YANG tidak ketinggalan solat tarawih di masjid saban tahun, kian banyak pengalaman solat berasak-asak dalam masjid. Semakin banyak orang solat, semakin banyak kerenah manusia bersolat. Siapa yang senantiasa di baris paling hampir dengan imam, maka tidak dapat merasakan cabaran solat yang dikelilingi pelbagai jenis jemaah solat.
Semakin jauh daripada kedudukan imam solat, semakin bercelaru saf-saf solat jemaah, dan semakin ‘brutal’ kata orang muda. Antara perilaku ahli jemaah solat Tarawih yang saban tahun ditemui di masjid ialah;
Ø Tidak segera memulakan solat bersama imam, ertinya sebagian masih duduk dalam saf walaupun imam hampir habis membaca surah al-Fatihah. Jika diketahui yang imam kerap membaca ayat quran agak panjang, maka mereka ada kalanya memulakan solat setelah imam selesai membaca al-fatihah. Bagi sesiapa yang solat di belakang mereka, inilah antara gangguan pandangan yang mencolok mata. Sepatutnya apabila imam sudah bertakbir, semua ahli jemaah segera bangun dan bertakbir memulakan solat.
Ø Terdapat ruang antara sesama jemaah solat yang sepatutnya saling rapat antara satu sama lain. Ada ruang yang agak luas sehingga boleh diisi seorang lagi jemaah. Masalah ini ada saja setiap kali solat Tarawih di masjid. Kadang-kadang terlihat secara jelas ahli jemaah yang sengaja meluaskan kedudukan agar di kiri dan kanannya ada ruang kosong. Keadaan sebegini menyalahi adab solat berjemaah yang menuntut kerapatan atau saling bersentuhan bahu antara sesama ahli jemaah. Inilah yang dinamakan solat berjemaah, yang merapatkan ukhwah dengan sentuhan fizikal, bukan menjaga kepentingan diri dalam saf-saf solat.
Ø Terdapat beberapa saf yang putus walaupun dalam satu barisan, iaitu berlubang di tengah-tengah. Ada pula kumpulan yang sengaja membina saf di luar dewan utama solat, iaitu di serambi walaupun terdapat ruang solat di dewan yang belum penuh. Begitulah mereka bertarawih dari mula sehingga habis. Sepatutnya mereka kian merapatkan ke dalam dewan dan mengisi ruang-ruang kosong dalam mana-mana saf yang sedia ada.
Ø Ada jemaah yang tidak mengerti dosa melintas di hadapan orang bersolat, terutama kanak-kanak. Kanak-kanak mungkin tidak mengerti, namun tidak patut sangat yang sudah dewasa melakukannya walhal perkara itu merupakan adab utama terhadap orang yang solat. Dalam majlis biasa pun adatnya tidak boleh melintasi orang yang duduk, terpaksa meminta izin, inikan pula di hadapan orang solat.
Ø Kanak-kanak kerap berbuat bising kerana tidak solat. Mengajak anak-anak ke masjid adalah usaha pendidikan baik, namun orang dewasa tidak boleh membiarkan sahaja mereka tanpa bimbingan seterusnya. Ibu bapa yang membawa anak mereka ke masjid untuk tarawih patut meletakan kedudukan anak-anak di sisi mereka, bukan mengumpulkan kanak-kanak dalam saf berlainan di belakang. Akibat cuba mengumpulkan kanak-kanak dalam saf, maka mereka akhirnya bertempiaran. Ada yang mengatakan batal solat atau putus saf solat apabila ada anak-anak di sisinya. Salah faham tu! Dalil yang sahih ialah pengakuan Ibnu Abbas yang masih kanak-kanak ditarik untuk ke sisi kanan Rasulullah sewaktu solat.
Begitulah keadaan di mana-mana masjid sewaktu solat Tarawih. Memang kehadiran solat tarawih di masjid lebih banyak digerakkan oleh adat atau budaya sebab itu seruan untuk solat yang menepati sunnah sangat sukar diterima. Budaya beramai-ramai ke masjid itu akan kian susut setelah setengah bulan Ramadan. Ini fenomena biasa, dan beruntunglah kepada mereka yang konsisten dengan hukum al-Quran dan Sunnah setiap kali solat berjemaah di masjid, sama ada solat fardu atau Tarawih itu. Jumlah kumpulan berilmu itu tidak banyak, dan mereka merupakan orang yang biasa hadir ke masjid tanpa mengira bulan dan waktu pun. Ramadan merupakan bonus dan selepas Ramadan mereka meneruskan sunnah berjamaah di masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan