Pengikut

Selasa, Ogos 31, 2010

PERIHAL muslim dan Ahli Kitab

DALAM suasana Ramadan, yang kita masih memberatkan pembacaan al-Quran.  Al-Quran adalah kitab Allah sebagaimana kitab Allah terdahulu seperti Taurat dan Injil.  Dalam al-Quran, kaum Yahudi yang diberikan Taurat dan Nasrani yang mendapat Injil, Allah gelar mereka sebagai Ahli Kitab.  Banyak kisah dua kaum itu dalam al-Quran yang Allah khabarkan sebagai golongan sengaja berdusta sedangkan mereka tahu kebenaran (ada juga ahli kitab yang budiman – surah 3:75).  Apa erti kepada kita sehingga hari ini membaca kisah-kisah pengkhianatan ahli kitab itu?


Siapakah kita sebagai kaum muslimin?  Seperti Yahudi yang mempunyai Taurat dan Nasrani yang mempunyai Injil, maka muslimin diberikan al-Quran.  Maka jangan menolak apabila kita kaum muslimin diberi gelar sebagai ahli kitab juga. 

Al-Quran memaparkan kisah Yahudi dan Nasrani terhadap kebenaran al-Quran supaya kita mengambil pengajaran.  Bahawa dua kaum berkenaan sekalipun memiliki kitab Allah, ulama-ulama mereka menyembunyikan kebenaran untuk beriman kepada Allah.  Tambah dahsyat, mereka membuat hukum baru dalam agama tetapi mendakwa hukum ulama mereka sebagai hukum Allah.  Jika kisah ini bukan untuk dijadikan sempadan oleh muslim yang diberi al-Quran, apa lagi yang hendak difahami?

Kita teliti kisah ini dalam surah Ali-Imran sahaja, misalnya ayat 70 (maksudnya): Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui kebenarannya?

Ayat 71 (maksudnya): Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan, dan kamu menyembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui?

Ayat 78 (maksudnya): Dan sungguh antara mereka ada segolongan yang memutar-balik lidahnya hanya membaca kitab agar kamu (muslim) menyangka (yang mereka baca itu) adalah sebagian isi kitab, padahal itu bukan daripada kitab, dan mereka berkata “itu daripada Allah”. Padahal itu bukan daripada Allah.  Mereka mengatakan yang dusta terhadap Allah padahal mereka mengetahui.

Dalam kalangan muslimin pun kadang-kadang sudah wujud kerenah seperti ahli kitab: Yahudi dan Nasrani.  Kerana kepentingan parti politik, perniagaan, adat resam bangsa dan pelbagai helah peribadi, maka keluarlah hukum-hukum baru sama ada untuk membenarkan tindakannya atau untuk mendapatkan keuntungan lain.

Demi adat resam bangsa, ada orang secara terbuka melanggar sunah Nabi dengan membuat amal-amal baru dalam ibadah yang dikatakan sunah (bukan wajib).  Mulut mereka hanya mengatakan amalan Islam sejak sekian lama.  Sebenarnya, apabila mendakwa itu adalah amalan Islam bermakna itu adalah hukum Allah kerana Islam itu daripada Allah.  Kalau benar itu adalah hukum Allah atau ibadah yang diperintahkan, sudah tentu mereka memberikan sumber daripada al-Quran dan sunnah.

Demi menjaga kepentingan parti politiknya, muncul pula hukum-hukum yang dianggap suci untuk partinya dan keji untuk parti lawannya.  Semuanya dilakukan atas nama kesucian agama atau rumah Allah.  Gambarannya ialah, itulah hukum Allah atau perintah dari langit! Kalaulah benar semua itu hukum Allah, tentulah mereka memberi dalil daripada wahyu Allah dan sunnah nabi-Nya.

Kesimpulannya, perangai manusia sama sahaja sejak zaman dahulu hingga kini menyebabkan kandungan al-Quran tetap sesuai untuk dijadikan panduan.  Moga Allah memberi petunjuk apabila kita membaca al-Quran agar apa yang dibaca bukan hanya sebagai bacaan kosong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan