Pengikut

Rabu, Februari 08, 2012

BUKU: 40 Hadis Palsu Popular


SEMUA muslim boleh mendakwa sebagai pencinta Nabi s.a.w.  kita semua akan berusaha mengikuti jalan hidup Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai sunahnya. Sebagai pencinta Nabi s.a.w. juga pastilah sangat marah dan dukacita apabila ada pihak yang tidak bertanggung jawab mendakwa baginda Nabi s.a.w. telah berkata sekian-sekian sedangkan sebenarnya nabi s.a.w. tidak pun menyatakan demikian.  Inilah yang dinamakan Hadis Palsu atau Hadis Maudhu.


Sebagai perbandingan bolehkah seorang suami yang sangat sayang isterinya, juga sentiasa menerima pembohongan isterinya itu?  Tentu tidak! Suami pasti akan menyaring setiap perkataan isterinya, dan hanya menerima ucapan yang benar.

Seorang sarjana tempatan Abdul Razak Muthalib telah berjaya menyusun sebuah buku berjudul 40 Hadis Palsu Popular sebagai peringatan dan panduan kepada muslim supaya menghindari amalan berdasarkan hadis-hadis berkenaan. Hadis-hadis popular bermakna hadis yang kerap dibaca, ditulis dan digalakkan kepada orang ramai beramal dengannya.  Malangnya hadis-hadis itu adalah palsu! Antara hadis palsu yang popular ialah berkaitan kelebihan membaca surah Yasin, solat dengan berserban, perselisihan pendapat adalah rahmat, talak menggegar Arasy, menyapu muka selepas solat dan lain-lain lagi.

Pada bahagian awal, penulis telah menerangkan secara ringkas mengenai pembahagian hadis.  Hadis terbahagi kepada Hadis Sahih. Hadis Hasan, Hadis Dhaif (lemah) dan Hadis Maudhu (palsu).  Oleh kerana focus buku ini ialah mengenai Hadis Palsu, maka penulis telah mencatat pendapat sarjana mengenai hukum mengamalkan Hadis Palsu.  Kesimpulan catatan beliau ialah muslim dilarang menyatakan dan menggunakan Hadis Palsu kerana hadis-hadis berkenaan sebenarnya bukanlah daripada Nabi s.a.w. melainkan direka-reka atas nama baginda Nabi s.a.w.

Buku 40 Hadis Palsu Popular diterbitkan oleh PTS pada tahun 2011, dijual pada harga RM9.00.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan