Pengikut

Jumaat, Jun 07, 2013

HARAPAN tinggi rakyat kepada Ustaz Sallehen dalam kerajaan

Ustaz Sallehen Mukhyi pernah menjadi Adun Pas DUN Sungai Besar antara tahun 1999-2004.  Waktu itu Pas dan parti lain belum berjaya memerintah Negeri Selangor.  Dalam PRU13, Ustaz Sallehen sekali lagi bergelar Yang Berhormat bagi mewakili DUN Sabak.  Pada kali ini kedudukannya jauh lebih baik, sebab Pas bersama DAP dan PKR memerintah Selangor.  Malah kali ini Ustaz Salehen Muhyi diberi jawatan Exco yang bertanggung jawab dalam hal-ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa.  Inilah kali pertama sepanjang Pas dalam PR memerintah Selangor, seorang ulama diberi peranan berkaitan dengan hal-ehwal Islam.


Dahulu kerap didengar kecaman terhadap ustaz atau ulama yang menyertai kerajaan (pemerintah) kerana kerajaan kerap didakwa tidak mahu melaksanakan Islam yang sebenarnya.  Oleh itu para pengkritik kerajaan biasa memberi label kepada ustaz atau ulama yang menyertai kerajaan sebagai ulama upahan, ulama yang dibeli atau ulama angguk.  Tuduhan-tuduhan itu disebabkan para ulama berkenaan tidak membawa perubahan kepada kerajaan supaya lebih bersifat Islam dan menghapuskan perkara jahiliyah. Persoalan yang kerap dilemparkan dalam ceramah umum ialah, “Apabila kedai judi, restoran arak, konsert nyanyian dan rumah urut masih aktif, apakah yang ulama berkenaan buat dalam kerajaan?”

Oleh itu menjadi harapan besar kepada mereka yang cintakan Islam dan bencikan maksiat melihat penyertaan seorang ulama dalam badan tertinggi pentadbiran negeri Selangor.  Memang semua faham keadaan di Selangor jauh berbeda dengan Kelantan yang lebih 90 peratus muslim.  Tambahan pula jawatan Menteri Besar bukan disandang oleh Pas, dan jumlah Adun Pas pula bukan dua pertiga keseluruhan ahli DUN.  Harapan orang ramai sekurang-kurangnya ulama dalam Exco dapat menerangkan Islam sebagai pilihan kepada amalan jahiliyah yang selama ini merebak dalam sebuah negeri.  Sekurang-kurangnya mesti ada sedikit perubahan sebagai bukti Islam menggantikan jahiliyah yang begitu banyak.

Sebelumnya Dr Hassan Ali (Adun Pas sebagai Exco hal-ehwal Islam) bukanlah seorang ulama tetapi bertegas dalam memperkasa agenda Islam dalam kerajaan Selangor sehingga tidak disenangi oleh pihak yang sukakan amalan jahiliyah.  Akhirnya beliau terpaksa ‘dikorbankan’ untuk menjaga kesamaan dasar antara tiga parti yang memerintah.  Kini umum akan melihat dan berharap seorang ulama lebih disegani dalam memperkasa Islam berbanding seorang pakar motivasi. Kali ini tidak mungkin seorang ulama akan dikorbankan untuk kes yang sama.

Kepada penyokong Pas tentu memberi jaminan dan sokongan kepada kedudukan ulama dalam Exco Negeri Selangor.  Tidak perlu mengalih hujah seperti, “orang Umno (Umno memerintah Pahang) tutup dulu pusat judi di Genting sebelum minta Pas tutup kedai judi di Selangor.”  Jika itu sebagai balasan hujah, yang kelihatan ialah tiada perubahan atau tajdid seorang ulama dalam pembentukan dasar negeri Selangor.  Perlu diingat bahawa jika tidak kerana kritikan Pas terhadap sistem ‘tidak Islam’ yang dilaksanakan Umno-BN, tidak mungkin Pas mendapat sokongan banyak pencinta kebenaran.

Selamat berjuang untuk Ustaz Sallehen Mukhyi dalam kerajaan. Saya (harap semua pembaca blog ini) berdoa semoga Allah mudahkan kerja-kerja Ustaz Salehen dalam membawa tajdid di Selangor, dan jika berlaku cabaran terhadapnya, semoga beliau bersabar dan berserah kepada Allah. 

1 ulasan: