Pengikut

Isnin, Julai 08, 2013

MAHU tutup universiti sebab Wahabi?

PELIK, Jabatan Agama Islam Selangor membuat pendirian memusuhi aliran Islam yang disebut sebagai ‘Wahabi’.  Pertama jabatan itu mendakwa ‘wahabi’ boleh mengelirukan akidah dan kedua mahu sebuah universiti yang berpusat di Madinah dinyahkan dari Selangor!


Pendirian JAIS menyebut, “fahaman wahabi adalah fahaman yang boleh mengeliru dan membahayakan akidah serta memecahbelahkan masyarakat Islam…”.  Berkenaan bencinya kepada Universiti Madinah Antarabangsa (MEDIU), “Al-Madinah International University (MEDIU) dikellilingi oleh orang yang berfahaman wahabi dan sedang giat menanam serta menyemai unsur-unsur wahabi.  Sehubungan dengan itu jabatan ini berpendirian bahawa MEDIU sewajarnya diharamkan untuk beroperasi di negeri Selangor.”

Kebanyakan orang awam tidak tahu apa yang disebut sebagai Wahabi. Penceramah-penceramah juga tidak banyak yang membangkitkan Wahabi walaupun JAIS begitu bimbang sehingga mahu sebuah universiti ditutup.  Ada satu kumpulan yang nadi hayatnya bergantung kepada cerca dan maki-hamun kepada Wahabi, iaitu Ahbash. Untuk mengenalpasti yang dikatakan Ahbash, mereka sering bercakap ‘akidah ahli sunah wal-jamaah’ dan berslogankan ‘Allah wujud tak bertempat’.  Dari situlah mereka mendakwa orang yang tidak sefaham dengan mereka dalam mengenali sifat-sifat Allah dilabel Wahabi.  Kerana itulah, mereka mendakwa Wahabi tersesat akidah, terkeluar daripada Ahli Sunah wal-jamaah.

Bukan mudah orang dapat memahami maksud akidah yang difahami puak Ahbash.  Pemahaman akidah yang disampaikan penuh dengan laras bahasa falsafah.  Oleh kerana sukarnya orang memahami, akhirnya orang awam diajar supaya wajib menerima Sifat 20 sebagai satu-satunya cara belajar akidah.  Maka antara ciri mereka yang dikatakan Wahabi ialah menolak belajar akidah cara Sifat 20.  Sebab itulah agaknya Wahabi dikatakan ‘membahayakan akidah’. 

Antara mereka yang telah didakwa Wahabi ialah mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda, mantan MB Kelantan TG Nik Abdul Aziz disebabkan tidak mengamalkan Maulidur Rasul serta menolak Tahlil Arwah, Presiden Pas TG Hj Abdul Hadi Awang disebabkan menerima sifat Allah di langit seperti dalam al-Quran dan hadis, serta mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi disebabkan program Islam Hadhari.  Puak Ahbash mendakwa negeri Perlis mengamalkan ajaran Wahabi sepenuhnya.

Jauh daripada itu seorang terdakwa Ahbash tegar membuka blog dengan tajuk ‘Wahabi kafir’.  Facebooknya juga mempunyai banyak pengikut.

Akhirnya orang yang gemar mendakwa wahabi sebagai  amalan agama orang yang negatif berkisar pada ayat-ayat berikut:

Siapa solat subuh tidak membaca qunut, dia wahabi.
Siapa tidak mahu amalkan tahlil arwah dia wahabi.
Itulah yang JAIS dan mereka yang sefaham dengannya mengatakan Wahabi memecahbelahkan masyarakat Islam. Di Malaysia, punca besar perpecahan umah adalah politik. Jika  ada yang mendakwa perpecahan disebabkan orang berbeda pendapat dan dakwaan Wahabi, itu pembong besar!

Selain itu terdapat dua perkara yang telah diajarkan oleh guru-guru agama berkenaan Wahabi di Malaysia.
Pertama:  Sesiapa melakukan amal ibadah yang ada dalil tetapi tidak biasa diamalkan oleh majoriti umat Islam Malaysia, maka dia Wahabi. Contohnya jika berwuduk dengan menyapu semua bahagian kepala, bukan mencuitkan air di sebagian kecil kepala, dia Wahabi. Dalam al-Quran ayat 6 surah al-Ma’idah jelas perintah Allah mengajar agar menyapu kepala dengan air. Nabi s.a.w. juga jelas mengajarkan dengan cara menyapukan air dengan kedua-dua tangan dari dahi ke belakang dan membalikkan semua ke depan kepala.
Kedua:  Sesiapa meninggalkan amalan agama biasa umat Islam Malaysia  dengan alasan tiada dalil al-Quran dan Sunah, maka dia Wahabi. Contohnya meninggalkan amalan kenduri arwah dengan bacaan tahlil yang ada modul (susunan) ayat-ayat al-Quran tersendiri, sedangkan modul itu bukan susunan daripada Nabi s.a.w.


Atas sebab sangka buruk terhadap orang yang menjaga sunah nabi (dengan dituduh Wahabi sesat) maka malanglah sebuah institusi agama utama dalam negeri sanggup bertegas untuk mengharamkan sebuah universiti.  Sepatutnya sebuah institusi agama yang dihuni banyak ustaz dan ulama sanggup menjelaskan sesuatu isu agama berdasarkan sumber asal, al-Quran dan sunah.  Peliklah, jika bercakap hal agama, sandarannya ialah kata-kata orang pandai sahaja dan warisan amalan sejak dahulu-kala.  Susahkan golongan agama di jabatan agama memberikan dalil al-Quran dan sunah yang sahih sebagai penjelasan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan