Pengikut

Isnin, Ogos 09, 2010

AYUH berdiri waktu malam Ramadan

TIDAK ada perselisihan hukum solat malam atau Tarawih pada bulan Ramadan. Hukumnya sunnah, bukanlah wajib. Satu hadis sabda Rasulullah saw., maksudnya “bahawsanya Allah swt telah memfardukan puasa Ramadan dan saya telah mensunnahkan qiyam pada malamnya.  Maka sesiapa berpuasa pada siangnya, dan salat pada malamnya kerna mengharap keredaan Allah swt, nescaya bersihkah dirinya daripada dosa seperti (sewaktu) dia dilahirkan oleh ibunya.” Riwayat Imam Ahmad.


Kemudian, mahu solat tarawih di mana, sama ada di masjid atau di rumah?  Telah menjadi kebiasaan masyarakat Islam seluruh dunia melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah di masjid, surau atau membina pusat-pusat solat khas untuk solat Tarawih ini.  Asalnya memang baginda Rasulullah bersolat malam ini di masjid yang diikuti oleh para sahabat.  Maksudnya solat Tawarih atau solat malam itu berjamaah, kemudian baginda rasul tak melakukannya lagi di masjid hingga akhir hayat.  Sejak baginda tidak solat tarawih di masjid, muslimin zaman itu tidak melakukannya berjamaah sehingga pada zaman Sayyidina Umar menjadi Khalifah. Ertinya dua tahun pada zaman Khalifah Abu Bakar pun solat Tararih dilakukan secara sendiri-sendiri.

Satu hadis diriwayatkan oleh Abi Dawud daripada A’isyah ra., maksudnya “Bahawasanya Nabi saw. mengerjakan solat (Tarawih) di dalam masjid, maka bersolat pula di belakang baginda beberapa orang.  Kemudian pada malam berikutnya Nabi bersolat lagi, maka banyaklah orang mengikutinya pula.  Pada malam ketiga, mereka berkumpul lagi, akan tetapi Nabi saw. tidak keluar ke masjid.  Pada waktu paginya Nabi saw. berkata: Saya melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada hal yang menghalang saya keluar ke masjid malam tadi selain saya takut difardukan solat itu (tarawih) atas kamu.”

Apabila Khalifah Umar menghidupkan semula solat tarawih berjamaah ini, yang memang telah berlaku seketika pada zaman Rasulullah, itulah yang menjadi asas solat berjamaah di masjid hingga sekarang.

Bagi yang tidak mahu melakukannya secara berjamaah di masjid pun tidak menjadi kesalahan kerana solat Tarawih ini merupakan solat sunnah yang Nabi sendiri telah lakukan sebagiannya di rumah.  Malah baginda Nabi memberi isyarat bahawa solat sunah ini lebih baik di rumah, sedangkan solat faardu itu berjamaah di masjid.  Maksud sabda Rasulullah, “Sebaik-baik solat ialah dilakukan di rumahnya, selain daripada solat fardu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar).

Kedua-duanya: Solat Tarawih di masjid atau di rumah adalah pilihan masing-masing, sebab tahap keimanan manusia tidak sama. Kalau mampu membaca ayat quran yang banyak sedangkan di masjid imamnya baca ayat yang pendek-pendek, maka Tarawihlah di rumah. Jika terbukti tidak mampu solat tarawih sendirian di rumah, eloklah ke masjid sepanjang malam Ramadan.

Isu lain yang kita patut maklum ialah kualiti solat.  Namanya pun solat Tarawih yang bererti senang-senang, bukan mengejar masa atau kuantiti.  Apa jenis solat sunah pun, bukan utamakan kuantiti, tetapi kualiti.  Tidak syak lagi yang solat 20 rakaat itu dalam masa 35 minit sangat tergesa-gesa.  Jika keupayaan mereka ialah selama 35 minit juga setiap malam, apa salahnya memilih lapan rakaat yang dapat dilakukan dengan nyaman! 

wa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan