Pengikut

Isnin, Ogos 02, 2010

YANG sensitif dan marah dalam bab agama

ADA orang sensitif dan menjadi marah. Orang yang dirinya diusik kerana perbuatannya akan marah.  Selalunya perbuatan itu salah, maka jika perbuatan itu disebut atau diungkit menjadikan seseorang marah. Itulah yang dikatakan isu sensitif! Jika kita syak seseorang itu melakukan rasuah dalam sebagian cara mendapatkan sara hidup, bab rasuah sangat sensitif baginya.  Jika seseorang  terlibat dalam mengandam pengantin, dinyatakan kerja  itu  salah dan haram,  ini sensitif  dan menjadikan dirinya marah.  Marah sebab dia sudah seronok melakukan kerja itu tetapi dikatakan haram.


Ada orang sedar  yang perbuatan itu salah dan haram pun akan sensitif menjadi marah jika disebut-sebut.  Maklumlah, sudah banyak dan lama dia melakukan perbuatan itu sehingga sukar sekali untuk ditinggalkannya. Dia pun mendapat banyak manfaat hasil perbuatannya.  Jika ada pihak yang menyebutnya sebagai salah, dia akan membela diri dengan mengatakan yang orang lain melakukannya juga. Kalau dia dapat membawa bukti orang lain yang lebih hebat melakukannya, maka diangggap salahnya sedikit sahaja.

Ada pula orang yang tidak percaya satu perbuatan salah dan dosa, lantas berbangga pula dengan perbuatannya. Lebih buruk jika perbuatan salah itu dianggap pula suruhan agama dan dapat merapatkan hubungannya dengan Allah.  Inilah masalah besar, kerana kefahaman yang terbalik akibat dilindungi oleh wajah agama.  Ambil saja contoh orang hendak beribadah dengan melafaz niat.  Hendak solat, puasa, mandi wajib, sedekah dan zakat orang melafazkan niatnya kerana percaya itulah suruhan agama. Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dalam buku Formula Kesempurnaan Solat (2008) menyatakan sesiapa yang mengatakan lafaz niat sebagai sunat atau suruhan agama, haram hukumnya sebab itulah bid’ah (bentuk amalan baru dalam agama). 

Yang menjadi masalah ialah dirinya tidak sedar tentang salah dan dosa, sebaliknya penuh yakin perbuatannya adalah suruhan agama yang disukai Allah.  Kes ini hanya ada pada orang agama. 

Lihat saja pada bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya, berapa banyak amalan yang selama ini diyakini sebagai suruhan agama tetapi sebenarnya bukan.  Ulama yang sedar hal itu bagai tidak berdaya hendak meluruskan ke arah sunnah.  Orang ramai sudah percaya bahawa berselawat dan mendoakan sahabat-sahabat nabi adalah sebagian tuntutan sunah solat tarawih.  Kemudian jika mereka melafazkannya secara kuat dan menjerit dipercayai lebih disukai Allah. Ustaz sudah tidak mampu berkata itu salah, apa lagi menegurnya!

Orang yang dikatakan kuat agama dan pengikutnya sangat sensitif dan marah apabila dikatakan ada amal perbuatannya selama ini menyalahi sunah.  Sebab itu banyak amaran diberi supaya jangan mengkritik amalan biasa turun-temurun kerana akan menimbulkan perpecahan.  Yang memberi nasihat sebenarnya faham perihal yang  menyalahi sunnah, cuma berlindung kepada ayat ‘amalan yang biasa, sudah diterima sejak zaman-berzaman dan tidak mahu orang keliru’.  Sebab itu tiada pegawai agama menegur orang selawat menjerit-jerit antara solat tarawih. Itu biasa, warisan adat tok nenek!

Banyak perkara yang sama seperti yang dibincanagkan di atas.  Semakin banyak didedahkan, semakin sensitif dan lebih kuat rasa amarah orang terhadap tulisan ini.  Oleh itu, fikirlah sendiri.

Kesimpulannya untuk mengubah persepsi salah terhadap orang agama sekalipun betul menyalahi al-Quran dan sunnah jauh lebih sukar berbanding menasihati perasuah, pelacur dan pencuri.  Kerana hal itu, ada ulama mengatakan perbuatan membuat amalan baru dalam agama (bid’ah) ini kesan dosanya jauh lebih besar dan berat berbanding pelaku maksiat lain kerana pelaku bid’ah menyangka perbuatannya sebagai diiktiraf oleh Allah.  Mereka berkempen pula kepada masyarakat untuk sama beramal (bid’ah) sepertinya. Masyarakat tidak ada keupayaan untuk mengatakan syeikh sekian membuat bid’ah dan berdosa dalam masjid. Oh tidak…susah betul kan? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan