Pengikut

Rabu, Julai 03, 2013

SEJARAH Utusan Melayu yang panjang

ORANG tidak kenal nama syarikat tetapi akhbarnya. Akhbar Utusan Malaysia adalah salah satu produk syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.  Sejarahnya, bukanlah kemunculan akhbar Utusan Malaysia yang menjadi trade mark syarikat Utusan, tetapi akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi pada tahun 1938 di Singapura.  Hari ini akhbar Utusan Melaysia dikaitkan dengan parti Umno dan sering menjadi sasaran cerca dan saman parti-parti pembangkang.  Hakikatnya, syarikat Utusan Melayu dan akhbarnya pada awal penubuhannya bukanlah ditubuhkan  untuk menjadi lidah mana-mana parti politik.


Itu antara kesimpulan sejarah syarikat Utusan Melayu sebagai pengeluar akhbar Melayu sejak tahun 1938.  Membaca buku ‘Di Depan Api Di Belakang Duri, kisah sejarah Utusan Melayu’ yang ditulis oleh Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) akan lebih memahami bahawa akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia memang tidak dapat dipisahkan daripada suara politik orang Melayu.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd setebal 512 muka surat juga membawa pembaca memahami sejarah politik di Singapura sehingga beberapa siri pergolakan politik negara.

Boleh dimudahkan bahawa Zam telah membahagikan zaman Utusan Melayu sebagai akhbar yang dipengaruhi pemikiran politik kiri sejak penubuhannya sehingga peristiwa mogok 1961, dan zaman selepas mogok.

Sebenarnya Utusan Melayu ditubuhkan atas semangat nasionalisme Melayu tulen, akibat pandangan rendah Melayu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK).  Tahun 1930-an masyarakat Melayu keturunan Arab dan India (dulu disebut Keling) memandang rendah bangsa Melayu yang tulen.  Oleh kerana semua akhbar Melayu yang ada dimiliki oleh Melayu keturunan Arab dan Peranakan yang kaya maka seorang wartawan Warta Malaya, Yusuf Ishak telah membuat keputusan menubuhkan akhbar yang dipunyai oleh bangsa Melayu tulen (tiada darah campuran bangsa lain).  Setelah bersusah payah mencari dana daripada pembeli saham (tentunya Melayu tulen), maka terbitlah akhbar jawi Utusan Melayu dengan harga 10 sen senashkah.

Buku berkenaan juga mendedahkan watak dan pergerakan tokoh wartawan dan politik Tan Sri A Samad Ismail.  Zam telah mencatat A Samad sebagai wartawan Warta Malaya yang berpindah ke Utusan Melayu  dan menjadi sangat terkenal.  A Samad dicatatkan sebagai tokoh politik Melayu Raya yang aktif di Malaya, Singapura dan Indonesia.  A Samad juga berkawan dengan penguam Harry Lee Kuan Yew untuk sama-sama menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura. 

Utusan Melayu digambarkan menjadi sarang para wartawan dan pemikiran politik Melayu kiri.  Antara mereka ialah Said Zahari, Usman Awang, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain-lain.  Memang benar Utusan Melayu telah berjaya menggembleng tenaga seluruh rakyat Melayu melawan Malayan Union  dan penubuhan Umno, tetapi apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk tahun 1948, Utusan menentang pula  dan memperjuangkan politik yang berlawanan dengan dasar Umno.

Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur secara rasmi pada tahun 1958, dan pada tahun 1961 Said Zahari mengetuai pemogokan kerana membantah Utusan Melayu yang dikawal oleh Umno.  Sejak tamat mogok Utusan yang gagal, Utusan menjadi lebih cenderung menjadi suara Umno di samping mengekalkan kedudukan sebagai akhbar nasional.

Kata penulisnya, zaman selepas Pilihan Raya Umum 2008 merupakan zaman pancaroba bagi Utusan Melayu sebab akhbar Utusan Malaysia telah diserang bertubi-tubi oleh pakatan pembangkang.  Kempen pembangkang memboikot akhbar Utusan begitu hebat termasuk mempengaruhi langganan harian di negeri-negeri yang diperintah pakatan berkenaan, pembelian iklan oleh syarikat-syarikat besar dan tindakan-tindakan saman.

Namun sepanjang sejarah Utusan, semua Perdana Menteri Malaysia telah menunjukkan pendirian yang menyokong Utusan sebagai wahana penyebaran maklumat kerajaan.  Yang terbaru sikap prihatin DYMM Raja Muda Perak dan DYMM Sultan Selangor dianggap oleh semua warga Utusan sebagai satu sokongan moral dari peringkat atasan negara.


Utusan telah melahirkan tokoh yang hebat dalam sejarahnya.  Pengarang pertama Yusuf Ishak menjadi Presiden pertama Singapura, adiknya Aziz Ishak yang asalnya wartawan menjadi Menteri Pertanian pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan