KATA mantan Menteri Pertanian dan Menteri Besar
Kedah, Tan Sri Sanusi Junid bahawa orang Melayu suka kepada aktiviti bermusim
bukannya yang hari-hari dilakukan.
Beliau memberi contoh orang Melayu cenderung menjadi nelayan sebab ada
waktu rehatnya yang panjang apabila tiba musim laut berombak besar. Menjadi petani juga, selepas menanam padi,
petani berehat sementara menunggu musim menuai.
foto hanya biasan |
Sebaliknya orang Melayu kurang berminat membuka
kedai perniagaan sebab wajib membuka kedai hari-hari, maknanya wajib bekerja
hari-hari. Kalau mahu berniaga juga
pilihannya ialah di pasar minggu atau pasar tani yang dilakukan bukan
hari-hari. Ada kecenderungan besar orang
Melayu perlukan masa rehat yang agak panjang kalau membuat pilihan bekerja.
Ada sahabat kaget dengan kedatangan lebih banyak
orang di masjid pada suatu malam. Rupa-rupanya ada majlis Nisfu Syaaban. Pada malam berkenaan ada program ibadah
membaca surah yasin tiga kali, dan doa khas yang panjang. Yang menambah bilangan ialah yang mereka yang
hadir ke masjid disebabkan ada majlis agama setahun sekali itu. Itu bermusim namanya.
Tidak lama akan datang bulan Ramadan yang malamnya
bersolat tarawikh. Pengalaman
tahun-tahun yang lalu, masjid dipenuhi orang untuk ibadah berkenaan. Mengapa penuh? Sebabnya yang selama ini tidak
menjadikan masjid sebagai tempat solat berjamaah telah berbondong-bondong ke
masjid. Keadaan ini pun biasanya tidak
lama, ada kira-kira dua minggu sahaja.
Selepas tamat Ramadan, masjid hanya dikunjungi oleh yang ‘tidak perduli’
musim-musim beribadah.
Solat Jumaat pun boleh dilihat sebagai satu musim
beribadah setiap minggu. Berjumaat
memang wajib kepada lelaki, tetapi mengapa penerimaan wajib (atau sunat yang
sangat dituntut syarak) berjamaah pada setiap waktu solat tidak sehebat solat
Jumaat? Itulah satu lagi bukti budaya
ibadah yang bermusim.
Hanya untuk berdoa kepada Allah agar arwah-arwah
ahli keluarga juga diampunkan Allah, itu pun orang Melayu membuatnya dalam
bentuk bermusim. Ditetapkan hari-hari
berkumpul beramai-ramai di rumah pada hari ketiga kematian, ketujuh, keempat
puluh, keseratus, setahun dan seribu.
Jika tidak membuat majlis doa secara bermusim, dirasakan tidak menghampiri
kedudukan ‘anak salih’ kepada arwah ibu bapa.
Rupa-rupanya budaya bermusim dalam ekonomi lebih
ketara dalam beribadah. Apa puncanya?
Mungkin sahaja faktor geografi dan iklim menyebabkan budaya pemikiran orang
Melayu menjadi begitu. Budaya itu lanjutan zaman dulu. Dahulu, orang menanam
padi dan menjadi nelayan betul-betul bergantung pada kesesuaian iklim. Begitu juga dengan sungai sebagai jalan
utama, masa untuk sampai ke masjid mengambil masa. ‘Kewajiban’ kerja dan ibadah di masjid tidak
dapat dilakukan hari-hari. Namun hari
ini halangan iklim dan perhubungan sudah diatasi dengan teknologi moden, tetapi
budaya lama terus berjalan.
Kesimpulannya, budaya perlu diurus dengan ilmu dan
tanggung jawab, bukan lagi dengan dalil
nenek-moyang. Ada sentuhan dalam al-Quran mengenai kecintaan terhadap budaya
nenek-moyang. Ayat 170 surah al-Baqarah
(artinya), “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘ikutilah apa yang ditunjukkan
oleh Allah’ mereka menjawab, ‘(Tidak), kami mengikut apa yang kami dapati pada
nenek-moyang kami. Padahal nenek-moyang mereka tidak mengetahui apa pun, dan
tidak mendapat petunjuk.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan