Di
negara ini istilah ‘wahabi’ telah berjaya dijadikan satu momokan atau memberi
gambaran buruk dalam hal agama. Jika
seseorang itu tidak disukai pemahaman agamanya, jalan paling mudah untuk
menjauhkan masyarakat kepadanya ialah memberi label atau gelaran ‘dia wahabi’. Di samping memberi gelaran ‘wahabi’, orang
itu akan memberi apa saja maksud mereka yang dilabel wahabi. Maka tidak hairan jika sudah banyak orang
membuat kesimpulan Kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah adalah disebabkan
pemberontakan kaum ‘wahabi’ di semenanjung Hijaz. Tidak ada sekolah yang mengajarkan sejarah
Turki Usmaniyyah secara lengkap menyebabkan apa saja yang dikhabarkan mengenai
kerajaan Islam itu diterima bulat-bulat, tambahan pula jika yang mengatakan hal
khilafah Turki Usmaniyyah itu orang yang berwatak agama atau ‘lebai’.
Di
sekolah anak-anak hanya didedahkan mengenai perkembangan Khilafah Turki
Usmaniyyah dan sumbangannya. Kalaulah
anak-anak dapat berfikir apabila mendapati wilayah pemerintahan khilafah Turki
itu meliputi utara benua Afrika, Mesir, pesisir timur jazirah Arab, lembangan
sungai Diljah dan Furat serta wilayah Balkan di Eropah, nescaya pecahlah pembohongan
sesetengah ‘lebai’ bahawa keluasan wilayah itu hancur hanya disebabkan oleh
satu puak di padang pasir jazirah Arab atau Hijaz!
Pembohongan
bahawa ‘wahabi’ yang meruntuhkan Khilafah Turki Usmaniyyah telah dijawab dengan
tuntas dan ilmiah oleh Ibnu Ahmadain al-Barlisi dalam bukunya ‘Kejatuhan
KERAJAAN Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisa Ke Atas Peranan Gerakan “Wahhabiyyah”
terbitan Jahabesra (2011) Johor Bahru.
Penulis telah mendedahkan peristiwa sebenar pergolakan di Hijaz yang
mungkin dijadikan hujah bahawa itulah faktor besar kejatuhan Khilafah Turki
Usmaniyyah. Namun penulis juga telah mendedahkan
bukti-bukti ketaatan kaum’wahabi’ (atau Muwahidun) terhadap Sultan Turki di
Istanbul.
Suka
saya memaparkan hasil kajian penulis yang selama ini disorokkan oleh pembenci ‘wahabi’
demi meracun pemikiran orang yang bersih mencari kebenaran agama. Misalnya gerakan wakil Sultan Turki di Mesir,
Muhammad Ali Pasya jauh lebih dahsyat sebagai pemberontak sebenar terhadap
Turki Usmaniyyah. Kuasa Muhammad Ali
Pasya sangat kuat di Mesir sehingga beliau bersama anaknya Ibrahim Pasya menyerang wilayah Syam pada tahun 1831. Setelah itu
Muhammad Ali Pasya meneruskan penaklukannya (dalam wilayah Turki Usmaniyyah)
hingga ke Anatolia! Sultan Mahmud II (1808-1839)
terpaksa mengemis bantuan kuasa-kuasa Eropah untuk menyelamatkan kuasanya di Istanbul
(muka surat 153). Mengapa pemberontakan
Muhammad Ali Pasya tidak diceritakan kepada orang ramai sebagai satu sebab
besar yang menjadikan Khilafah Turki terpaksa sujud kepada kuasa Eropah?
Keturunan Muhammad Ali Pasya inilah yang menjadi raja di Mesir sehingga zaman
Raja Farouk digilingkan oleh Gamal Abdul Nasser.
Fakta
Turki Usmaniyyah memihak kepada Jerman dan Austria dalam Perang Dunia Pertama
(1914-1919) memang diajar di sekolah menengah.
Jelas dalam sejarah bahawa persekutuan Turki-Jerman-Austria kalah
tersungkur kepada kuasa Eropah yang lain.
Dari situ cukup menjadi bukti bahawa yang mencincang Khilafah Turki
Usmaniyah adalah kuasa British dan Perancis, bukannya puak ‘wahabi’ di
Hijaz! Namun orang lebih percaya bicara
orang berkopiah walaupun pembohong!
Ibnu
Ahmadain al-Barlisi mendedahkan pula pakatan Muhammad Ali Pasya dengan Perancis
dalam penaklukan Perancis ke atas Algeria, walhal Algeria adalah wilayah
kekuasaan Khilafah Turki Usmaniyyah. Pelik
tapi benar bahawa wizurai Khilafah Turki Usmaniyyah di Mesir iaitu Muhammad Ali
Pasya membiarkan saja Perancis menakluk Algeria (muka surat 149).
Penulis
juga mendedahkan perkara yang tidak banyak diketahui orang mengenai sikap
sullan-sultan Melayu serta para ulama yang bernaung di bawah istana, khasnya
ulama-ulama pondok yang menyerang pemikiran dan idea ‘kaum muda’ di Tanah
Melayu. Pada masa Perang Dunia Pertama,
British berkuasa penuh di Tanah Melayu.
British juga sedang berperang dengan kerajaan khilafah Turki Usmaniyyah
di Eropah. Jadi apakah sikap pemimpin agama di Tanah Melayu, sokong Turki atau
British?
Bukan
sahaja Sultan Kelantan telah menulis surat kepada alim ulamanya supaya
menyebelahi kerajaan British, malah melarang rakyat menunjukkan perasaan cinta
kepada Turki Usmaniyyah. Tidak boleh
menolong kerajaan Turki Usmaniyyah juga. Sahibus Samahah Mufti Kelantan sewaktu
Perang Dunia Pertama juga memihak kepada British yang menghancurkan Khilafah
Turki Usmaniyyah (muka surat 245).
Majalah Pengasuh yang menjadi suara ulama menyerang ‘kaum muda’ juga mencatat “bahwa
berbahagialah negeri Kelantan ini mendapat penaungan di bawah panji-panji Great
Britain, dan semenjak ia duduk di bawah bayangan perintahnya terlebih aman dan
limpah makmur keadaannya” (muka surat 247).
Sewaktu
British berperang dengan Turki Usmaniyyah itulah Sembilan raja-raja Melayu
telah menghadiahkan sebuah kapal perang (HMS Malaya) bernilai $22,000.000.00
kepada kerajaan British (muka surat 247).
Untuk apa? Untuk berperang dalam PD1 termasuk memusnahkan Turki
Usmaniyyah. Pemikir Melayu Za’aba pun
menyindir perbuatan berkenaan.
Eloklah
buku ini dibaca oleh anak-anak muda di sekolah dan universiti sebagai memberi
maklumat yang ilmiah dan adil terhadap ayat-ayat retorik yang tujuannya
memesongkan pemikiran umah. Sila membaca
buku ini kepada yang berani menerima maklumat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan