Irfan Hamka menulis kisah ayahnya |
NAMA ulama besar, Hamka tidak perlu diperkenalkan
kepada umat seluruh Nusantara. Putera Minang kelahiran Danau Maninjau Sumetera
Barat menjadi ulama milik Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.
Saya menghabiskan pembacaan sebagian kisah hidup
Buya Hamka melalui pena anak lelaki Buya iaitu Irfan Hamka, buku berjudul
AYAH Kisah Buya Hamka masa muda, dewasa, menjadi ulama, sastrawan, politis,
kepala rumah tangga, sampai ajal menjemputnya. Buku setebal 323 halaman diterbitkan
Republika Penerbit, Jakarta.
Irfan Hamka, usia 70 tahun saat menulis buku itu
tahun 2013. Anak kelima Buya Hamka daripada 12 beradik. Dua saudaranya wafat sewaktu kecil, yang 10
terus mendewasa dan mewariskan zuriat Buya Hamka. Catatan Irfan sangat
bersahaja tetapi mengesankan pembaca yang sedia mengetahui besarnya nama Buya Hamka.
Maka Irfan Hamka berjaya menimbulkan kisah-kisah balik tabir yang suka, duka,
dramatik dan melankolik.
Sejujurnya pembaca tidak teranggap buku AYAH oleh
putra Buya Hamka sebagai projek menambah agungkan nama ulama besar dari
Indonesia. Ini beliau singgung sendiri
dan menampilkan kebesaran jiwa Buya Hamka sebagai contoh manusia pemaaf kepada
yang memusuhinya. Irfan memberikan kita cerita balik tabir Buya Hamka menerima
permintaan Sastrawan prokomunis Prammoedya Ananta Toer agar bakal menantunya
(asalnya belum muslim) belajar agama daripada Buya Hamka. Walhal sebelumnya
Pram dalam koran/akhbar membabat nama Buya Hamka sebagai pencuri karya dari
Perancis untuk novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk.
Kemudian umum tahu dalamnya pertelingkahan antara
Buya Hamka dengan Moh Yamin. Buya Hamka mahukan dasar Islam untuk Indonesia
sedangkan Moh Yamin mewakili Presiden Soekarno mahukan Pancasila. Apabila Buya
Hamka menyatakan ‘ambil Pancasila membawa ke neraka’ itu merupakan kemuncak
permusuhan politik kedua-duanya. Namun saat akhir ketika Moh Yamin sakit dan
sakarat, dia meminta Buya Hamka di sisinya. Buya Hamka berjiwa besar dan
memimpin kalimah tauhid di kuping Moh Yamin sambil tangan mereka berdua
bergenggaman. Jelasnya Moh Yamin wafat dalam bimbingan tauhid Buya Hamka.
Yang ketiga, Buya Hamka mengeluarkan fatwa haram
muslim menyambut Hari Natal Kristian, yang tidak sejalan dengan Presiden
Soekarno. Sampai-sampai Buya Hamka meletak jawatan daripada ketua Majlis Ulama
Indonesia (MUI). Malah pada zaman itu Partai Komunis Indonesia (PKI) turut
berpengaruh sehingga mudah saja maksud PKI agar Buya Hamka ditahan atas tuduhan
merancang pembunhan Bapak Presiden! Tanpa pengadilah Buya Hamka dipenjara lebih
dua tahun. Pada zaman Presiden Soeharto,
Buya Hamka dilepaskan dan ulama ini memenuhi wasiat besar mantan Presiden
Soekarno: mengimami solat jenazahnya.
Maka Buya Hamka menjadi imam solat jenazah Soekarno.
Selain itu kehidupan Buya Hamka sewaktu remaja yang
berkelana je Jawa dan Makkah semata-mata mahu mendalami agama dan Bahasa Arab,
juga disorot kehebatan Buya Hamka sebagai pemimpin pejuang kemerdekaan Sumatera
Barat dan pengamal silat.
Membanggakan pengkagum Buya Hamka, tokoh ini tidak
pun memiliki segulung diploma atau ijazah dalam agama sekalipun beliau bergelar
ulama dan dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar. Malah Buya Hamka menebarkan ilmu dan
pemikirannya dalam 10 jilid Tafsir Al-Azhar, satu tafsir al-Quran yang berjiwa
Melayu Nusantara atau tafsir yang sejadi dengan umah Nusantara.
Pengajaran prinsip sebagai ulama, kata Buya Hamka
yang dirakam Irfan Hamka, “kita
sebagai ulama telah menjual diri kepada Allah semata. Ulama yang menjual diri kepada Allah,
tidak bisa dijual lagi kepada pihak mana
pun.” Satu lagi, “Ulama ibarat
kue bika (kuih bingka). Dari bawah dipanggang api dari atas pun dibakar api.
Begitu juga ulama, dari bawah oleh umat dari atas oleh pemerintah.”
Betapa pun tekanan dan penghormatan daripada
mana-mana pihak, Buya Hamka tidak goyah. Tidak sejalan dengan pemerintah
sehingga membawa penahanannya, tidaklah Buya Hamka menjadi pemuka menentang
pemerintah. Dia umpama Imam Ahmad bin Hanbal, diam dan sabar dalam penjara.
Berbaik dengan pemerintah sehingga ditawar sebagai
Duta Besar ke Arab Saudi, dia masih menolak dengan aman dan dihormati
pemerintah.
Namun buku AYAH tidak dapat membekas dalam jiwa
pembaca jika sebelumnya tidak terdahulu mengenal karya-karya Buya Hamka. Pembaca
akan seperti membaca cerita seseorang yang tidak ada tapaknya dalam diri.
Kosong dan hampa! Maka antara keindahan
membaca AYAH disebabkan sudah mengetahui kehebatan Buya Hamka, putera terbilang
Nusantara.
Buya Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981. Semoga Allah mengampuni dan merahmati Buya
Hamka serta seluruh keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan