggar peraturan sekolah pun ‘pandai’ membuat helah dalam siasatan walaupun tampak karenah kesalahan mereka.  Misalnya, sekalipun jari-jemari dan mulut berbau rokok, dia masih tidak mengaku perbuatan merokok dalam kawasan sekolah.  Dia akan memberi helah, merokok sebelum masuk ke sekolah atau hanya menolong nyalakan api rokok kawan.  Helah seperti ini untuk mengelak dirinya disabit kesalahan berat, merokok di kawasan sekolah.

Tidak dinafikan ada murid yang digertak oleh Guru Disiplin akhirnya mengakui perbuatan salahnya. Namun perlu diingat bahawa sebenarnya semua guru termasuk Guru Disiplin tidak boleh meninggikan suara apa lagi mengertak murid, walaupun dalam siasatan masalah disiplin.  Jika Guru Disiplin bertanya itu dan ini seperti melayan anak-anak yatim, jangan haraplah murid yang siasat akan terus mengakui kesalahannya. 

Itu baru perangai murid sekolah, yang masih dalam kawalan.  Jadi boleh bayangkan apa reaksi orang yang sudah dewasa, memang sudah bertahun-tahun terlibat dalam jenayah dan kemudian tahu jika disabit kesalahan akan menerima hukuman penjara bertahun-tahun atau hukuman mati. 

Dilema pasukan polis ialah: Jika tertuduh dilepaskan oleh mahkamah kerana kekurangan bukti, maka polis dikatakan tidak cekap membuat siasatan.  Jika berkeras dalam membuat siasatan, tertuduh akan mendakwa polis pula yang melanggar peraturan siasatan (SOP).


Itulah sebabnya ada Hari Akhirat sebagai hari perbicaraan sebenar kepada semua manusia. Beriman kepada adanya hari pembalasan di akhirat menjadi penawar kepada ‘perasaan merasa tidak mendapat keadilan yang sepenuhnya’ di dunia ini.

Ahad, Jun 02, 2013

TIDAK upaya Hudud, laksana Qisas

SATU berita yang sampai ialah kerajaan Iran membenarkan hakim-hakim mahkamah menukar hukuman rejam sampai mati kepada penzina dengan hukuman lain, kerana memenuhi desakan kuat masyarakat antara bangsa. Lupakan seketika Iran sebagai negara Syiah untuk membicarakan hukum rejam ini.  Di negara kita juga telah lama debat politik sama ada hudud hendak dilaksanakan atau tidak. Hudud kerap diberi contoh hukuman sebat 100 kali kepada penzina atau rejam sampai mati!  Satu lagi ialah memotong tangan pencuri.

hukum rejam di Mali

Di banding dengan Malaysia, Iran dikira lebih kuat dalam penentangannya terhadap dunia Barat sejak tahun 1979.  Sebutlah siri konfrontasi Iran dengan Amerika Syarikat atau Eropah, Malaysia tidak berpengalaman seperti Iran. Dari sudut politik dengan Barat, banyak umat Islam menjadikan Iran sebagai harapan untuk memberi ‘pengajaran’ kepada Barat khasnya Amerika Syarikat.

Begitu tinggi darjat penentangan Iran terhadap Barat pun, nampaknya dalam pelaksanaan hukum Hudud para pemimpinnya mula akur kehendak Barat yang menentang hukum Hudud. Adakah Malaysia bersedia menghadapi tekanan Barat apabila Hudud dilaksanakan seperti di Iran dan Arab Saudi. Orang bertanya, mengapa Amerika tidak menekan Arab Saudi? Jawabnya, Arab Saudi ada minyak untuk menutup mulut Amerika, dan Malaysia ada apa? 

Janganlah mudah untuk mengatakan kerajaan-kerajaan negeri yang tidak menggubal Hudud sebagai Enakmen dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai menolak Islam. Pihak yang dahulu kelihatan ‘berani mati’ melaksanakan Hudud juga ‘mati kutu’ sekarang kerana memenuhi desakan atau kehendak orang bukan Islam yang menjadi sekutunya. Kuasa orang bukan Islam ini baru dalam bentuk kuasa undi, belum kuasa Barat dalam pola yang lebih besar seperti sekatan ekonomi dan politik.

Ada perkara dalam syariah Islam yang jelas lebih adil dibanding dengan undang-undang Barat tetapi tidak dilaksanakan.  Jika Barat menghujah mengenai keadilan, maka tampilkan hukum Qisas yang masih diabaikan.

Apa itu Qisas? Maksud firman Allah dalam ayat 178 surah al-Baqarah “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan orang yang dibunuh.  Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan.  Namun sesiapa mendapat kemaafan daripada saudaranya hendaklah dia mengikutinya dengan baik, dan membayar diat (tebusan) kepadanya dengan baik (pula).  Yang demikian itu adalah keringanan dan rahmat daripada Tuhanmu.  Sesiapa melampaui batas selepas itu, maka dia akan mendapat azab yang pedih (kuat).”

Ambil contoh kes-kes bunuh yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.  Seseorang yang dihukum mati, berhak membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.  Jika gagal, dia berhak membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Jika gagal lagi, dia berhak merayu kepada Raja.  Jika gagal juga, tidak ada peluangnya untuk hidup selepas itu.  Soalnya, mengapa rayuan kepada individu yang akhir itu ialah Ketua Negeri atau Ketua Negara.  Jika Encik X bersalah membunuh Encik Y, Encik X bersalah kepada keluarga Encik Y bukan Ketua Kampung, Penghulu atau Raja. Mengapa pula orang yang tidak ada kaitan dengan Encik Y diberi hak menerima atau menolak permohonan maaf Encik X?

Jika merejam pesalah sampai mati dianggap tidak bertamadun dan kejam oleh masyarakat Barat, adakah memberi hak menerima atau menolak rayuan ampun oleh waris mangsa sebagai ‘kejam’ juga?  Tidak pernah terdengar orang yang berakal dari wilayah mana pun berkata demikian.

Mengapa ahli-ahli politik Islam kita yang prihatin dengan keadilan tidak berusaha untuk menjadikan qisas sebagai salah satu aspek undang-undang?  Cuba fikir, mana lebih adil antara dua perkara berikut:

Satu: Raja yang tidak ada apa-apa hubungan dengan mangsa diberi hak menolak atau menerima rayuan maaf si pembunuh.


Dua:  Ahli keluarga mangsa bunuh berhak menolak rayuan si pembunuh atau menerima rayuannya dengan menerima ‘diat’ atau tebusan wang sebagai ganti kehilangan orang yang dikasihi.